Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 840 - Tuduhan yang Direka-reka (1)

Chapter 840 - Tuduhan yang Direka-reka (1)

Perlawanan di daerah-daerah pertempuran sudah pun masuk ke pusingan terakhir. Di daerah pertempuran pertama, dua peserta terakhir adalah Jun Wu Xie dan Qu Ling Yue.

Walaupun Qu Ling Yue mempunyai kuasa yang hebat, tahap kuasa rohani Jun Xie jauh melangkauinya. Keputusan perlawanan terakhir ini menjadi tumpuan ramai kerana dengan satu lagi kemenangan, pemenangnya akan mendapat kedudukan sepuluh teratas di Kejohanan Pertempuran Roh. Setiap tahun, apa yang diterima oleh 10 peserta teratas di Kejohanan Pertempuran Roh ini sering membuatkan orang lain terliur.

Pada hari ini, semua peserta daerah pertempuran pertama telah pergi ke arena. Mereka sangat teruja mahu menyaksikan pertempuran pusingan akhir ini.

Sudah tentulah mereka lebih berminat untuk melihat pertempuran itu daripada mengetahui keputusannya. Jun Xie memiliki roh tahap hijau dan mereka tahu dia dapat mendominasi semua orang. Malah Qu Ling Yue juga bukan tandingannya.

Namun begitu…..

Tidak seorang pun daripada pesaing yang berlawan dengan Jun Xie mampu bertahan lebih daripada serangan pertama. Kekuatan Qu Ling Yue di daerah pertempuran pertama cuma lemah dengan Jun Xie. Semua orang ternanti-nanti untuk melihat sama ada Qu Ling Yue mampu bertahan lebih lama sedikit ketika menentang Jun Xie...

Sekurang-kurangnya… lebih lama sedikit…

Perlawanan belum pun bermula dan kawasan arena sudah sesak. Jun Xie dan Qu Ling Yue sudah sampai dan sedang berjalan naik ke pentas untuk berhadapan dengan satu sama lain.

Qu Ling Yue yang cantik dan comel itu sedang memandang pemuda di hadapannya, tetapi matanya tidak berani menatap wajah lawannya itu. Seolah-olah jika dia terus merenung kawasan di sisi Jun Xie, satu imej salinan akan muncul di situ.

Jun Wu Xie berdiri dengan tenang di atas pentas tempur. Dia tidak lagi menganggap reaksi Qu Ling Yue sebagai pelik. Gadis cantik itu sering bersembunyi dan mengelak setiap kali mereka bertemu, tetapi Jun Wu Xie tahu Qu Ling Yue tidak berniat jahat terhadapnya.

Tak lama kemudian, loceng berbunyi menandakan permulaan perlawanan itu. Mata semua orang merenung tepat dan tertumpu pada pentas tempur.

Jun Wu Xie menolak kuasa rohaninya untuk memancar dengan terang. Pada masa yang sama, Qu Ling Yue mengumpulkan kuasa rohaninya ke tapak tangan.

Tiba-tiba!

Susuk tubuh Jun Wu Xie lenyap dari pentas. Kelajuan pergerakannya sama seperti ketika dalam beberapa perlawanannnya sebelum ini.

Qu Ling Yue terkejut. Dia cuba mencari-cari kelibat Jun Xie tetapi sia-sia sahaja. Perbezaan tahap kuasa rohani mereka membuatkan dia berasa lemah dan tidak berdaya pada ketika itu!

Ketika cahaya hijau itu sampai ke sisi Qu Ling Yue, dia yang sedang bertahan dengan cemas itu mula menunjukkan riak wajah terseksa. Dalam sekelip mata, Qu Ling Yue tiba-tiba memuntahkan darah. Tubuhnya yang kurus itu rebah terkulai di hadapan mata semua orang!

Jun Wu Xie terus menarik kembali kuasa rohani di tangannya dan cepat-cepat muncul di sisi Qu Ling Yue.

"Apa yang berlaku!?" Semua orang berada dalam keadaan terkejut. Juruacara perlawanan bergegas naik ke atas pentas dengan resah dan memeriksa keadaan Qu Ling Yue. Wajah Qu Ling Yue kelihatan pucat dan dia tidak henti-henti memuntahkan darah. Kekotoran berwarna merah terang itu begitu menonjol dan bau hanyir darah mura tersebar ke seluruh arena.

"Jun Xie! Kejohanan ini hanya memerlukan kamu menundukkan lawan! Kamu tak tahukah?" Juruacara itu bergegas untuk membantu Qu Ling Yue. Wajah juruacara itu herot dengan kemarahan sewaktu merenung Jun Xie. Identiti Qu Ling Yue amat unik. Kalau ada apa-apa berlaku padanya di Kejohanan Pertempuran Roh ini, orang-orang dari Bandar Seribu Binatang tidak akan melepaskan mereka dengan mudah.

Jun Wu Xie kekal berdiri di satu sisi sambil berkerut. Dia memandang wajah Qu Ling Yue yang semakin pucat.

Tiada siapa tahu yang dia sebenarnya belum sempat lagi memukul Qu Ling Yue kerana gadis itu tiba-tiba rebah. Sejak mula sehingga akhir, Jun Wu Xie belum menyentuh walau seurat rambut Qu Ling Yue pun.

Arena pertempuran itu menjadi huru-hara. Qu Ling Yue terus dihantar untuk mendapatkan rawatan. Sementara itu, semua orang yang berada di arena pertempuran itu sedang merenung Jun Wu Xie dengan gerun.