Berita kunjungan Putera Mahkota ke daerah pertempuran pertama telah tersebar ke seluruh Istana Diraja. Semua orang turut mendengar berita pelawaan Lei Fan… langsung tidak dipedulikan.
Lei Chen telah bergegas ke Lof Dewa. Ketika itu Jun Wu Xie dan yang lain sedang makan. Ketika terlihat Lei Chen tiba-tiba muncul dan kelihatan begitu menggelabah serta gelisah, mereka meletakkan penyepit.
"Ada apa ni? Tuanku nak makan bersama-sama kami?" tanya Qiao Chu sambil ketawa. Dia masih memegang penyepitnya.
Lei Chen menyuruh pelayan di situ beredar kemudian cepat-cepat duduk di sebelah Jun Xie.
"Lei Fan pergi mencari kamu?" tanya Lei Chen dengan suara yang kedengaran resah.
Jun Wu Xie perlahan-lahan mengunyah makanan kemudian menelannya. Dia berpaling memandang wajah Lei Chen yang sudah pun dibasahi peluh.
"Kamu takut," katanya dengan tenang.
Lei Chen tidak peduli tentang keresahannya yang jelas kelihatan di mata Jun Xie. Dia mengangguk bersungguh-sungguh.
"Beta takut, benar-benar takut. Lei Fan pergi mencari kamu pastinya atas cadangan Ayahanda. Buat sementara waktu ini, Ayahanda tidak boleh bertindak terburu-buru, tetapi dia dapat lihat yang Beta agak rapat dengan orang-orang Akademi Zephyr. Kamu semua begitu menonjol di daerah pertempuran Kejohanan Pertempuran Roh dan telah menarik begitu banyak perhatian pada diri kamu sendiri. Sudah pasti Ayahanda tidak gembira melihat orang yang begitu berkuasa ini mempunyai hubungan yang baik dengan Beta. Ayahanda memang berniat mahu menyingkirkan Beta daripada kedudukan Putera Mahkota demi Putera Keempat kesayangannya tu. Baginda berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik pada adinda Beta. Mana mungkin Beta tak bimbang? Berbanding kuasa dan kekuatan Maharaja, apa saja yang boleh dilakukan oleh seorang Putera Mahkota?"
Lei Chen tidak dapat menahan dirinya daripada berasa takut. Pertamanya, dia tak faham mengapa Jun Xie dan yang lain mahu membantunya. Kalau disebabkan kejadian sebelum ini di mana mereka telah diperangkap dan dituduh serta dikaitkan bersama-sama, hal itu sudah pun diselesaikan oleh Jun Xie. Kalau demi kuasa dan kekuatan pula, apa yang dapat diberikan oleh Maharaja Negara Yan, jauh melangkaui batasan kemampuan Lei Chen.
Selepas Lei Chen sedar tentang kekuatan Jun Xie serta ketajaman akalnya, dia semakin bimbang memikirkan Jun Xie akan beralih ke pihak Lei Fan.
Jun Wu Xie memandang wajah Lei Chen dengan matanya yang tenang.
"Saya tak berminat nak jadi rakan belajar sesiapa," kata Jun Wu Xie dengan terus-terang. Walaupun suara Jun Xie kedengaran bersahaja, Lei Chen tetap dapat mengeluh lega.
"Kalau dia nak jadi rakan belajar seseorang, pasti otak Adik Xie ni dah tak betul," Qiao Chu menggumam dengan suara yang perlahan.
Lei Chen berpaling memandang Qiao Chu dengan penuh tanda tanya. Qiao Chu cepat-cepat menundukkan kepala dan makan nasi dengan gelojoh.
"Kalau kamu tak ada niat sebegitu, legalah hati Beta. Sejujurnya, kalau kamu pun meninggalkan Beta, tak ada apa lagi yang Beta boleh gunakan untuk menentangnya." kata Lei Chen sambil mengeluh berat. Kata-katanya itu bukan bertujuan menyedapkan hati Jun Xie, tetapi sekadar menyatakan hakikat.
Kalau Jun Xie menolong Lei Fan, Lei Chen benar-benar tidak yakin dia dapat menangkis perancangan Jun Xie.
"Saya dah pun tolak," kata Jun Wu Xie. Jarang-jarang dia akan menerangkan lebih lanjut tentang rancangannya.
Sikap acuh tak acuh terhadap Lei Fan di arena tempur tadi adalah jawapan terbaik yang dapat dia berikan. Dia masih ingat lagi, selepas dia naik ke pentas tempur tadi, riak wajah Lei Fan menjadi herot. Lei Fan memaksa dirinya menahan marah dan berjalan pergi meninggalkan arena.
"Lei Fan lebih bijak daripada kamu, tapi masih belum cukup pandai lagi kerana dia kurang pengalaman," kata Jun Wu Xie sambil memegang Hitam Kecil di dalam dakapannya. Walaupun Lei Chan agak bijak, dia tidak dapat berlakon sebaik Lei Fan. Tetapi kehidupan Lei Fan selama ini begitu selesa. Walaupun akalnya tajam, personalitinya yang angkuh itu adalah satu kelemahan yang besar.
Sekurang-kurangnya sewaktu dia berkali-kali tidak mempedulikan Lei Chen ketika mereka baru bertemu dulu, Lei Chen tidak mempamerkan perasaan tidak puas hati dengan sebegitu jelas.
"Dia memang sentiasa kelihatan bijak. Kalau Beta tidak menjadi Putera Mahkota sebelum Lei Fan dilahirkan, kemungkinan besar Beta akan kehilangan kedudukan ini padanya." Lei Chen tidak nampak apa perlunya dia menyembunyikan kekurangannya di hadapan Jun Xie.