"Begini, Beta baru sahaja belajar cara untuk memupuk kuasa rohani. Ada banyak bahagian yang Beta tak begitu faham. Jadi Beta tertanya-tanya… bolehkah kamu ajar Beta? Ayahanda tak dapat mencari rakan belajar yang sesuai untuk Beta. Beta terdengar Kakanda menyebut tentang kamu. Memandangkan umur kita sebaya, kalau kamu tak kisah, sanggup tak kamu jadi rakan belajar Beta?" tanya Lei Fan dengan bersungguh-sungguh. Kemudian dia cepat-cepat menambah.
"Jangan risau. Walaupun kamu akan jadi rakan belajar Beta, layanan yang kamu akan terima nanti tak akan kurang berbanding orang lain."
Rakan belajar seorang putera selalunya dipilih dalam kalangan anak-anak lelaki atau adik-adik pegawai Istana. Rakyat biasa tidak pernah ditawarkan peluang sebegini. Walaupun hanya sebagai rakan belajar, peluang masuk selangkah ke dalam Keluarga Diraja akan memastikan masa depan yang cerah serta kekayaan yang tidak berkesudahan. Walaupun Putera Keempat itu bukannya waris takhta, dia sangat disayangi oleh Maharaja Negara Yan. Layanan yang diterimanya melebihi apa yang dicurahkan pada Putera Mahkota Lei Chen. Sebab itulah menjadi rakan belajar Lei Fan merupakan satu peluang yang akan direbut oleh semua orang. Namun mereka tidak akan mendapat peluang ini.
Suara Lei Fan agak kuat. Ketika suaranya itu sampai ke telinga pemuda lain, nafas mereka tersekat akibat terkejut!
Sebagai rakan belajar seorang putera raja, hakikatnya seseorang itu akan menjadi orang yang paling dipercayai oleh putera raja tersebut. Sebaik putera raja itu cukup umur dan menerima kurniaan pangkat, kedudukan rakan belajarnya juga akan meningkat seiring dengannya. Mudahlah bagi orang itu mencapai kedudukan yang tinggi di Negara Yan nanti.
Tambahan pula, Lei Fan adalah yang paling disayangi dalam kalangan putera-putera raja. Menjadi rakan belajarnya adalah sama bagus dengan menjadi rakan belajar Putera Mahkota!
Ini adalah peluang sekali seumur hidup yang tidak boleh dilepaskan!
Semua pemuda di situ amat cemburu dengan Jun Xie. Mereka merenungnya dengan perasaan iri hati dan dan hati mereka seolah-olah dicakar-cakar. Mereka berharap dapat mengambil tempat Jun Xie dan terus bersetuju dengan tawaran tersebut!
Pada luarannya, Lei Fan sedang memandang Jun Xie dengan penuh harapan tetapi di dalam hatinya dia sedang ketawa. Dia langsung tidak merasakan yang Jun Xie akan menolak pelawaannya. Tak kiralah betapa rapatnya hubungan Jun Xie dan Putera Mahkota, itu hanya urusan peribadinya. Sebaik Jun Xie bersetuju menjadi rakan belajar Lei Fan, keadaan itu sama seperti mendapat pengiktirafan dari Maharaja Negara Yan sendiri. Jika dibandingkan seorang Maharaja dengan Putera Mahkota, semua orang tahu siapa yang lebih berkuasa.
Jun Wu Xie tidak terus memberikan respons pada Lei Fan. DIa hanya memandang Lei Fan, seolah-olah sedang berfikir secara mendalam. Matanya yang dingin itu tidak dapat dibaca. Mustahil untuk meneka apa yang sedang difikirkannya.
"Bagaimana? Beta benar-benar ikhlas datang ke sini untuk memberikan tawaran ini pada kamu," kata Lei Fan.
Walau bagaimanapun, Jun Xie berpaling kerana namanya tiba-tiba telah dipanggil untuk ke pentas tempur.
"Tuanku, Patik perlu pergi ke pentas tempur." Jun Wu Xie tidak memberikan jawapan kepada Lei Fan. Selepas bercakap dengan ringkas dia terus berpusing untuk menuju arena tempur.
Lei Fan yang begitu yakin Jun Xie akan setuju, tiba-tiba berasa terkejut. Dia langsung tidak menyangka situasi sebegini akan berlaku.
[Jun Xie bukan sahaja tidak tunduk menyembah-nyembah di kakinya untuk berterima kasih, malah sebaliknya langsung… tidak mempedulikan pelawaannya?]
[Bagaimana ini boleh terjadi!?]
Senyuman Lei Fan kaku seketika dan matanya memancarkan sinar kejahatan.
Oleh sebab telah dimanjakan oleh Maharaja, Lei Fan akan mendapat apa sahaja yang dimintanya. Walaupun Jun Xie tidak terus menolak pelawaannya, sikap acuh tak acuh serta tidak peduli itu boleh dianggap sebagai penolakan secara berkias.
"Berani kamu ya." Lei Fan menyumpah-nyumpah sambil mengetap gigi. Dia dimalukan oleh Jun Xie di hadapan semua orang. Sehebat mana sekali pun bakat lakonan Lei Fan, riak wajahnya tetap kelihatan marah.
Renungan yang diberikan oleh para pemuda lain membuatkan Lei Fan bertambah berang.
Dia tidak pernah terfikir yang Jun Xie akan menolaknya secara terang-terangan.
Matanya merenung Jun Xie yang sedang melangkah naik ke pentas. Lei Fan sudah pun tak sanggup mahu terus duduk di situ. Dia terus berdiri. Tanpa sekali pun menoleh, dia meninggalkan daerah pertempuran pertama. Inilah pertama kali dalam hidupnya dia telah ditolak. Dia tidak mahu lagi merasai kepahitan sebegini.