Sebaik Lei Fan berdiri, Jun Wu Xie sudah tahu apa niatnya. Satu senyuman dingin bermain di bibir Jun Wu Xie. Dia berdiri tidak berganjak di tempatnya. Ekor matanya menyedari Lei Fan sedang menghampirinya.
Perlawanan di daerah pertempuran pertama sudah bermula, tetapi semua pemuda di arena tempur itu tiba-tiba sudah hilang minat untuk menonton. Tanpa sedar, mata mereka memerhatikan pergerakan Lei Fan.
Walaupun Lei Chen adalah Putera Mahkota Negara Yan, umum mengetahui Putera Keempat inilah yang paling disayangi dan mendapat kelebihan. Kalau ada di antara mereka yang berjaya mendapat perhatian Lei Fan, tidak syak lagi itu adalah peluang yang besar.
Namun apabila mereka semua terlihat Lei Fan terus berjalan menuju Jun Xie yang berdiri di satu sudut tanpa menonjolkan diri, hati mereka semua seolah-olah telah dipijak-pijak.
Putera Keempat pun menunjukkan minat terhadap Jun Xie!
Para pemuda yang menaruh harapan tinggi tadi terus merasakan seperti telah jatuh terjunam dari langit ke bumi.
Kalau orang lain, mungkin mereka tidak begitu sayu, tetapi dalam ramai-ramai orang, Jun Xie yang menjadi pilihan…
Seorang pemuda hebat yang mendominasi mereka semua daripada segi kuasa rohani dan telah pun mendapat sokongan Putera Mahkota. Apa yang mereka boleh tawarkan untuk bersaing dengan Jun Xie? Kalau mereka semua bergabung pun, masih tak cukup untuk berlawan dengan Jun Xie!
Semua pemuda itu terus berasa tertekan. Mereka hanya mampu merenung diam-diam, memerhatikan Lei Fan yang berjalan menuju Jun Xie sambil tersenyum berseri-seri.
"Kamu Jun Xie, ya?" tanya Lei Fan ketika berdiri di hadapan Jun Xie sambil menelengkan kepala ke satu sisi. Matanya terkebil-kebil dengan naif, seolah-olah sedang memandang sesuatu yang amat menarik minatnya.
"Ya." Jun Wu Xie menjawab dengan ringkas.
"Nama Beta ialah Lei Fan. Kakanda Beta kata kamu yang paling kuat di daerah pertempuran pertama dan mahu Beta belajar daripada kamu. Kakanda kata Beta dah semakin besar tapi masih lagi berperangai seperti budak yang tak tahu apa-apa," kata Lei Fan sambil tersenyum memandang Jun Xie. Dia terus bercakap tapi kelakuannya sedikit malu-malu sambil dia menggaru-garu kepalanya.
Jun Wu Xie memerhatikan kelakuan Lei Fan dengan pandangan mata yang dingin. Padanya, walaupun Lei Fan masih muda, kemahiran lakonannya berada di satu tahap yang lebih hebat berbanding Lei Chen. Dengan beberapa patah perkataan sahaja dia sudah dapat menampilkan dirinya sebagai remaja yang lurus dan tak tahu apa-apa. Kata-kata yang diluahkannya dengan bersahaja itu juga agak menarik...
Semua orang tahu yang Putera Mahkota amat rapat dengan Akademi Zephyr dan dalam kalangan pelajar akademi itu, dia memberikan perhatian khas pada Jun Xie. Cara Lei Fan menggunakan nama Lei Chen dalam ayat pertamanya sebagai cubaan untuk merapatkan diri dengan Jun Xie boleh dikatakan sebagai suatu tindakan yang bagus dan bijak.
Walaupun baru bertemu, Jun Wu Xie tahu yang Lei Fan bukan sekadar remaja biasa. Maharaja begitu sayangkan dia. Sebab pertama adalah kerana "bonda" Lei Fan merupakan wanita yang paling disayangi oleh Maharaja. Sebab kedua… pastinya disebabkan Putera Keempat ini amat "bijak".
"Tuanku terlalu baik, saya tak layak menerimanya," balas Jun Xie untuk mengelak dengan baik. Dia mahu lihat apa niat Putera Keempat ini datang bertemu dengannya hari ini.
Lei Fan tidak menunjukkan sebarang tanda tidak puas hati dengan layanan dingin dan acuh tak acuh Jun Xie. Dia hanya terus tersenyum dan berkata, "Jun Xie, kamu tak sepatutnya terlalu merendah diri. Kakanda Beta sudah pun beritahu segala-galanya. Dalam usia semuda ini, kamu dah pun memiliki roh tahap hijau yang menakjubkan. Di seluruh dunia ni, mana boleh kita temui seseorang sehebat kamu? Sejujurnya, walaupun roh berkontrak Beta telah bangkit, perkembangan Beta daripada segi kekuatan rohani agak teruk. Malah Ayahanda juga ada memarahi Beta tentang hal ini."
Lei Fan berhenti bercakap seketika, kemudian menyambung dengan nada suara yang amat serius, "Jun Xie… sebenarnya Beta datang ke sini hari ini kerana ada sesuatu yang Beta mahu bincangkan dengan kamu."