Ketika semua orang di dalam daerah pertempuran pertama masih berada dalam keadaan terkejut, seorang lelaki dalam kalangan penonton diam-diam memerhatikan segalanya dengan wajah yang sangat berkerut. Dia senyap-senyap menyelinap keluar menggunakan pintu belakang arena pertempuran.
Zhao Xun sedang berjalan di salah satu daripada jalan-jalan utama dalam perjalanan pulang ke rumah tumpangan akademinya. Tiba-tiba dia merasakan seseorang menghampirinya dari belakang. Belum sempat dia memalingkan kepalanya, satu tangan menarik bahunya dan dia dapat merasakan satu tusukan yang sejuk dan keras di belakang pahanya.
"Jangan bising, ikut saya." Satu suara garau kedengaran dari belakang Zhao Xun. Badan Zhao Xun menjadi kaku dan mukanya menunjukkan riak wajah ketakutan. Dia mengangguk dengan taat.
Lelaki itu menolak Zhao Xun dengan kasar ke satu lorong yang gelap di sisi jalan.
Di lorong yang gelap itu, seorang lelaki berjubah hitam berdiri dengan tangannya digenggam di belakang. Wajahnya yang pada mulanya tidak kelihatan begitu kacak, kini kelihatan jahat. Dia merenung tajam ke arah Zhao Xun yang telah diseret oleh pembantunya. Mata lelaki itu membara dengan kemarahan.
"Kamu tahu apa yang kamu dah buat?" Lelaki berjubah hitam itu merenung Zhao Xun dengan berang, suaranya bergetar.
Zhao Xun menggeletar dan mukanya berubah pucat.
"Saya suruh kamu sebarkan khabar angin dan tarik diri daripada perlawanan. Kenapa kamu memunculkan diri di sana pula?" Mata lelaki berjubah hitam itu kelihatan amat marah..
Zhao Xun menjawab kaku: "Saya... saya... saya ingat... saya boleh kalahkan dia..."
"Budak tak guna!" Mata lelaki berjubah hitam itu semakin terbeliak merenung Zhao Xun. "Siapa kata kamu boleh buat keputusan sendiri! Kamu dah bosan hidupkah!? Kamu dah lupa arahan terperinci saya!? Satu rancangan yang sempurna dirosakkan oleh si bebal! Saya mahu kamu cemarkan nama Jun Xie. Burukkan reputasi Putera Mahkota! Tapi kamu beri peluang sebaik ini pada Jun Xie! Berita tentang Jun Xie mengalahkan kamu akan cepat tersebar! Kuasanya yang berada di tahap roh hijau akan terdedah. Kamu ingat orang masih akan fikir dia seorang yang tak berguna dan hanya mampu mengampu orang yang berkuasa!?"
Lelaki berjubah hitam itu bagai di ambang kemarahan dan bakal meletup. Rancangannya telah berjalan dengan lancar sehingga ke tahap ini. Zhao Xun telah bersetuju dengan segala-galanya. Entah kegilaan apa yang merasuknya sehingga tiba-tiba membuat keputusan untuk muncul di daerah pertempuran pertama hari ini dan memberikan Jun Xie peluang untuk menunjukkan kuasanya!
Dengan satu langkah yang bodoh, apa yang mereka telah usahakan telah musnah sepenuhnya! Kuasa roh hijau budak itu telah terdedah. Ini sudah cukup untuk menyangkal segala pembohongan dan membuatkan khabar angin itu mati dengan sendirinya!
Zhao Xun hanya menggeletar dan langsung tidak berkata apa-apa.
"Disebabkan kamu begitu bodoh dan membuktikan diri kamu benar-benar tidak berguna, tak ada gunanya kamu dibiarkan terus hidup!" Lelaki berjubah hitam itu mengecilkan matanya dan memberi isyarat dengan jelingan mata pada orang yang memegang Zhao Xun.
Pisau yang ditekan di belakang Zhao Xun tiba-tiba dihunuskan!
Tetapi ketika pisau itu hampir menusuk perut Zhao Xun, dia tiba-tiba seolah-olah pengsan akibat ketakutan dan rebah ke bawah lalu terduduk di atas tanah. Badannya terlepas keluar daripada genggaman lelaki itu!
Lelaki itu mahu menangkapnya tetapi Zhao Xun berguling mengelak dan segera merangkak menyelamatkan diri!
"Tangkap dia dan bawa dia balik!" Lelaki berjubah hitam itu terkejut. Dia tidak sangka Zhao Xun mampu melepaskan diri daripada orang suruhannya!
Zhao Xun berlari tergesa-gesa dengan sekuat tenaga dan ketika dia hampir keluar dari lorong gelap itu, matanya bersinar kegembiraan!
"Jangan bunuh saya! Jangan bunuh saya! Saya tak sengaja melawan arahan kamu! Saya memang bersalah! Saya tak patut hadiri kejohanan itu! Saya patut dengar arahan kamu dan menarik diri daripada bertanding serta menyalahkan Putera Mahkota! Saya merayu supaya kamu tak bunuh saya! "
Dalam tempoh masa yang singkat ketika dia berlari keluar dari lorong yang gelap dan sunyi itu, Zhao Xun tiba-tiba meraung dengan hiba. Suaranya yang kuat dan jelas itu terlontar jauh dan dengan pantas dapat menarik perhatian orang ramai yang lalu-lalang di jalan utama!