Jenaka jenis apa ini!? Jun Xie memang raksasa berkuasa! Apa yang Putera Mahkota fikirkan!? Bagaimana dia boleh terfikir yang raksasa syaitan seperti ini tak mampu meneruskan perlawanan ke pusingan seterusnya? Dia langsung tidak perlu secara sembunyi-sembunyi meminta semua lawan Jun Xie menarik diri daripada perlawanan! Bukankah semuanya nampak seperti satu jenaka sekarang ini?
Para pemuda yang percaya bahawa Jun Xie telah melakukan perbuatan yang keji itu kerana dia seorang yang lemah dan tidak berdaya, tiba-tiba mendapati fikiran mereka langsung tak memahami situasi yang sedang berlaku.
Dengan tahap kuasa Jun Xie, dia dengan mudahnya akan dapat mengatasi mana-mana lawan dalam sekelip mata. Mengapa dia perlu melalui semua kerumitan itu?
Di atas pentas pertempuran, cahaya kuasa roh di sekeliling Jun Wu Xie sudah pun malap. Jun Wu Xie diam-diam membetulkan pakaiannya dan dengan tenang berpaling ke arah juruhebah yang berdiri di sisinya sambil terlopong.
"Kamu boleh umumkan keputusan."
Juruhebah itu melopong seketika lagi sebelum tiba-tiba menutup mulutnya. Dia menelan air liurnya dengan kuat dan memandang Jun Wu Xie dengan riak wajah terkejut. Ketika itu, dia tidak lagi berani untuk menunjukkan rasa menyampahnya seperti sebelum ini dan perasaan gerun yang hebat terpancar di matanya.
"Jun Xie dari Akademi Zephyr... menang!" kata Juruhebah itu dengan hampir terputus-putus. Matanya memandang tepat ke arah raksasa yang menakutkan itu.
[Paling tua pun budak itu nampaknya dalam lingkungan lima belas tahun!]
[Dia telah mencapai tahap roh hijau! ?]
Tak cukup dengan Akademi Zephyr menggegarkan keseluruhan kejohanan dengan beberapa murid berusia tujuh belas dan lapan belas tahun di tahap roh biru, kini muncul pula budak berusia lima belas tahun yang berada di tahap roh hijau!?
Juruhebah itu tiba-tiba berasa amat bersyukur kerana dia tidak mengeluarkan kata-kata sindiran terhadap Jun Xie sebelum ini disebabkan dia takut dengan balasan daripada Lei Chen. Tetapi sekarang nampaknya Lei Chen tak perlu berusaha pun. Jun Xie sendiri boleh melenyekkannya seperti serangga!
Suara juruhebah itu bergema di dalam arena. Ada dalam kalangan para penonton yang masih belum pulih daripada berasa terkejut, terus tersedar semula. Mereka mengalihkan pandangan mata yang tidak percaya itu terhadap Jun Xie yang perlahan-lahan berjalan turun daripada pentas pertempuran.
Dengan serta-merta, orang ramai di sekitar pentas tanpa sedar bergerak memberi laluan kepada Jun Xie. Laluan yang yang luas tanpa halangan. Seorang pun tidak berani berkata apa-apa kepadanya. Jantung mereka masih berdebar-debar akibat terkejut.
Jun Wu Xie berjalan turun dengan tenang dari pentas. Tidak terkira banyaknya renungan mata yang tertumpu pada dirinya. Malah ketika tubuhnya sudah hilang dari pintu masuk arena pertempuran, mata mereka masih merenung dungu ke arah pintu-pintu di mana Jun Xie keluar tadi.
Hanya beberapa minit yang singkat, tetapi semuanya seperti berlaku di luar alam nyata, seolah-olah di dalam mimpi.
Tiada siapa yang perasan bahawa Zhao Xun yang melayang akibat disepak oleh Jun Xie dengan satu tendangan tadi, telah mengambil peluang ketika semua orang berada dalam keadaan terkejut dan terpesona. Dia senyap-senyap berdiri. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang kesakitan. Dia diam-diam menepuk debu daripada pakaiannya dan menyusup keluar dari arena tanpa sebarang bunyi.
Hari ini ialah kali pertama Jun Xie dilihat menyempurnakan satu langkah di seluruh Kejohanan Pertempuran Roh. Satu langkah itu lebih daripada mencukupi untuk memadamkan semua tuduhan yang telah mengotorkan nama Jun Xie sebelum ini.
Jika Jun Xie hanyalah pemilik roh jingga yang kuat, hal ini tidaklah akan menjadi sebegitu besar. Orang ramai juga tidak mungkin berada dalam keadaan terlalu terkejut dan tidak percaya.
Tetapi sewaktu dia muncul sebagai pemilik roh hijau, tidak ada sedikit keraguan pun bahawa dia mampu mengatasi dan mendominasi mana-mana pihak lawan di daerah pertempuran pertama.
Boleh dikatakan selain pelajar berbakat luar biasa yang jarang-jarang ditemui dalam kalangan raksasa daripada Akademi Zephyr, tidak ada peserta dalam Kejohanan Pertempuran Roh ini yang akan dapat menentang kekuatan luar biasa Jun Xie ini. Apabila mereka melihat bahawa budak itu mempunyai kuasa luar biasa yang hampir di tahap raksasa, semua orang tiba-tiba tidak dapat memahami mengapa Putera Mahkota perlu melakukan perbuatan keji dalam kejohanan itu.
Sehingga tahap mereka terfikir bahawa pihak lawan yang menarik diri sebelum ini betul-betul bertuah..
Menarik diri dengan sukarela lebih baik membiarkan semua orang menyaksikan dirinya diseksa dan dihina oleh pihak lawan yang bertubuh lebih kecil dan berusia lebih muda. Sekurang-kurangnya maruah mereka masih tidak terjejas. Contohnya seperti Zhao Xun yang hari ini dikalahkan oleh Jun Xie dalam sekelip mata, hanya dengan satu serangan. Keadaan ini sangat memalukan. Tanpa menyebut tentang hal lain pun, peluang untuk mereka dilihat sebagai pesaing yang hebat akan hancur sepenuhnya dalam keadaan sebegini.