"Sebab itu rupanya. Tuan Muda Jun, jangan risau. Bagi perlawanan esok, saya pasti tak akan muncul. Tuan Muda Jun boleh terus mara ke pusingan seterusnya." Zhao Xun mula bertenang. Berdasarkan apa yang dapat dilihatnya, Jun Xie tidak akan menolak tawaran yang memberikan kelebihan padanya.
Walaupun Tuan itu yang mengaturkan dan meyakinkan Zhao Xun untuk menarik diri, tapi tidakkah Jun Xie akan berasa gembira apabila mengetahui yang dia boleh mara tanpa halangan juga esok? Jun Xie pasti fikir yang Putera Mahkota telah mengaturkan semuanya, jadi dia datang ke situ untuk bertanya jika lawannya akan muncul pada perlawanan esok.
"Oh?" tanya Jun Wu Xie sambil mengangkat keningnya.
Zhao Xun ketawa dan meneruskan, "Ini kehendak Putera Mahkota. Saya minta Tuan Muda Jun berbesar hati menerimanya." Tuan itu telah memberikan arahan. Tidak kira pada siapa pun Zhao Xun bercerita, dia mesti mengatakan bahawa Lei Chen yang telah bertanggungjawab mengaturkan semua ini. Tentulah Zhao Xun tidak berani melupakan hal ini.
"Jadi kamu nak cakap yang semua ini telah diaturkan oleh Putera Mahkota?" Jun Wu Xie bertanya pada Zhao Xun, seolah-olah tidak yakin.
Zhao Xun mengangguk, tetapi di dalam hatinya, dia agak benci pada Jun Xie. Pada usia yang begitu muda, budak ini berani menyertai Kejohanan Pertempuran Roh dan mendapat tuah sebegitu! Tidak kiralah siapa pun yang melakukan semua ini, hakikatnya Jun Xie dapat mengelak daripada berhadapan dengan lawan yang kuat. Dia juga masih lagi dapat mara dalam kejohanan ini tanpa sebarang usaha. Itu merupakan tuah yang hebat dan sukar dipercayai. Jun Xie patut berasa gembira.
Jun Wu Xie perlahan-lahan mengambil satu cawan teh daripada meja di sisinya dan menghirup sedikit. Matanya yang menawan itu ditundukkan dan bibirnya bergerak sedikit untuk berkata, "Qiao Dungu."
"Ya!" Qiao Chu yang selama ini berdiri dengan diam di sisi telah melangkah ke hadapan.
"Pegang dia," kata Jun Wu Xie dengan perlahan.
Belum pun sempat Zhao Xun bertindak, dia terlihat kelibat Qiao Chu berkerdip sebelum muncul di sisinya. Sebelum Zhao Xun dapat bergerak sedikit pun, kaki Qiao Chu sudah pun menendang belakang lutut Zhao Xun!
Keperitan yang menyeksakan menyelubunginya!
Kaki Zhao Xun terus longlai dan dia jatuh melutut di hadapan Jun Xie. Dia mahu bergelut untuk berdiri, tetapi tangan Qiao Chu sudah pun mencengkam bahunya dengan kuat dan menekannya ke lantai.
"Kamu!"
"Satu patah perkataan lagi dan saya akan tarik keluar lidah kamu." Jun Wu Xie perlahan-lahan mengangkat matanya. Renungannya ibarat dua pisau belati ais yang menembusi badan Zhao Xun.
Zhao Xun tergamam melihat sepasang mata Jun Xie yang menakutkan itu merenung padanya. Kata-kata Jun Xie menyebabkan hatinya berasa takut. Sewaktu dia mahu membentak, dia terlihat Fei Yan yang berdiri di sebelah Jun Xie telah pun memegang sebilah pisau belati. Mata pisau yang tajam itu berkilau di bawah cahaya lilin yang malap. Zhao Xun cepat-cepat menelan kembali kata-kata yang mahu diluahkannya tadi.
[Budak ini tak bergurau!]
[Dia betul-betul serius!]
Peluh sejuk mengalir di wajah Zhao Xun dan dia memandang Jun Xie dengan cemas. Walaupun dia tidak fikir Jun Xie mampu melawannya, kekuatan pelajar lain daripada Akademi Zephyr itu memang sudah diketahui. Setiap seorang daripada mereka berada di tahap roh biru. Itu bukanlah lawan yang mampu ditandingi oleh pemilik roh jingga yang lemah sepertinya!
"Kamu berani mengenakan saya, jadi kamu perlu bersedia menerima akibatnya. Kamu fikir saya ni bodoh sangat?" Kening Jun Wu Xie terangkat sambil merenung wajah Zhao Xun yang pucat. Suaranya begitu dingin sehinggakan Zhao Xun berasa seram sejuk.
"Saya… saya… tak…" Zhao Xun menelan air liurnya dengan kuat. Entah mengapa hatinya mula dicengkam ketakutan.
Sepasang mata yang dingin itu seolah-olah mampu menembusi roh Zhao Xun dan segala pembohongannya tidak dapat lagi disembunyikan.
"Siapa suruh kamu tarik diri?" Jun Wu Xie bertanya.
"Putera Mahkota…"
Belum pun sempat Zhao Xun menghabiskan kata-katanya, Qiao Chu yang sedang memegangnya terus menumbuk mukanya. Pipi Zhao Xun terus bengkak dan separuh daripada mukanya kembung seperti belon!