Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 823 - Jangan Cari Maut dan Kamu akan Hidup (6)

Chapter 823 - Jangan Cari Maut dan Kamu akan Hidup (6)

Belum pun sempat Zhao Xun mengerang kesakitan, Qiao Chu sudah pun menutup mulutnya. Wajah Zhao Xun menjadi kemerahan akibat menanggung seksaan.

"Jangan buat saya tanya sekali lagi." Jun Wu Xie memandang Zhao Xhun tanpa secebis simpati. Matanya kelihatan menggerunkan.

Qiao Chu perlahan-lahan melepaskan tangannya. Zhao Xun mendapati tangan yang mencengkam bahunya sudah pun berubah kedudukan dan kini memegang lehernya. Jari-jemari tangan itu bergerak dan Zhao Xun sedar bahawa Qiao Chu hanya perlu menggunakan sedikit kekuatan sahaja untuk mematahkan leher Zhao Xun dengan mudah.

Zhao Xun tidak pernah diancam begini. Dia adalah pelajar dari akademi biasa. Mereka biasanya berhenti berlawan setelah serangan pertama yang terkena tepat pada pasangan latih tempur. Inilah kali pertama dia merasakan Maut begitu dekat dengannya!

Dia begitu menggelabah sewaktu memandang Jun Xie yang duduk tegak di kerusinya. Sedikit perasaan benci yang ada di dalam hatinya tadi terus bertukar menjadi ketakutan. Dalam mimpinya pun dia tidak akan menyangka seseorang yang orang lain anggap sebagai orang tak guna dan bergantung sepenuhnya pada Putera Mahkota untuk mara dalam kejohanan itu, rupa-rupanya seorang yang kejam dan tidak mempunyai belas kasihan!

"Kamu… apa yang kamu mahu daripada saya? Tempat ini dipenuhi pelajar Akademi Hua Wan. Jangan cakap yang kamu berani untuk bunuh saya di sini? Kalau kamu betul-betul buat begitu, makin teruklah nasib kamu pada perlawanan esok!" Ketakutan telah membuatkan badan Zhao Xun menjadi seram sejuk, tetapi dia masih tidak berani bercakap benar. Kalau dia menyebutkan hal sebenar, walaupun Jun Xie tidak membunuhnya, Tuan itu tidak akan melepaskannya.

"Silalah cabar saya," kata Jun Wu Xie sambil mengangkat bahu. Dia langsung tidak gentar dengan ancaman Zhao Xun.

Zhao Xun baru sahaja mahu bercakap lagi tetapi Jun Wu Xie tidak mahu mendengar bebelannya. Dia mengangguk pada Qiao Chu. Cengkaman tangan Qiao Chu di leher Zhao Xun tiba-tiba semakin kuat!

Hanya seketika sahaja! Wajah Zhao Xun kini menjadi biru. Dia berusaha sedaya upaya untuk membuka cengkaman tangan Qiao Chu. Tetapi dia langsung tidak mempunyai kekuatan untuk mengalihkan tangan Qiao Chu.

"Kalau tak kerana kamu ni ada gunanya, kamu dah mati pun sekarang ni," kata Jun Wu Xie sambil merenung dingin pada Zhao Xun yang pucat lesi. Jun Wu Xie tidak bertindak sebelum ini kerana dia tidak pasti betapa kerasnya kaedah yang Maharaja akan ambil bagi menentang Lei Chen. Tapi itu tidak bermakna Jun Wu Xie akan diam selama-lamanya dan membiarkan dirinya terus digunakan sebagai alat.

Kalau Maharaja berani mempergunakan Jun Wu Xie, baginda juga harus berani berdepan dengan Maut!

Muka Zhao Xun semakin biru dan kaki serta tangannya mengerekot dalam kesengsaraan. Pergelutannya sia-sia. Matanya terbeliak dan tangannya mencengkam lengan baju Qiao Chu dengan kuat. Dia seperti sudah berputus harap.

"Lepaskan dia," kata Jun Wu Xie sejurus sebelum Zhao Xun mati tercekik.

Qiao Chu melepaskan genggamannya.

Udara segar meluru masuk ke dalam dadanya sekali lagi dan Zhao Xun terbaring di atas lantai sambil terbatuk-batuk dengan kuat. Perasaan menyeksakan ketika berhadapan dengan kematian tadi begitu menakutkan. Air mata dan hingus mencomotkan seluruh mukanya. Dia langsung tidak mempedulikan keadaan ini kerana seluruh tubuhnya masih dicengkam ketakutan. Zho Xun bersusah-payah mengangkat kepalanya dan memandang gerun pada pemuda tidak berperasaan yang sedang duduk di kerusi itu. Sedikit pun Zhao Xun tidak ragu-ragu bahawa jika dia sekali lagi berani mengelak daripada menjawab, Jun Xie tanpa teragak-agak akan menyuruh Qiao Chu membunuhnya!

"Saya… saya tak tahu dia siapa. Dia datang bertemu saya selepas selesai cabutan undi. Dia… dia minta saya menarik diri daripada perlawanan di pusingan seterusnya dan memberi bayangan pada orang di sekeliling saya bahawa ini semua kerja Putera Mahkota… saya benar-benar tak tahu siapa dia! Segala yang saya cakapkan ini benar!" Zhao Xun menangis sambil bercakap. Air matanya bercampur dengan hingus di seluruh mukanya. Dia kelihatan amat menyedihkan.