Zhao Xun benar-benar takut. Dia tidak pernah melihat seorang pemuda yang begitu kejam. Seseorang yang langsung tidak bertolak ansur dan bersikap begitu kasar sehinggakan orang lain tidak berani memikirkan untuk menentangnya.
"Cakap," kata suara dingin Jun Wu Xie.
Zhao Xun menggigil dan terus mendedahkan segalanya yang dia tahu.
Zhao Xun telah bertemu dengan lelaki berjubah hitam itu pada malam yang sama dia selesai mencabut undi untuk perlawanan seterusnya, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah tumpangan akademinya. Lelaki itu telah mengarahkan beberapa orang untuk menculik Zhao Xun dan dia juga tidak menyatakan identitinya dengan jelas. Lelaki itu kemudiannya memberitahu Zhao Xun bahawa selagi dia melakukan apa yang disuruh, Zhao Xun akan mendapat segalanya yang dia hajati.
"Dia tak beritahu saya siapa dia dan hanya menyuruh saya memanggilnya Tuan. Saya perasan dia memakai pakaian berkualiti. Tambahan pula… orang-orang bawahannya amat kuat. Dia kemudiannya mahu saya menyebarkan khabar angin tentang Putera Mahkota. Jadi saya fikir pasti kedudukannya juga agak tinggi…" kata Zhao Xun dengan jujur, terlalu takut untuk bermuslihat. Pada mulanya dia curiga dengan identiti lelaki berjubah hitam itu kerana tidak ramai orang di Negara Yan yang memiliki kemampuan untuk menentang Putera Mahkota. Tetapi Zhao Xun diberitahu bahawa jika dia tidak mengikut arahan, nasibnya akan berakhir dengan cara yang sama dengan peserta yang dibunuh sebelum ini. Dia terus tidak berani menyiasat lagi.
"Katanya, kalau saya tak buat seperti apa yang dia arahkan, jangan harap saya boleh tinggalkan Negara Yan hidup-hidup! Saya betul-betul tak berani menentangnya!" kata Zhao Xun sambil menangis.
Jun Wu Xie tidak memberikan sebarang jawapan dan hanya menundukkan pandangan sambil berfikir tentang apa yang Zhao Xun katakan. Jawapan Zhao Xun agak hampir dengan tekaannya. Kalau niat orang itu adalah untuk menggunakan Kejohanan Pertempuran Roh ini bagi menjatuhkan Lei Chen, pemikiran orang itu pasti agak sama dengan mantan Maharaja Kerajaan Qi. Status Zhao Xun yang rendah tidak memungkinkan dia bertemu sendiri dengan dalang itu. Jadi, Tuan yang Zhao Xun sebutkan itu pasti hanya orang suruhan.
"Abang Hua," tiba-tiba Jun Wu Xie memanggilnya.
Hua Yao muncul dari sisi.
"Abang Hua dah tengok rupa parasnya betul-betul?" tanya Jun Wu Xie sambil menunjuk pada Zhao Xun yang terbaring di lantai.
Hua Yao berpusing sebelum meneliti wajah Zhao Xun. Kemudian dia berpaling kembali dan berkata, "Sudah."
Jun Wu Xie mengangguk perlahan-lahan dan memandang Zhao Xun sekali lagi. Kedengaran suaranya yang dingin.
"Kamu boleh mati sekarang."
Zhao Xun terkejut dan dia tergesa-gesa mahu bangun. "Saya… saya dah beritahu semuanya.... Saya dah dedahkan segalanya yang saya tahu. Kenapa… kamu tak boleh… tak boleh bunuh."
Belum sempat Zhao Xun menghabiskan ayatnya, Qiao Chu yang berdiri di sebelahnya tiba-tiba meletakkan tangannya ke atas kepala dan dagu Zhao Xun dan memutar dengan kuat!
Kedengaran bunyi retak yang kuat. Leher Zhao Xun dengan mudahnya dipatahkan...
Zhao Xun rebah longlai ke lantai. Sehingga ke saat kematiannya pun dia masih tidah menyedari betapa kejam dan ganasnya Jun Wu Xie. Dia mengarahkan nyawa Zhao Xun ditamatkan tanpa langsung teragak-agak.
"Ish ish. Adik Xie, kamu suruh dia dibunuh begitu saja. Macam mana kita nak uruskannya selepas ini?" tanya Qiao Chu. Dia menggosok-gosok dagunya sambil merenung pemuda yang tergelimpang tidak bernyawa di hadapannya.
Mata Jun Wu Xie mengecil, "Saya tak suka dituduh begini."
Daripada membazir masa melayan sampah seperti itu, lebih mudah jika mereka terus dibunuh. Ringkas dan kemas.
Qiao Chu mengangkat bahu. Jun Wu Xie menunjukkan tekad dan tidak teragak-agak untuk menyingkirkan musuhnya di sini. Keadaan ini membuatkan Qiao Chu terfikir kembali pada sikap pasif dan "lembut" Jun Wu Xie ketika di Akademi Zephyr. Mereka yang berada di akademi Zephyr sebelum ini pasti telah banyak berdoa.
"Memandangkan pihak lawan tidak memberikan kita jalan keluar, kita juga tak perlu menunjukkan belas kasihan. Saya benar-benar nak lihat siapa yang akan mencapai kemenangan kali ini." kata Jun Wu Xie dengan dingin. Memandangkan mereka sudah pun membentuk sekutu dengan Lei Chen dan Maharaja Negara Yan terus mempermainkan mereka begitu, Jun Wu Xie juga sudi membalasnya!