Kewujudan roh berkontrak jenis tumbuhan miliknya itu telah memaksa Jun Wu Xie untuk menentang penindasan Dua Belas Istana. Hal ini sahaja sudah cukup membuatkan orang lain berharap mereka tidak pernah memiliki roh berkontrak yang aneh seperti ini.
"Selepas pertempuran di arena berbeza hari ini, reputasi Zephyr Akademi akan sekali lagi meningkat sehingga mencapai kemuncak. Saya bimbang situasi yang berlaku hari ini akan kerap berulang. Kalau kita tak mahu terus berhadapan dengan orang-orang itu, kita perlu mencari jalan yang sesuai untuk meredakan keadaan," kata Rong Ruo sambil memandang rakan-rakannya.
Sebab utama mereka mengambil bahagian dalam Kejohanan Pertempuran Roh adalah untuk meningkatkan reputasi Akademi Zephyr sekali lagi. Tetapi memandangkan mereka semua tidak akan pulang kembali ke Akademi Zephyr setelah kejohanan ini tamat, mereka tak dapat menerima sebarang undangan dan tawaran yang diberikan oleh pelbagai kuasa besar. Namun begitu, selagi mereka berada di Ibu Negara Diraja dan masih mengambil bahagian dalam kejohanan itu, reputasi mereka hanya akan terus meningkat. Bilangan orang yang akan mendekati mereka dan membawa pelbagai jemputan dan tawaran bagi menarik mereka juga akan terus meningkat.
"Cara paling senang ialah merapatkan diri kita pada satu kuasa tertentu," kata Fan Zhuo sambil mengetuk-ngetuk jarinya pada permukaan meja.
Asalkan mereka dilihat telah bersumpah taat setia pada satu kuasa tertentu, orang lain akan berputus asa dan akan mencari sasaran lain.
"Lei Chen?" tanya Hua Yao sambil mengangkat kening. Dia masih ingat lagi dalam dua pertemuan mereka dengan Lei Chen, dia telah menunjukkan "minat" yang tinggi terhadap Akademi Zephyr.
"Lei Chen mungkin telah menunjukkan minat yang tinggi terhadap Akademi Zephyr. Tapi kita tak boleh katakan yang dia berminat sepenuhnya dengan Akademi Zephyr. Sebaliknya, saya rasa fokusnya lebih menjurus pada Adik Xie," kata Fan Xhuo sambil memandang Jun Wu Xie. "Walaupun dalam dua pertemuan itu dia cuba sedaya-upaya untuk menyembunyikan minatnya terhadap Adik Xie, kata gelaran yang sengaja digunakannya itu telah mendedahkan niat tersembunyinya. Kalau betul tekaan saya, identiti Adik Xie di Akademi Zephyr sudah pun dibocorkan pada Lei Chen."
"Bocor? Apa maksud kamu?" tanya Qiao Chu sambil menggaru-garu kepala. Mindanya teramat keliru.
Fan Zhuo meneruskan untuk memberi penerangan, "Identiti sebagai pelajar fakulti Pemulih Roh, satu-satunya pelajar yang diiktiraf sendiri oleh Gu Li Sheng dan pelajar yang telah menyusun semula Teknik Pemulihan Roh.
"
"Macam mana Lei Chen tahu semua tu?" tanya Qiao Chu.
"Akademi Zephyr terletak agak jauh daripada Negara Yan dan Lei Chen tidak akan dapat menerima berita tentang akademi itu dalam masa yang singkat. Tapi jangan lupa yang ramai pelajar Akademi Zephyr sudah meninggalkan akademi dan berselerakan di akademi-akademi lain di seluruh dunia. Kalau Lei Chen berminat dengan Akademi Zephyr, dia akan hantar orang-orangnya untuk menyiasat identiti kita semua. Identiti saya, Abang Hua, Qiao Chu, Fei Yan dan Rong Ruo jelas dapat dilihat pada dasarnya dan mudah difahami. Kamu semua dinaikkan pangkat ke kampus utama melalui pemilihan di kampus cawangan dan saya pula adalah anak kedua Keluarga Fan. Tetapi identiti Adik Xie adalah yang paling hebat dalam kalangan kita," kata Fan Zhuo. Dia berhenti seketika lalu mengukir senyuman kecil di wajahnya.
"Saya rasa melainkan Lei Chen itu bodoh, dia akan sedar implikasi di sebalik kewujudan Adik Xie. Mustahil untuk menarik Gu Li Sheng pergi meninggalkan Akademi Zephyr. Kedudukan Gu Li Sheng yang unik juga membuatkan Lei Chen perlu mempertimbangkan pilihannya dan berhati-hati dalam membuat rancangan. Tetapi dengan adanya bakat berharga seperti Adik Xie di depan matanya, seseorang yang memiliki pengetahuan mengenai Teknik Pemulihan Roh yang setanding dengan Gu Li Sheng, mana mungkin Lei Chen dapat menolaknya dan membiarkan saja peluang berharga ini berlalu?"
"Maksudnya, sebab mengapa Lei Chen datang jauh-jauh ke sini sebelum ini adalah hanya kerana dia mahu merekrut Adik Xie?" Akhirnya Qiao Chu tersedar. Dia tertanya-tanya mengapa Lei Chen begitu teruja dengan Jun Xie ketika itu. Sangkanya, Lei Chen sudah mengetahui jantina sebenar Jun Wu Xie. Rupa-rupanya… dia yang terlalu banyak berfikir!
"Berdasarkan apa yang kita mahu cari di sini, mungkin merapatkan diri dengan Lei Chen adalah pilihan terbaik," kata Fan Zhuo sebagai kesimpulan.