"Jun Xie, apa pendapat kamu?" Akhirnya Fan Zhuo tetap memilih untuk membiarkan Jun Wu Xie membuat keputusan. Ini kerana sehingga ke detik itu, muslihat Jun Wu Xie tidak pernah membawa sebarang masalah besar pada mereka.
Jun Wu Xie memandang Fan Zhuo dan yang lain dengan tenang. Pastilah dia sudah terfikirkan apa jua yang Fan Zhuo beritahu mereka semua tadi. Tapi seperti kata Fan Zhuo, pilihan terbaik mereka sekarang ini ialah membina hubungan dengan Lei Chen. Lagipun, Lei Chen sudah pun mengambil langkah pertama untuk mereka. Lei Chen adalah pilihan paling jelas untuk mereka, tak kiralah demi mengelakkan pencari bakat yang menjengkelkan ataupun memudahkan mereka mencari kepingan peta itu.
"Kita buat begitulah," kata Jun Wu Xie sambil mengangguk.
"Jadi kita perlu pergi ke Kediaman Putera Mahkota sekarang?" Qiao Chu membuka mulut untuk bertanya. Dia masih ingat lagi dalam dua pertemuan mereka, sikap Jun Wu Xie terhadap Lei Chen amat dingin dan acuh tak acuh.
Jun Wu Xie menggelengkan kepala.
"Dia akan datang menawarkan diri pada kita."
Pada mulanya Lei Chen datang ke Lof Dewa disebabkan teknik Pemulihan Roh miliknya. Tetapi selepas Qiao Chu dan yang lain mempamerkan kuasa yang luar biasa, pasti Lei Chen akan tiba-tiba sedar bahawa Akademi Zephyr yang dikatakan sedang merudum itu masih lagi tinggi nilainya. Dia tidak akan melepaskan peluang baik ini dengan begitu sahaja.
Tidak lama kemudian, kata-kata Jun Wu Xie ternyata menjadi realiti.
Sedang Fan Jin sibuk menguruskan pencari bakat dan wakil-wakil dari pelbagai kuasa besar, kereta kuda dari Kediaman Putera Mahkota perlahan-lahan berhenti di pintu masuk Lof Dewa. Lei Chen melangkah turun dari kereta kuda itu. Matanya terpandang kerumunan yang berhimpit-himpit di dalam Lof Dewa.
Hanya sekilas pandang sudah cukup membuatkan mata Lei Chen mengecil. Tetapi riak wajahnya cepat-cepat berganti dengan senyuman. Seperti biasa, dia kelihatan seperti seorang Putera Mahkota yang mesra dan mudah didekati. Perlahan-lahan dia berjalan masuk ke dalam dewan di tingkat bawah.
Semua orang yang berada di situ untuk cuba merekrut para pelajar Akademi Zephyr tiba-tiba terpandang susuk tubuh Lei Chen dalam kalangan mereka. Seluruh dewan itu terus menjadi senyap dan semua orang memandang Putera Mahkota itu.
"Beta gembira melihat semua orang begitu memandang tinggi pada Akademi Zephyr. Tetapi Kejohanan Pertempuran Roh baru sahaja bermula. Tak kira apa pun urusan kamu dengan mereka, Beta mohon semua orang supaya tidak mengganggu para pelajar Akademi Zephyr yang amat memerlukan waktu berehat," kata Lei Chen dengan nada yang lembut dan mesra. Dia tersenyum lebar.
Orang-orang di Lof Dewa itu dapat mengumpulkan berita tentang pelajar Akademi Zephyr dengan begitu pantas. Jadi sudah tentulah mereka semuanya cukup bijak. Arahan Lei Chen itu disampaikan dengan baik. Dia menunjukkan sikap hormat pada mereka dan dengan tegasnya telah menyatakan pendiriannya.
Pada ketika itu, ramai orang dari pelbagai kuasa besar di seluruh dunia sedang berkumpul di Ibu Negara Diraja Negara Yan. Tiada siapa yang begitu bodoh untuk menentang Putera Mahkota itu di negaranya sendiri secara terang-terangan. Semua orang terus tersenyum kekok dan mengangguk sambil berjalan keluar dari Lof Dewa, seorang demi seorang.
Setiap orang menyedari bahawa Lei Chen telah menunjukkan minat terhadap Akademi Zephyr. Kalau mereka berniat mahu bersaing pun, mereka sedar yang mereka bukanlah tandingan bagi Putera Mahkota Negara Yan.
Ketika orang ramai mula bersurai, Fan Jin yang keletihan itu akhirnya dapat mengeluh lega.Menguruskan begitu ramai orang pada masa yang sama benar-benar merupakan satu cabaran padanya. Wajahnya sudah pun berasa tegang kerana terlalu banyak senyum. Tekaknya begitu kering sehingga dia merasakan ada asap yang akan keluar dari mulutnya selepas ini.
"Pasti sukar Guru Besar Fan nak uruskan. Siapkan satu teko teh bunga kekwa untuk Guru Besar Fan," kata Lei Chen. Dia tersenyum pada Fan Jin sambil mengarahkan pengurus rumah tumpangan Lof Dewa untuk menyiapkan minuman.
"Terima kasih di atas keprihatinan Tuanku." Suara Fan Jin sudah sedikit serak dan dia hanya mampu tersenyum pada Lei Chen.
Lei Chen membalas, "Guru Besar Fan ni terlalu kuat bekerja. Selama ini saya memang tahu yang para pelajar Akademi Zephyr ini berkemahiran tinggi. Prestasi mereka hari ini telah menunjukkan kemampuan mereka pada semua orang di Bandar Ibu Negara. Beta bimbang hal ini tak akan selesai hari ini. Saya rasa hari-hari mendatang akan jadi lebih sukar untuk Guru Besar Fan."
Fan Jin tersenyum pahit dan menggelengkan kepala.
Mata Lei Chen tertumpu pada tingkat dua. Dia cuba kelihatan bersahaja sambil bertanya, "Mereka semua dah balik ke bilik untuk berehat?"