Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 794 - Zephyr Kembali Bersinar (3)

Chapter 794 - Zephyr Kembali Bersinar (3)

Fei Yan dan yang lain turut bertindak seperti Qiao Chu dan terus duduk. Mereka kelihatan menggelabah dan terganggu.

"Kamu semua menang besar?" Jun Wu Xie berjalan masuk perlahan-lahan lalu berdiri di hadapan rakan-rakannya. Berdasarkan situasi di Lof Dewa, dia dapat meneka prestasi Qiao Chu dan yang lain di kejohanan itu.

Mereka berjaya membuatkan kuasa-kuasa dari seluruh dunia menukar fikiran tentang Akademi Zephyr dalam masa yang singkat iaitu selama separuh hari sahaja. Tak mungkin ada sebab lain melainkan Qiao Chu serta rakan-rakannya telah memusnahkan lawan masing-masing dan memenangi pertempuran di Kejohanan Pertempuran Roh.

Qiao Chu menarik nafas panjang dan mengangkat lambang di dadanya. Kemudian dia berkata sambil tersengih, "Bukan setakat menang. Kami tak perlu membuat serangan kedua pun untuk menamatkan perlawanan."

Bukannya mereka mahu memalukan pihak lawan, tetapi lawan mereka itu yang terlalu lemah. Mereka semua tak dapat pun menunjukkan kemahiran masing-masing.

Semua lawan yang ditentang oleh Qiao Chu serta rakan-rakannya berada di tahap roh merah atau jingga. Terlalu besar jurang di antara kuasa rohani mereka. Kalau mereka tak guna kemahiran mereka untuk meningkatkan kuasa rohani secara sementara pun, mereka masih dapat mengalahkan lawan dalam sekelip mata.

"Tapi sebenarnya…. Saya masih tak biasa sangat tiba-tiba saja nak pukul orang-orang Alam Bawahan," kata Fei Yan. Dia merenung tangannya sendiri. Sewaktu di Akademi Phoenix dulu, Yan Bu Gui dengan tegasnya melarang mereka daripada bergaduh dengan orang-orang Alam Bawahan. Walaupun orang-orang dari Alam Pertengahan biasanya bergantung pada kebolehan meningkatkan kuasa rohani mereka buat seketika bagi mencapai kuasa roh ungu, kaedah pertapaan yang mereka gunakan membolehkan orang-orang Alam Pertengahan mengembangkan kuasa serta bertambah maju dengan lebih cepat. Ini membuatkan kumpulan anak-anak muda ini yang semuanya sudah pun berbakat besar sejak lahir, berjaya mencapai kejayaan yang begitu cemerlang di Alam Bawahan.

Selama ini, Fei Yan dan rakan-rakannya hanya bertempur dengan orang-orang dari Alam Pertengahan, ataupun musuh-musuh dari Alam Bawahan yang sudah berusia dan memiliki tahap kuasa tertentu. Namun kali ini, mereka berhadapan dengan anak-anak muda yang hampir sebaya dengan mereka dan memiliki tahap kuasa yang.... tak ada cara lain lagi untuk menggambarkannya selain "lemah dan menyedihkan". 

"Perasaan saya pun sama. Saya rasa kita dah terlalu lama bergaul dengan Adik Xie dan kita terlupa jurang kekuatan di antara Alam Pertengahan dan Alam Bawahan. Saya asyik berfikir yang kedua-duanya agak sama, tapi sekarang nampak lebih jelas. Bukannya kita berat sebelah dalam pemahaman tentang dua alam berbeza ni. Cuma Adik Xie ni dah memecahkan semua batasan dan mengelirukan kita."

Qiao Chu bercakap sambil menopang dagu dan memandang Jun Wu Xie dengan penuh tanda tanya.

Kalau kelajuan perkembangan kuasa rohani mereka pun sudah dianggap pantas, maka perkembangan Adik Xie hanya boleh digambarkan sebagai "gila" dan "tak masuk akal". Jelas sekali budak ini berasal dari Alam Bawahan. Tetapi tahap kemajuannya berkembang lebih pantas daripada mereka!

Kalau bukan disebabkan pertempuran di kejohanan ini, mereka pasti sudah menganggap kekuatan di Alam Bawahan semuanya setara dengan Jun Xie.

Pertempuran mereka hari ini membuatkan mereka sedar betapa besarnya jurang di antara Alam Bawahan dan Alam Pertengahan. Pada masa yang sama mereka turut sedar… betapa gilanya kehebatan Jun Wu Xie!

"Kamu ni dari Alam Bawahan. Kalau kamu dilahirkan di Alam Pertengahan, entah-entah kamu dah capai roh ungu sekarang ni, bukan?" kata Qiao Chu yang semakin kagum dengan kuasa Jun Wu Xie yang menakjubkan.

Jun Wu Xie menjeling Qiao Chu dan berkata dengan tenang, "Roh berkontrak saya berbeza dengan orang lain."

Dia tidak fikir yang dia memiliki bakat yang hebat dalam pertapaan kuasa rohani. Cuma kebetulan sahaja dia telah mewarisi roh berkontrak pemilik tubuh ini. Kaedah pertapaan roh berkontrak jenis tumbuhan amat luar biasa. Selagi syarat yang tertentu dapat dipenuhi, pertapaan Jun Wu Xie bukan sahaja akan berlaku dengan pantas malah dia tidak perlu terlalu banyak berusaha pun.

"Tuah juga boleh jadi sebahagian besar daripada kuasa seseorang," kata Qiao Chu sambil mengeluh sedih. Bukan Jun Wu Xie seorang sahaja yang memiliki roh berkontrak jenis tumbuhan. Tetapi ramai yang memiliki roh berkontrak jenis ini tidak sedar pun dengan kebangkitan roh berkontrak mereka sepanjang hidup. Lagipun… memiliki roh berkontrak jenis ini ada baik dan buruknya.

Kepantasan perkembangan kuasa pertapaan mungkin sesuatu yang menggembirakan, tetapi bahaya tambahan yang datang bersama-samanya bukanlah sesuatu yang mampu ditanggung oleh orang biasa!

Related Books

Popular novel hashtag