Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 793 - Zephyr Kembali Bersinar (2)

Chapter 793 - Zephyr Kembali Bersinar (2)

Sewaktu Jun Wu Xie melangkah keluar dari biliknya, Lof Dewa itu sudah pun sesak dengan orang ramai. Hua Yao dan yang lain dikelilingi begitu ramai orang sehingga mereka hampir terhimpit. Wajah mereka kelihatan amat kurang sabar.

"Tuan-tuan dan Cik yang dihormati! Saya dari Bandar Barat Biru. Boleh saya tahu jika ada di antara kamu yang mempunyai sebarang hajat untuk ditunaikan? Bandar Barat Biru boleh memberikan tawaran terbaik!" Seorang lelaki yang kuat dan sasa mendepakan tangannya sebagai tanda mengalu-alukan Hua Yao dan rakan-rakannya.

"Saya dari Istana Bunga Hijau. Kalau ada dalam kalangan kamu yang berminat untuk sertai…"

"Saya ialah….."

"….."

Lautan manusia itu pasang dan surut, menghalang semua laluan lima sahabat ini untuk melarikan diri. Barisan demi barisan orang sedang bersaing untuk mendapatkan perhatian mereka.

Fan Jin yang baru sahaja memegang jawatan Guru Besar juga turut diganggu tanpa henti. Jemputan dari pelbagai kuasa besar di seluruh dunia ibarat titisan air hujan sewaktu ribut. Lof Dewa sebelum ini kosong dan sunyi. Pada malam selepas Kejohanan Pertempuran Roh, tempat itu tiba-tiba menjadi tempat paling popular untuk dilawati di seluruh Ibu Negara Diraja Negara Yan. Tangga di hadapan pintu itu hampir roboh disebabkan begitu ramainya orang datang ke situ. 

"Tak minat! Tak bolehkah kamu semua beri laluan!?" Wajah Qiao Chu menunjukkan perasaan tidak puas hati. Mereka telah menanti sepanjang hari untuk menghabiskan perlawanan pertama dan hanya mahu pulang ke Lof Dewa. Mereka mahu berehat dan merungut sesama sendiri. Siapa tahu ini yang akan berlaku sebaik mereka melangkah masuk ke Lof Dewa. Mereka tidak sempat sampai ke bilik pun dan mendapati mereka sudah pun terkepung dan tidak mampu mara lagi. Langsung tidak ada ruang untuk mereka bergerak.

Kalau tidak kerana mereka terfikir bahawa inilah yang reputasi Akademi Zephyr perlukan pada ketika itu, pasti mereka sudah menggunakan sepenuh tenaga untuk terus menghalau semua orang keluar dari situ.

Jun Wu Xie amat terkejut melihatkan selautan manusia di hadapannya. Dia tidak tahu betapa kecohnya keadaan setelah Hua Yao dan yang lain telah menunjukkan kuasa mereka di Kejohanan Pertempuran Roh. Setelah menyedari bahawa kerumunan orang di sekeliling Hua Yao dan yang lain itu semakin bertambah besar, Jun Wu Xie dengan bijaknya mengambil dua langkah ke belakang. Tubuhnya Jun Wu Xie kecil sahaja dan perhatian orang lain tertumpu pada Hua Yao serta yang lain. Sudah tentulah tiada siapa sedar yang ada seorang lagi telah "terlepas".

Jun Wu Xie berundur ke satu sudut yang lebih sunyi. Dia berpeluk tubuh. Jun Wu Xie yang tenang dan tidak terkesan, merenung Qiao Chu serta rakan-rakannya yang lain. Mereka kelihatan semakin tertekan.

"Dengar sini semua! Pelajar akademi kami baru saja selesai menempuh pusingan pertama dalam kejohanan ini dan mereka perlu berehat! Kalau ada apa-apa yang mahu disampaikan, beritahu saja pada saya. Cuma saya mohon agar kamu semua tidak mengganggu waktu rehat pelajar-pelajar kami." Disebabkan tidak ada jalan keluar lain daripada situasi ini, Fan Jin hanya mampu menarik semua perhatian itu ke atas dirinya.

Sebaik kata-kata tersebut diucapkan, kerumunan yang sedang gelisah itu terus bertenang. Mereka semua berpaling memandang Fan Jin. Masing-masing ligat berfikir sama ada lebih baik menyatakan tawaran terus pada para pelajar itu atau pun lebih elok membincangkannya dengan Fan Jin.

Ketika semua orang masih cuba memutuskan pilihan yang mana mahu diambil, Qiao Chu menyedari kehadiran Jun Wu Xie di satu sudut. Sebaik terlihat Jun Wu Xie mengangguk kecil, Qiao Chu terus melepaskan kuasa rohaninya dalam bentuk cahaya biru yang terang!

Sejurus kemudian, semua orang yang mengelilingi mereka berlima terus berundur. Tidak ada siapa yang berani menimbulkan kemarahan orang di tahap roh biru.

Apabila menyedari wajah Qiao Chu dan rakan-rakannya kelihatan amat kurang sabar, orang ramai di situ cepat-cepat berpusing lalu menghampiri Fan Jin.

"Guru Besar Fan Jin, boleh kita berbincang?"

Fan Jin tersenyum pahit dan mengangguk tanpa berdaya. Dia melambai sedih pada Qiao Chu dan yang lain. Mereka sudah terselamat. Fan Jin menerima nasibnya lalu membawa kerumunan orang ramai itu ke dewan utama di tingkat satu.

"Ya Tuhan! Saya hampir hilang nyawa tadi." Sewaktu orang ramai mula bersurai, Qiao Chu bersandar letih di satu kerusi. Memikirkan kembali keadaan ketika dia dikerumuni dan dilihat sebagai tangkapan besar tadi benar-benar membuatkan dia berasa seram sejuk.