Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 773 - Lain Mangkuk Lain Cawan (3)

Chapter 773 - Lain Mangkuk Lain Cawan (3)

Sikap Jun Wu Xie benar-benar di luar jangkaan Lei Chen. Sangkanya memandangkan budak itu telah menerima jemputannya, itu bermakna budak itu juga mahu merapatkan diri dengannya. Tapi selepas bercakap sepatah dua, budak itu terus tunduk dan memberi perhatian penuh pada seekor kucing!

Senyuman di wajah Lei Chen menjadi kekok. Fan Jin cepat-cepat dapat mengesan perasaan tidak selesa dan kejanggalan Lei Chen. Dia berpaling memandang Jun Wu Xie yang dingin dan tidak mesra itu lalu merasakan kepalanya mula pening.

Walaupun selama ini dia sedar yang personaliti Cik Muda itu bukanlah mudah untuk diterima oleh orang biasa, Lei Chen ini adalah seorang Putera Mahkota. Tidakkah sikap tidak mempedulikan status dan kedudukannya secara terang-terangan itu akan memalukan dia?

"Ehem… Jun Xie ini masih muda dan agak pemalu. Patik mohon Tuanku maafkan kami." Fan Jin tahu yang Jun Wu Xie pasti ada niat tersembunyi di sebalik penerimaan jemputan Lei Chen, tapi...

[Wahai Cik Muda, orang ini adalah Putera Mahkota! Kalau tak biasa bersopan pun, tak bolehkah kamu cakap sepatah dua sebagai tanda hormat? Membiarkan Lei Chen bercakap seorangan tu agak melampau, bukan?]

Setelah mengalami insiden yang huru-hara sebelum ini, Fan Jin kini terpaksa bersikap lebih matang.

"Oh… pemalu," kata Lei Chen sambil menggosok-gosok dagunya. Wajah yang ekcil itu tidaklah boleh dianggap amat tampan, tapi masih ada tarikannya. Rupa paras ini langsung tidak setanding dengan Fu Xuan yang jelita dan menggoda ataupun Qu Ling Yu yang manis dan comel. Tetapi sewaktu sepasang mata yang dingin itu memandangnya tadi, Lei Chen mendapati jantungnya tersentak, seolah-olah telah dicengkam oleh renungan sekilas itu. Tanpa sedar, matanya menjeling pinggang yang ramping serta tangan yang halus itu.

Pada usia semuda itu, masih sukar membezakan struktur tubuh lelaki dan perempuan. Pinggang yang ramping itu nampaknya tidak akan dapat bertahan dengan pelukan eratnya.

"Dia memang pemalu," Fan Jin meyakinkan sambil ketawa.

"Mungkin Beta terlalu berterus-terang. Harapnya Adik Jun tak takut," kata Lei Chen sambil tersenyum.

Jun Wu Xie langsung tidak mendongak tapi Qiao Chu yang berada di sisinya merasakan bulu romanya meremang.

[Kenapa dia ni guna panggilan Adik Jun!?]

[Ini kali pertama Putera Mahkota bertemu dengan Adik Xie, bukan? Kenapa nak guna panggilan mesra pula!?]

Saat itu Qiao Chu berani jamin yang jika Jun Wu Yao berada di situ, kepala Putera Mahkota yang terlebih mesra ini pasti sudah terpisah daripada tubuhnya!

Lei Chen tidak terlalu ambil kisah dengan layanan dingin Jun Xie. Dia berbual-bual seketika lagi dengan Fan Jin, kemudian bangun untuk meminta diri. Sebelum berlalu pergi, dia sempat mengucapkan selamat tinggal pada Jun Xie.

Namun begitu…

Jun Wu Xie tetap tidak menghiraukannya.

Selepas semua orang dari Kediaman Putera Mahkota meningglakan tempat itu, Fan Jin akhirnya mengeluh lega dan tersandar di kerusi. Dia baru sahaja memegang jawatan Guru Besar dan masih tidak biasa berdepan dengan situasi begini.

"Apa yang tak kena dengan Putera Mahkota tu? Sepanjang malam ni dia asyik panggil Jun Xie tu Adik Jun. Saya hampir melompat sebab geli dan bulu roma saya meremang!" kata Qiao Chu sambil menggigil dan menggosok-gosok lengannya. Mukanya herot menunjukkan perasaan jijik.

Kening Jun Wu Xie juga berkerut. Dia sememangnya tidak suka bertemu dengan orang asing, jadi perlakuan Lei Chen yang terlebih peramah itu membuatkan dia berasa tidak senang.

"Emm… Betulkah kamu semua nak pergi ke Kediaman Putera Mahkota esok?" tanya Fan Jin dengan hati-hati. Berdasarkan reaksi mereka, dia dapat lihat dengan jelas bahawa kunjungan Lei Chen itu tidak meninggalkan tanggapan positif tetapi sebaliknya membuatkan mereka meluat.

"Ya," kata Jun Wu Xie sambil mengangguk. "Benda tu ada padanya. Kalau pun kami hanya akan bertindak selepas Kejohanan Pertempuran Roh itu tamat, kami perlu meninjau-ninjau tempat itu dulu."

Jun Wu Xie mengecilkan matanya. Negara Yan kini telah mengumpulkan terlalu ramai orang. Selain para elit daripada pelbagai akademi, ada juga wakil-wakil kuasa besar lain dari seluruh dunia. Kalau mereka bertindak menentang Lei Chen sekarang dan rahsia mereka terbongkar, Lei Chen hanya perlu menggunakan kedudukannya sebagai Putera Mahkota Negara Yan untuk meminta bantuan. Dia dengan mudahnya akan mendapat sokongan pelbagai kuasa besar yang berkumpul di Ibu Negara Diraja. Jun Wu Xie masih belum yakin sepenuhnya dengan peluangnya untuk menang, jadi dia tidak bersedia untuk mendedahkan muslihatnya.