Setiap tahun, sebelum Kejohanan Pertempuran Roh bermula, Negara Yan akan mengadakan jamuan makan besar untuk meraikan semua peserta dari pelbagai akademi. Tetapi jamuan tahun ini sedikit berbeza kerana seluruh Kejohanan Pertempuran roh ini akan diuruskan oleh Putera Mahkota, Lei Chen. Jamuan makan ini juga akan dianjurkan olehnya dan diadakan di Kediaman Putera Mahkota. Dia akan menerima lebih seribu orang tetamu yang terdiri daripada semua pelajar dari pelbagai akademi yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini.
Malam baru sahaja berlabuh dan para pemuda dari pelbagai akademi di Bandar Ibu Negara Diraja bergerak dalam kumpulan untuk menuju ke Kediaman Putera Mahkota. Mereka telah memikirkan segalanya dengan teliti, tentang bagaimana mahu mempersembahkan sisi terbaik mereka di hadapan Putera Mahkota. Ini bertujuan meningkatkan peluang mereka dipilih untuk berkhidmat dengan Putera Mahkota. Para pemuda ini semuanya mengenakan pakaian beruniform akademi masing-masing dan berasa teruja serta bersemangat. Mereka melangkah keluar di bawah sinaran cahaya bulan yang menerangi laluan ke Kediaman Putera Mahkota.
Para pengawal di Kediaman Putera Mahokota berbaris di kedua-dua sisi pintu pagar utama. Lembing mereka dipegang kemas dan wajah mereka serius. Mereka kelihatan hebat dan mengagumkan.
Kediaman Putera Mahkota terletak di sebidang tanah yang luas dan dapat memuatkan sejumlah orang yang ramai. Ruang di dalam kediaman itu telah dihias dengan cantik dan kelihatan lebih mewah lagi. Inilah kali pertama para pelajar ini dapat masuk ke Kediaman Putera Mahkota. Mata mereka terbeliak dengan perasaan kagum sewaktu melihat bunga-bungaan yang memenuhi segenap ruang. Cahaya lampu dari tanglung bersinar terang dan semakin mempesonakan mata para pemuda yang naif dan kurang berpebngalaman ini sehingga mencetuskan keinginan yang tidak dapat dipadamkan.
Para pekerja di kediaman itu membawa pelajar-pelajar ini ke tempat duduk yang telah ditetapkan di sebuah plaza yang luas dan besar. Mereka dibahagikan kepada empat bahagian dan membentuk segi empat tepat besar dengan satu ruang kosong yang luas di tengah-tengah. Sebagai tuan rumah, Putera Mahkota duduk tegak di satu tempat yang tinggi. Dia tersenyum dan mengangguk pada para pemuda yang masuk ke tempat jamuan itu.
"Saya pernah lihat kemewahan sebelum ini tapi bukan sebesar ini. Berapa banyak yang mereka habiskan di Kediaman Putera Mahkota ini? Saiz tanah untuk kediaman ini saja hampir sama besar dengan seluruh Akademi Phoenix!" kata Qiao Chu. Matanya memandang di sekeliling kawasan kediaman itu yang dihias dengan mewah. Dia merenung perabot-perabot yang diperbuat daripada jed yang cantik dan bertatahkan batu permata yang berharga. Qiao Chu yang tidak tahu apa-apa tentang hal sebegini juga tahu pinggan mangkuk yang digunakan di kediaman itu untuk jamuan tersebut juga teramat mahal!
"Negara Yan adalah negara pertama yang ditubuhkan dan kini mereka merupakan kuasa yang paling besar. Negara ini dan rakyatnya amat kaya. Orang biasa di sini pun lebih kaya berbanding rakyat di negara lain, apatah lagi pemerintahnya," kata Fei Yan sambil mengangkat bahu. Dia sudah pun tahu semua ini sewaktu datang menyiasat dahulu.
Negara Yan sungguh kaya dan mewah. Pasukan ketenteraan mereka juga kuat. Walaupun tidak memiliki pasukan serangan elit seperti Tentera Rui Lin, jumlah anggota tentera mereka saja sudah cukup mengagumkan. Tak ada negara lain yang setanding dengan mereka.
Jun Wu Xie memandang semua yang ada di dalam Kediaman Putera Mahkota ini tanpa sebarang perasaan. Berbanding dengan kediaman Lei Chen ini, Kediaman Putera Mahkota tempat Mo Qian Yuan tinggal dulu hanya boleh dianggap sebagai buruk dan usang. Walaupun mereka berdua berkongsi pangkat Putera Mahkota yang sama, keadaan mereka jauh berbeza. Sama seperti negara kecil Kerajaan Qi itu yang tidak boleh dibandingkan dengan Negara Yan yang besar.
"Tuan-tuan semua dari Akademi Zephyr?" Seorang pelayan menghampiri mereka sambil tersenyum.
Jun Wu Xie mengangguk.
Pelayan itu kemudiannya menjawab, "Boleh Tuan-tuan bergerak menuju tempat jamuan? Majlis akan bermula tidak lama lagi. Izinkan saya bawa Tuan-tuan ke sana."
Jun Wu Xie dan yang lain mengekori pelayan itu dan berjalan masuk ke dewan jamuan. Mereka agak lewat tiba dan jamuan sudah hampir bermula. Jamuan untuk seribu orang itu diadakan di sebuah kawasan yang luas dan mereka lihat sudah ramai pelajar lain duduk di situ. Barisan tempat duduk yang berdekatan dengan Lei Chen sudah pun hampir penuh. Dalam kalangan pelajar yang duduk di situ, beberapa orang daripadanya mengenakan pakaian seragam Akademi Pembunuh Naga serta Akademi Panji Perang.
"Nampaknya ada maksud tersirat di sebalik aturan tempat duduk," kata Fan Zhuo sambil tersenyum setelah dia memandang sekeliling dewan jamuan itu. Semakin terkenal dan hebat sesebuah akademi itu, semakin dekat aturan tempat duduk pelajar mereka dengan Lei Chen. Bagi akademi yang tidak begitu dikenali, tempat duduk pelajar mereka disusun di barisan belakang dan terletak paling jauh dengannya.