Kini agak jelas yang susunan tempat duduk bagi jamuan tahun ini dibuat berdasarkan kekuatan akademi yang berbeza. Namun begitu, tak banyak rungutan yang boleh disuarakan. Mereka tidak tahu sama ada susunan ini hanya dibuat pada tahun ini atau pun sudah dilakukan pada setiap tahun.
Pelayan itu membawa Jun Wu Xie dan rakan-rakannya menuju tempat duduk yang berada di sebelah Lei Chen. Rupa-rupanya tempat duduk untuk Akademi Zephyr betul-betul berdekatan dengan Lei Chen. Hal ini menyebabkan ramai orang terkejut kerana mereka semua tahu yang Akademi Zephyr kini tidak sama seperti dulu. Hakikat yang Lei Chen masih memberikan layanan yang baik pada mereka telah melangkaui jangkaan ramai.
"Oh, Adik Jun dah sampai." Sebaik terlihat Jun Xie, Lei Chen bangun untuk mengalu-alukannya. Tindakan ini membuatkan ramai tetamu berasa terkejut!
Ramai yang sedar sewaktu para pelajar Akademi Pembunuh Naga dan Akademi Panji Perang sampai tadi, Lei Chen hanya mengangguk sebagai tanda sapaan. Dia tidak bangun pun. Kali ini pula, bukan sahaja Lei Chen berdiri, tetapi dia turut menyapa "Adik Jun"!
Pada ketika itu, mata semua orang tiba-tiba fokus pada Jun Xie yang telah menerima layanan istimewa daripada Putera Mahkota Lei Chen.
Semua orang mendapati diri mereka memandang seorang pemuda kecil molek yang berkelakuan dingin serta tidak mesra. Mata mereka meneliti Jun Xie dari kepala ke kaki, langsung tidak memandang tinggi pada budak tak guna itu.
Budak kecil ini nampaknya baru berusia empat belas atau lima belas tahun. Tubuhnya kurus dan dia kelihatan lemah. Rupa parasnya pun tidaklah begitu tampan. Apa yang Lei Chen nampak pada budak kecil ni?
Para pemuda yang sudah tekad mahu mendapatkan perhatian Putera Mahkota supaya mereka boleh menikmati kejayaan melebihi rakan-rakan mereka yang lain tiba-tiba berasa sedih. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menawan hati Putera Mahkota tapi hanya mendapat anggukan dan senyuman Lei Chen. Sebaliknya, budak tak guna tu muncul dengan wajah penuh cemuhan tapi Lei Chen memberinya sepenuh perhatian padanya!
Tanpa disedari, para pemuda yang mahu membodek Lei Chen tiba-tiba terus bencikan Jun Xie.
Namun begitu, Jun Xie hanya memandang sekilas pada Lei Chen tanpa sebarang perasaan. Dia tidak memberikan reaksi terhadap "layanan mesra" Lei Chen dan berpaling selepas memandang wajah lelaki itu sepintas lalu.
Lei Chen tidak kisah dengan layanan dingin Jun Wu Xie. Dia sudah pun mengarahkan orang untuk menyiasat Jun Xie dan para pelajar yang telah meninggalkan Akademi Zephyr mengesahkan yang Jun Wu Xie memang memiliki personaliti yang dingin. Malah ketika mereka berada di Akademi Zephyr pun perangainya tetap sama. Lei Chen juga ada mendengar cerita tentang "kegiatan penuh legenda" Jun Xie ketika di Akademi Zephyr.
Sewaktu berhadapan dengan salah faham, dia tidak membantah atau cuba menyangkal dakwaan itu. Sewaktu dia meningkat cemerlang, dia terus bersikap rendah diri dan lebih banyak diam.
Lei Chen tahu yang di seluruh dunia ini, tidak ramai orang tahu tentang Teknik Pemulihan Roh. Fakulti yang Gu Li Sheng tubuhkkan dan uruskan itu menerima jumlah pelajar yang teramat sedikit. Tambahan pula, pemahaman para pelajar ini dalam bidang Pemulihan Roh juga tidak seberapa, kecuali bagi Jun Xie. Dia cukup bagus sehinggakan Gu Li Sheng memuji bakatnya di khalayak ramai! Tidak syak lagi yang ini membuktikan nilai dan bakat Jun Xie.
Bagi seseorang yang berbaloi untuk direkrut, Lei Chen tidak kisah kalau personaliti dan kelakuan mereka pelik.
Selagi mereka berguna padanya, hal-hal lain boleh dibincangkan kemudian.
Qiao Chu dan lain turut duduk. Hanya peserta Kejohanan Pemulih Roh yang dijemput ke jamuan ini. Seluruh dewan jamuan itu juga dipenuhi anak-anak muda yang bersemangat.
Sebaik melihat Jun Wu Xie duduk di tempatnya, Lei Chen juga kembali ke tempat duduknya. Bersebelahan dengan Lei Chen adalah seorang lelaki yang gempal dan berpakaian mewah. Dia tiba-tiba merapatkan diri pada Lei Chen dan berkata, "Kenapa Kakanda begitu hormat pada orang-orang dari Akademi Zephyr? Akademi itu sudah pun merosot teruk. Kalau Kakanda beri mereka tempat di jamuan ini pun sudah cukup baik. Apa perlunya melayan mereka dengan begitu sopan?"