Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 764 - Rumah Lelong Roh Api (7)

Chapter 764 - Rumah Lelong Roh Api (7)

Rumah Lelong Roh Api itu benar-benar menepati namanya sebagai rumah lelong terbesar di Negara Yan. Pelbagai barang berharga dan jarang ditemui telah dibawa keluar satu per satu untuk dilelong. Para pembida bergaduh dan bersaing dengan sengit sehinggakan seluruh dewan itu menjadi kecoh serta bising.

Jun Wu Xie tidak menunjukkan minat terhadap semua barangan tersebut. Sehingga akhirnya selepas lama menanti dalam kebosanan, dia terlihat sesuatu yang dia perlukan.

Sebatang Teratai Darah dibawa naik ke atas pentas. Kelopak bunganya yang berwarna merah itu menunjukkan seolah-olah seluruh tumbuhan itu telah dicelupkan di dalam darah. Tumbuhan tersebut mendapat namanya disebabkan kelopak bunganya memiliki warna yang sama seperti darah merah segar. Teratai Darah mempunyai kesan yang memekatkan darah dan menenangkan rohani. Herba ini jarang ditemui. Teratai Darah begitu berharga sehinggakan Jun Wu Xie hanya pernah melihat gambarannya di dalam buku-buku perubatan dan tidak pernah melihat tumbuhan itu dengan matanya sendiri.

Teratai Darah merupakan satu jenis herba yang amat penting bagi membuat eliksir yang Yan Bu Gui perlukan. Setelah menanti selama separuh hari, Jun Wu XIe akhirnya menemui sesuatu yang berbaloi ditunggu.

Disebabkan terlalu jarang ditemui, harga Teratai Darah amat tinggi sehinggakan bidaan pertamanya sudah pun mencecah seratus ribu. Tambahan pula, Ibu Negara Diraja Negara Yan berbeza dengan Bandar Chan Lin. Jumlah orang kaya dan pedagang yang makmur di sini tidak mungkin dapat dibandingkan dengan Bandar Chan Lin yang kecil!

Bidaan bagi Teratai Darah baru sahaja dibuka apabila dalam sekelip mata, satu peperangan bidaan yang sengit telah tercetus. Dalam masa beberapa minit sahaja harga permulaan pada satu ratus ribu itu sudah meningkat sehingga mencapai lapan ratus ribu. Bidaan masih hangat dilakukan dan langsung tidak ada tanda-tanda akan reda!

Tak kiralah jika direbus dan terus dimakan atau digunakan untuk menghasilkan eliksir, Teratai Darah akan memberikan khasiat yang baik. Negara Yan adalah negara yang paling mewah dan rakyatnya teramat kaya sehinggakan orang lain terkejut. Apabila ditunjukkan barang berharga yang jarang ditemui dan amat berkhasiat ini, orang-orang kaya dalam kalangan penonton itu tidak dapat kekal duduk di kerusi. Mereka tidak mahu beralah dan sanggup membelanjakan wang sehinggakan harga Teratai Darah meningkat dari satu puncak ke puncak yang lain!

Jun Wu Xie masih tidak bergerak. Dia tahu kalau dia melakukan bidaan sekarang, harga tawarannya hanya akan diatasi. Dia membuat keputusan untuk menunggu sehingga perang bidaan itu reda sebelum melakukan bidaannya sendiri.

Namun apabila harga Teratai Mabuk itu terus meningkat, kening Jun Wu Xie mula berkerut.

Semua duit yang ada padanya adalah hasil daripada jualan di Rumah Lelong Chan Lin sebelum ini. Walaupun jumlah itu bukan kecil, tetap tidak cukup untuk bertahan di bawah asakan bidaan menggila itu. Ketika harga Teratai Darah mencapai tiga juta, Jun Wu berputus asa untuk melakukan sebarang bidaan.

Tiga juta itu sudah jauh melebihi apa yang dia mampu. Semua nota bank yang ada padanya hanya berjumlah tiga juta dan harga itu masih lagi meningkat walaupun kadar kenaikannya sudah agak perlahan. Tapi walaupun hanya meningkat sebanyak satu juta lagi, Jun Wu Xie tidak mampu membelinya.

Di Rumah Lelong Bandar Chan Lin sebelum ini, barang yang dijual kebanyakannya berharga di bawah satu juta. Jun Wu Xie tidak pernah faham tentang nilai wang. Satu-satunya peluang yang dia ada untuk menguruskan wang ialah ketika di Bandar Chan Lin. Harga di Rumah Lelong Roh Api ini tidak terjangkau oleh Rumah Lelong Chan Lin.

Disebabkan terkejut dengan situasi di Rumah Lelong Roh Api, Jun Wu Xie hanya mampu memandang dengan tidak berdaya. Persaingan untuk memiliki Teratai Darah masih sengit dan dia tidak mampu berbuat apa-apa.

Teratai Darah amat penting untuk Yan Bu Gui. Kalau Jun Wu Xie sendiri yang memerlukannya, dia tidak akan berasa begitu kecewa. Tetapi jika dia terlepas untuk memiliki Teratai Darah kali ini, dia tidak tahu berapa lama lagi yang harus ditunggu sebelum dia menemui tumbuhan itu lagi.

Perlu diingat yang sudah hampir setahun di dilahirkan semula. Dalam segala kejadian yang ditempuhinya, dia langsung tidak terlihat ada Teratai Darah di mana-mana. Melihatkan harga Teratai Darah ini semakin meningkat, jelas terbukti yang tumbuhan ini sangat berharga dan sukar ditemui.

Jun Wu Xie menggigit bibir. Matanya menunjukkan kekecewaan yang jarang dirasainya.