Reaksi Jun Wu Xie hampir tidak terlihat dan emosinya hanya terlihat sedikit di matanya. Tetapi perubahan kecil yang menyelubunginya itu tetap disedari oleh Jun Wu Yao yang berada di sisinya.
Melihatkan mata yang dingin dan jernih itu dikaburi perasaan tidak berdaya, Jun Wu Yao mengangkat keningnya sedikit.
Di mata jernih gadis kesayangannya itu, dia tidak pernah terlihat emosi ini yang hanya muncul pada "manusia normal".
"Kenapa ni?" tanya Jun Wu Yao dengan perlahan. Dia berpaling sedikit ke arah gadis itu dan menundukkan kepalanya untuk bercakap dengan lembut.
Nafas lelaki itu yang hangat terasa di telinganya. Jun Wu Xie berasa seperti lehernya digeletek oleh aliran udara yang hangat itu. Dia mengangkat kepala dan memandang tepat pada mata Jun Wu Yao yang kelihatan tertanya-tanya.
Jarak di antara mereka yang rapat itu membolehkan Jun Wu Xie melihat jelas dirinya yang dicerminkan di dalam mata Jun Wu Yao yang berwarna hitam pekat.
"Tak ada apa-apa." Jun Wu Xie menggelengkan kepala. Tetapi di dalam mindanya, dia memikirkan apa yang perlu dilakukannya untuk mendapatkan Teratai Darah itu. Kalau dia tidak ada wang yang cukup… Dia tertanya-tanya sama ada boleh menggunakan eliksir buatannya untuk ditukarkan dengan tumbuhan tersebut.
Jun Wu Xie masih agak yakin dengan kualiti eliksir yang ada padanya dan dia telah merancang segalanya. Memandangkan harga bidaan terakhir Teratai Darah itu pasti lebih tinggi daripada jumlah wang yang ada padanya, dia akan ingat siapa yang dapat memiliki Teratai Darah. Kemudian selepas bidaan itu berakhir, dia akan berunding sendiri dengan orang itu.
Orang-orang di sini hanya tahu beberapa kegunaan Teratai Darah. Kalaulah bukan kerana eliksir untuk Yan Bu Gui itu memang memerlukan Teratai Darah, Jun Wu Xie ada banyak lagi eliksir lain yang boleh menggantikannya. Kesan eliksir-eliksir ini lebih bagus daripada apa yang boleh didapati daripada Teratai Darah.
Jun Wu Yao menyedari ada sesuatu yang tak kena dan Jun Wu Xie bertegas menyatakan sebaliknya. Pandangan matanya beralih sedikit dan tertumpu pada Teratai Darah berwarna merah terang yang ada di atas pentas itu.
"Adik Xie mahu benda tu?"
Jun Wu Xie sedang fokus berkira-kira bagaimana dia mahu berunding dengan pembida yang menang. Ketika terdengar soalan Jun Wu Yao, dia hanya mengangguk tanpa sedar.
Jun Wu Yao tersenyum sedikit dan duduk tegak di kerusinya.
Ketika bidaan itu akhirnya mencecah empat juta lapan ratus ribu, lama juga keadaan sunyi daripada sebarang bidaan lain. Empat juta lapan ratus ribu itu bukan jumlah yang sedikit bagi sesiapa pun. Jumlah itu lebih daripada apa yang pedagang kaya biasa mampu bayar. Malah beberapa orang pedagang kaya yang terkenal di Negara Yan sudah pun menarik diri dari bidaan.
Ketika semua orang di dewan itu memikirkan yang Teratai Darah akan dijual pada harga itu, satu suara yang menawan tiba-tiba kedengaran di dalam dewan yang luas.
"Sepuluh juta."
Suara itu amat menyenangkan. Tidaklah begitu kuat tetapi kata-katanya jelas dapat didengar di telinga setiap orang.
Rumah lelong yang bising dan riuh itu terus senyap sunyi...
[Sepuluh juta?]
[Jumlah tak masuk akal apa tu?]
Malah sekumpulan orang yang teramat kaya di dalam dewan itu menjadi pucat setelah mendengar jumlah tersebut.
[Itu memang terlalu gila!]
[Bidaan terakhir bagi Teratai Darah hanyalah melebihi empat juta dan lelaki ini telah meningkatkan jumlahnya pada sepuluh juta!?]
[Digandakan dan dibundarkan!]
Setiap pasang mata berpaling tanpa ada yang terkecuali, mencari-cari sumber suara tersebut. Malah Jun Wu Xie yang tunduk berfikir tadi tiba-tiba mendongak setelah terdengar bidaan sepuluh juta itu. Hanya satu sahaja yang terlintas di fikirannya.
Dia perlu melepaskan begitu banyak eliksir miliknya.
Namun begitu, Jun Wu Xie cepat-cepat menyedari ada sesuatu yang tak kena. Dalam keadaan terkejut, dia tiba-tiba teringat yang ketika dia terdengar kata-kata tersebut, bunyinya begitu hampir dengan telinganya. Malah suara itu juga amat dikenalinya!
Dia terus berpaling dan terlihat Jun Wu Yao sedang mengangkat tangannya. Kepalanya dipalingkan ke arah Jun Wu Xie dan dia memandang gadis itu sambil tersenyum.
Di Rumah Lelong Roh Api, para pembida diminta mengangkat tangan kanan sewaktu membuat bidaan untuk menunjukkan merekalah yang telah menawarkan harga tersebut...