Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 721 - Tamparan Kelapan (2)

Chapter 721 - Tamparan Kelapan (2)

Nangong Xu kemudian bertanya dengan penuh berang, "Guru Besar tahu tak tempat apa sebenarnya ni?"

Ning Rui menjeling sekilas pada Nangong Xu tetapi sebenarnya matanya melihat satu ruang di belakang Nangong Xu lalu tersenyum dingin sebelum bertanya, "Tempat apa ni?"

"Tempat ini dipanggil Cenuram Penghujung Syurga! Tempat yang dipenuhi pelbagai bahaya yang sukar dipercayai. Jangan kata seluruh pelajar kita yang baru di usia remaja, pakar tahap indigo yang kuat pun tak berpeluang untuk selamat di situ. Saya tak tahu atas sebab apa Guru Besar memilih tempat ini untuk menjalankan ujian latihan tapi kita tak sepatutnya pergi ke situ!" Peta itu baru dihantar ke tangan Nangong Xu beberapa jam yang lalu dan dia diberitahu tentang laluan yang bakal diambil oleh konvoi mereka esok. Pada mulanya dia tidak mahu ambil peduli. Tetapi selepas meneliti peta itu dan menyedari bahaya yang bakal ditempuh, dia bergegas mendapatkan Ning Rui.

"Cenuram Penghujung Syurga? Senior Nangong bergurau ni. Macam mana tempat itu boleh jadi Cenuram Penghujung Syurga?" kata Ning Rui dengan bersahaja. Matanya masih lagi memandang ruang di belakang Nangong Xu.

Nangogn Xu yang nampaknya tidak menyedari hal ini terus berkata sambil mendengus, "Sebenarnya, saya pernah pergi ke situ sewaktu masih muda dahulu. Ketika itu saya bersama-sama dengan sekumpulan senior yang amat kuat. Mereka turun ke dasar cenuram manakala saya dan beberapa orang rakan yang lain menanti kepulangan mereka di atas cenuram itu. Tapi mereka tak kembali. Walau selepas bertahun-tahun berlalu, tak ada berita yang ada dalam kalangan mereka telah terselamat! Cenuram Penghujung Syurga ini terkenal sebagai tempat yang dipenuhi bahaya. Guru Besar tak boleh biarkan pelajar akademi kita pergi ke situ.Buruk akibatnya nanti!"

Cenuram Penghujung Syurga sudah menjadi tempat yang dipenuhi mimpi ngeri. Ketika itu dia hanyalah seorang remaja. Ayah dan beberapa orang pak cik Nangong Xu merupakan pakar yang terkenal di zaman mereka dan sudah lama mendengar pelbagai cerita tentang Cenuram Penghujung Syurga. Mereka terjumpa lokasi cenuram itu dan menjemput beberapa orang pakar yang sama kuat untuk pergi bersama-sama. Nangong Xu mengikut mereka ketika itu sekadar suka-suka, namun tak ada seorang pun dalam kalangan ahli kumpulan pakar berkemahiran tinggi itu yang kembali hidup-hidup. Setelah begitu lama masa berlalu, Nangong Xu percaya semua orang yang telah turun ke dasar cenuram itu semuanya telah kehilangan nyawa mereka.

Dia tidak tahu bagaimana Ning Rui tiba-tiba mendapat idea tidak masuk akal untuk menghantar pelajar Akademi Zephyr ke Cenuram Penghujung Syurga dan menjalani ujian latihan di sana. Namun begitu, Nangong Xu tahu yang dia mesti menghentikan hal ini daripada berlaku!

Ning Rui berpura-pura bingung sambil memandang Nangong Xu. Dia berdiri lalu berkata, "Tempat itu benar-benar adalah Cenuram Penghujung Syurga?"

Nangong Xu melihat yang dia akhirnya mendapat reaksi daripada Ning Rui lalu mengeluh lega dan cepat-cepat mengangguk, "Saya yakin telahan saya ini betul."

Ning Rui terus bertanya, "Senior Nangong ada beritahu sesiapa tentang hal berkaitan Cenuram Penghujung Syurga ini?"

Walaupun soalan-soalan Ning Rui agak pelik, Nangong Xu yang lurus dan suka jujur itu tidak menyedari ada apa-apa yang tak kena. Dia hanya menganggap Ning Rui sudah menyedari situasi itu amat serius dan akan membatalkan ekspedisi latihan itu. Sambil berfikir begitu, Nangong Xu terus berkata, "Sebaik saya sedar tentang destinasi peta ini, saya terus bergegas ke sini. Saya tak sempat nak beritahu orang lain."

Sebaik Nangong Xu selesai bercakap, Ning Rui tiba-tiba ketawa jahat.

"Memandangkan Senior Nangong tak beritahu siapa-siapa, keadaan masih baik."

Nangong Xu baru menyedari kata-kata Ning Rui itu pelik apabila dia tiba-tiba dapat mengesan gelombang aura membunuh yang kuat dari belakangnya. Nangong Xu terus mahu berpusing untuk menghadapi ancaman itu. Tetapi belum sempat dia bergerak, satu tangan yang panjang sudah menembusi dadanya dari arah belakang!

Sekuntum bunga merah pekat seolah-olah mekar di dada Nangong Xu. Matanya terbeliak, terkejut memandang Ning Rui yang sedang ketawa.

"Nangong Xu, kenapalah kamu ni suka menyibuk?" Senyuman di wajah Ning Rui menjadi herot dengan hodoh. Dia mengangkat kepalanya untuk memandang orang yang menyerang Nangong Xu dengan licik dari arah belakang.

Hujung bibir Gu Ying terangkat, wajahnya dipenuhi keseronokan. Dia menarik kembali tangannya yang telah menembusi badan Nangong Xu. Titisan darah hangat mengalir dari tangannya, menitis membentuk satu takungan merah di atas lantai!