Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 722 - Tamparan Kelapan (3)

Chapter 722 - Tamparan Kelapan (3)

Nangong Xu tiba-tiba rebah ke lantai dan darah membuak-buak keluar dari mulutnya. Matanya merenung Gu Ying yang sedang tersenyum berseri-seri.

"Orang yang banyak sangat tahu biasanya tak hidup lama. Setuju tak, Senior Nangong?" tanya Gu Ying sambil tersenyum memandang Nangong Xu menghembuskan nafas yang terakhir. Gu Ying kemudiannya mengangkat kepalanya dan memandang tangannya yang berlumuran darah. Senyumannya semakin lebar. Dia berpaling memandang Ning Rui.

"Saya tak sangka ada orang di Akademi Zephyr yang tahu tentang jalan ke Cenuram Penghujung Syurga. Nampaknya hal ini tak boleh dilengahkan lagi."

Ning Rui mengangguk. Hakikat yang Nangong Xu tahu tentang Cenuram Penghujung Syurga amat mengejutkan Ning Rui. Demi mengelakkan orang lain mengetahuinya, Ning Rui tidak ada pilihan selain membalas, "Saya akan cepat-cepat buat pengumuman. Para pelajar Akademi Zephyr perlu bertolak secepat mungkin."

Gu Ying mengangguk tanda puas hati dengan jawapan itu.

"Mereka akan tiba tak lama lagi. Sepatutnya mereka sempat sampai sebelum kita bertolak."

Menggunakan pelajar Akademi Zephyr merupakan salah satu jalan yang mereka gunakan untuk menjelajah di dasar Cenuram Penghujung Syurga. Gu Ying pun tahu sekumpulan anak muda yang tidak matang ini tidak cukup untuk membolehkan mereka mengetahui tentang bentuk muka bumi di dasar itu. Dia telah mengaturkan beberapa orang dari pihaknya untuk turut serta. Namun begitu, tugas meneroka jalan akan dilaksanakan oleh para pelajar Akademi Zephyr.

Niat Gu Ying di sebalik ekspedisi ini ialah untuk menggunakan nyawa para pelajar Akademi Zephyr yang ramai itu dan perlahan-lahan mencari jalan merentasi Cenuram Penghujung Syurga!

Ning Rui mengangguk dan terus memanggil Gongcheng Lei yang sedang berkawal di luar untuk menyampaikan pesanannya. Mata Nangong Xu masih terbeliak. Mungkin dia tidak sangka akan mati dibunuh oleh seorang pemuda yang masih di usia remaja.

Masa bertolak telah dipercepatkan dan ramai pelajar Akademi Zephyr yang merungut dalam diam. Tidak ada seorang pun yang berani menyatakan perasaan tidak puas hati mereka di hadapan Ning Rui yang tegas ini. Dalam masa empat jam, semua pelajar Akademi Zephyr siap berkemas dan berkumpul di dataran berdekatan pintu pagar Akademi Zephyr. Sedang mereka merenung barisan demi barisan kereta kuda yang ada di situ, para pelajar ini menyedari ekspedisi latihan yang menjerihkan itu hampir bermula.

Ning Rui sudah pun mengaturkan orang-orangnya untuk menunggu di hadapan pintu pagar utama. Mereka hanya menanti guru-guru dari setiap fakulti untuk selesai mengambil kehadiran dan akan terus bertolak selepas itu.

Namun begitu, sebaik guru-guru ini mahu melaporkan jumlah pelajar kepada Ning Rui, kedengaran bunyi keletak kaki kuda. Bunyi ini sampai ke telinga mereka dari kejauhan.

Ketika itu waktu sudah pun senja. Para pelajar ini melindungi mata mereka sambil memandang cahaya matahari petang yang hangat dan memancar dengan warna jingga kemerahan. Sebuah kereta kuda menuju ke arah mereka. Sambil diperhatikan semua orang, kereta kuda itu berhenti di hadapan pintu pagar akademi.

Kereta kuda tersebut kelihatan biasa sahaja. Pemandunya yang bertubuh tinggi lampai itu tidak mereka kenali. Para pelajar yang berdiri di hadapan pagar akademi tidak dapat menahan diri mereka daripada tertinjau-tinjau, berasa ingin tahu mengapa sebuah kereta kuda akan muncul di pintu pagar akademi pada ketika itu.

Kereta kuda itu tidak kelihatan seperti kereta kuda milik Akademi Zephyr. Saiznya lebih besar dan tidak ada lambang Akademi Zephyr di pintunya.

Ning Rui berpaling untuk memandang kereta kuda itu. Mereka hampir bertolak ke Cenuram Penghujung Syurga dan dia tidak mahu berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini. 

Satu susuk tubuh seorang pemuda yang lemah-lembut dan tinggi lampai perlahan-lahan melangkah keluar dari kereta kuda tersebut sambil diperhatikan semua orang di situ. Apabila wajah pemuda dapat dilihat, semua pelajar Akademi Zephyr yang berada di situ serentak menarik nafas terkejut!

Orang yang keluar dari kereta kuda itu tidak lain tidak bukan ialah seseorang yang sudah lama menghilangkan diri, Fan Zhuo!!