Hari ini keadaan di Akademi Zephyr amat kecoh. Memandangkan kini adalah penghujung tahun, mereka sepatutnya menunggu pemohon baru daripada pemilihan kampus cawangan. Setelah itu barulah mereka boleh mengadakan satu lagi pusingan Kejohanan Pertempuran Roh. Kemudian semua pelajar boleh kembali ke rumah masing-masing dan datang semula pada tahun hadapan.
Tetapi Ning Rui tiba-tiba mengumumkan yang semua pelajar di Akademi Zephyr akan menyertai satu ujian baru dalam latihan mereka. Memandangkan lokasi ujian ini jauh daripada Akademi Zephyr, perjalanan pergi dan pulang akan mengambil masa berbulan-bulan. Oleh itu, seluruh Akademi Zephyr perlu bersedia untuk bertolak dalam masa tiga hari.
Ning Rui juga mengingatkan para pelajar untuk membuat persiapan rapi. Menurutnya, latihan kali ini tidak diadakan di Hutan Pertempuran Roh, sebaliknya di dasar sebuah cenuram yang tinggi.
Sebaik berita itu tersebar, Akademi Zephyr yang sudah pun dilanda kegelisahan terus meledak menjadi huru-hara.
Riak-riak kegemparan daripada pembunuhan Guru Besar belum pun reda dan pihak akademi sudah pun memberikan satu lagi kejutan. Para pelajar yang sudah mula berkemas untuk pulang mula merungut dan merintih sebagai tanda bantahan.
Tetapi pengurusan Akademi Zephyr kini bukan lagi di bawah Fan Qi yang baik hati, tetapi Ning Rui.
Ketika Ning Rui memegang jawatan Naib Guru Besar, kelakuannya masih lagi baik. Namun sejurus selepas kematian Fan Qi dan Ning Rui mengambil alih sebagai Pemangku Guru Besar, dia tiba-tiba menjadi lebih kasar dan tegas. Selain itu, ada pula Gu Ying yang membunuh orang sesuka hatinya tanpa berasa kesal!
Baru-baru ini, Akademi Zephyr dilanda banyak kes kehilangan pelajar. Jauh di sudut hati mereka, ramai yang tahu bahawa pelajar-pelajar yang hilang ini sebenarnya telah dibunuh oleh Gu Ying. Pada mulanya, ada pelajar yang pergi bertemu dengan Ning Rui dan merayunya untuk menegakkan keadilan. Tetapi setelah menemui mayat pengadu itu yang dicampakkan di hadapan pagar akademi keesokan harinya, para pelajar lain tidak berani lagi menyebutkan hal ini.
Mereka semua sedar bahawa Ning Rui bersubahat dengan Gu Ying. Tidak kiralah betapa kuatnya mereka menangis dan merintih, Ning Rui tidak akan membela mereka.
Ketika saat-saat inilah mereka semua merindui Fan Qi yang baik hati dan selalu melindungi mereka. Tidak ada seorang pun dalam kalangan para pelajar yang ketakutan ini yang mengharapkan tahun pengajian mereka akan cepat-cepat berakhir. Mereka mahu pulang dan mengelak pembunuh gila itu.
Tetapi sebaik waktu itu hampir tiba, Ning Rui pula tiba-tiba mengumumkan ekspedisi untuk ujian latihan mereka!
Ramai yang membantah dengan tegas. Tetapi sebaik terpandang Gu Ying yang berdiri di sebelah Ning Rui, mereka tidak ada pilihan selain menelan sahaja rungutan mereka. Semuanya bersurai dengan kecewa. Masing-masing menundukkan kepala dan mengemas barang-barang untuk menempuh perjalanan panjang yang akan mereka jalani dalam masa tiga hari lagi.
Dalam hal berkaitan permintaan Ning Rui yang berlaku secara tiba-tiba dan diputuskan oleh dirinya sendiri, Nangong Xu tidak faham rasional di sebalik keputusan ini. Beberapa kali dia pergi ke pejabat untuk bertemu Ning Rui dan bertanyakan hal ini, tetapi telah dihalang oleh Gongcheng Lei yang berkawal di luar.
Memandangkan hanya ada satu hari lagi sebelum mereka bertolak, Nangong Xu tidak dapat menahan dirinya lagi. Dia membelasah Gongcheng Lei sehingga terpelanting dan menendang pintu pejabat Ning Rui sehingga terbuka!
Ning Rui sedang duduk di mejanya. Di atas meja tersebut terdapat kotak berisi abu Ning Xin. Sebaik Nangong Xu merempuh masuk ke dalam pejabat itu, Ning Rui mendongakkan kepalanya. Ada lingkaran hitam di matanya dan dia kelihatan amat letih dan lesu.
Nangong Xu sebenarnya sedang berang. Tetapi sebaik terlihat keadaan Ning Rui yang tidak bersemangat, dia terkejut seketika.
"Naib Guru Besar… apa yang berlaku pada kamu?" Nangong Xu terlihat Ning Rui yang nampak tidak bermaya dan kata-kata berbaur kemarahan yang hampir diluahkan, tiba-tiba tersekat di tekaknya.
Kening Ning Rui berkerut sedikit sewaktu dia memandang Nangong Xu. Dia berkata, "Senior Nangong nampaknya dah lupa yang kamu sepatutnya panggil saya Guru Besar." Sambil bercakap, Ning Rui perlahan-lahan menyimpan abu Ning Xin.
Nangong Xu membalas, "Baiklah, Guru Besar. Jadi boleh Guru Besar tolong jelaskan hal ini pada saya? Apa halnya dengan peta ni?" tanya Nangong Xu sambil melemparkan sekeping peta ke meja Ning Rui.
Peta itu baru diterimanya. Destinasi yang ditandakan di peta itu adalah tempat di mana ujian latihan untuk para pelajar Akademi Zephyr akan dijalankan.
Ning Rui menjeling sekilas dan menempelak,"Peta itu menunjukkan lokasi ujian latihan, Apa yang Senior Nangong marahkan sangat ni?"