Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 690 - Bertemu Kembali (2)

Chapter 690 - Bertemu Kembali (2)

Gu Ying menelengkan kepalanya dan meneliti Jun Wu Xie dari hujung rambut ke hujung kaki. Senyuman jahat bermain di bibirnya.

"Kenapa? Kamu tak ingat saya?"

Jun Wu Xie mengecilkan matanya dan dalam diam-diam meningkatkan pertahanan dirinya.

Pemuda ini lebih berkuasa daripada Qiao Chu dan rakan-rakannya yang berasal dari Alam Pertengahan. Walaupun tidak dapat dipastikan sama ada pemuda ini datang dari Dua Belas Istana atau tidak, sebelum ini dia telah membunuh begitu ramai orang di rumah lelong dengan begitu mudah. Itu menunjukkan betapa bahayanya dia.

Mengapa seseorang dari Alam Pertengahan boleh muncul di sini?

Jun Wu Xie terus menyedari yang Gu Ying memakai pakaian seragam pelajar Akademi Zephyr. Di dadanya tersemat lambang jed fakulti Pemulih Roh!

"Tak perlu berasa cemas. Walaupun sebelum ini saya katakan mata kamu teramat cantik, tapi… memandangkan kamu ni Jun Xie, saya akan biarkan kamu simpan mata kamu tu lebih lama sikit," kata Gu Ying sambil tersenyum. Namun kata-katnya itu mampu membuatkan seseorang berasa seram sejuk.

Jun Wu Xie merenung dingin sewaktu Gu Ying terus bercakap sendirian. Walaupun dia tidak dapat mengesan sebarang niat membunuh pada pemuda itu, dia tetap berwaspada.

Apabila Gu Ying mendapati Jun Wu Xie tidak akan memberikan sebarang jawapan, dia terus mengambil beberapa langkah ke hadapan.

"Ah! Ah! Ah!" Ah Jing yang sedang ketakutan di dalam timbunan jerami itu mula meraung ketakutan dan menggigil-gigil dengan kuat sebaik melihat Gu Ying perlahan-lahan berjalan menuju ke pintu dapur. Ah Jing cuba bersembunyi lebih dalam lagi di bawah timbunan jerami itu. Ketika dia sedang bergelut, beberapa jurai jerami berterbangan ke udara!

"Oh. Jadi kamu masih bersembunyi di sini." Sewaktu Gu Ying terlihat wajah Ah Jing yang ketakutan, senyuman kejam di wajahnya menjadi semakin lebar.

Dia berpaling memandang Jun Wu Xie sambil menuding jari ke arah Ah Jing lalu berkata, "Kamu kenal dia?"

Jun Wu Xie tidak bercakap walau sepatah dan ekspresi wajahnya kekal dingin. Dia menyedari raungan hiba Ah Jing yang semakin menggila sebaik terlihat Gu Ying. Suara Ah Jing kedengaran begitu hiba.

"Hmm? Kamu tak ingat?" Gu Ying tersenyum sambil terus melangkah. Dia kelihatan begitu seronok ketika menarik Ah Jing keluar dari timbunan jerami itu. Dia menarik rambut Ah Jing lalu mengheretnya di atas lantai yang dingin. Ah Jing yang sedang meronta-ronta itu dibawa ke hadapan Jun Wu Xie.

Wajah Ah Jing kelihatan pucat. Mulutnya yang tidak mampu lagi bercakap itu terus meraung tanpa henti.

"Kamu nampak berbeza daripada sebelum ni." Gu Ying menggosok-gosok dagunya sambil merenung Ah Jing. Matanya tiba-tiba bersinar kejam. Dia mengheret Ah Jing di belakangnya sambil mengorak langkah besar menuju satu bekas berisi air. Sambil menggenggam rambut Ah Jing, Gu Ying membenamkan kepala Ah Jing ke dalam bekas tersebut!

Ah Jing bergelut dengan sekuat hati, tetapi kuasa Gu Ying yang begitu kuat itu membuatkan usaha Ah Jing menjadi sia-sia.

Gu Ying kelihatan seronok melihat Ah Jing yang sedang meronta-ronta itu. Cahaya kekejaman terpancar di dalam matanya.

Kedengaran bunyi air terpercik!

Sejurus sebelum Ah Jing hampir lemas, Gu Ying akhirnya menukar arah genggamannya dan menarik Ah Jing keluar.

"Mungkin kalau macam ni kamu akan kenal dia?" Gu Ying tersengih sambil memegang Ah Jing yang basah kuyup dan berwajah pucat itu di hadapan Jun Wu Xie.

Air dari bekas itu telah membersihkan kekotoran pada muka Ah Jing. Muka Ah Jing ditolak begitu rapat ke hadapan mata Jun Wu Xie. Mata Ah Jing dipenuhi ketakutan dan wajahnya pucat lesi.

"Apa yang kamu mahu?" tanya Jun Wu Xie sambil merenung dingin pada Gu Ying.

Gu Ying membalas sambil ketawa, "Saya dengar budak ni ada mengutuk kamu sebelum ini. Jadi… saya potong lidahnya." Gu Ying meletakkan tangannya di rahang Ah Jing. Dia memaksa Ah Jing membuka mulut dan mendedahkan keadaan lidahnya yang sudah dikerat.