Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 691 - Bertemu Kembali (3)

Chapter 691 - Bertemu Kembali (3)

"Suka tak?" Gu Ying memandang Jun Wu Xie dengan mata yang penuh dengan kekejaman.

Akhirnya Jun Wu Xie tahu siapa yang telah mencederakan Ah Jing. Dia terus merenung dingin pada Gu Ying dan langsung tidak mempedulikan kata-kata lelaki itu yang mahu menimbulkan kemarahannya.

Gu Ying terdiam seketika.

"Nampaknya kamu tak puas hati… Tapi… orang-orang macam ni memang menjijikkan. Apa kata saya bantu kamu bunuh dia?" Gu Ying menggerakkan tangannya untuk mencengkam leher Ah Jing dengan kuat!

Muka Ah Jing terus bertukar menjadi biru!

"Tak perlu." Akhirnya Jun Wu Xie bersuara. "Lepaskan dia."

Dia tak percaya Gu Ying benar-benar hanya mahu membantu dia melepaskan kemarahannya. Walaupun ada banyak khabar angin yang tersebar tentangnya di Akademi Zephyr pada ketika itu, tak ada satu pun yang datang dari mulut Ah Jing. Pemuda itu hanya percayakan khabar angin yang jahat itu lalu memusuhi Jun Wu Xie. Kelakar betul kalau Gu Ying mengharapkan Jun Wu Xie percaya yang dia menyeksa Ah Jing disebabkan Ah Jing telah mencemarkan nama Jun Wu Xie!

Apa yang Gu Ying mahukan bukanlah untuk memuaskan hati Jun Wu Xie, tetapi menimbulkan ketakutan di matanya.

Gu Ying menerima permintaan itu dan melepaskan cengkamannya. Udara meluru masuk ke paru-paru Ah Jing dan dia terus duduk tegak sambil memegang dadanya. Sekali lagi Ah Jing cuba lari dalam ketakutan untuk bersembunyi di sudut paling jauh di bahagian belakang ruang dapur itu.

Gu Ying menjeling sekilas pada Ah Jing dan mengangkat kakinya lalu menghenyak perut Ah Jing dengan kuat!

"Ada saya cakap kamu boleh pergi?" Gu Ying bertanya pada Ah Jing sambil mengecilkan matanya. Dia kelihatan seperti lelaki yang berbahaya.

Ah Jing yang sudah hilang akal itu menggigil memandang sepasang mata yang kejam itu. Wajahnya menjadi pucat dan dia tidak berani bergerak lagi.

Gu Ying berpaling menghadap Jun Wu Xie sekali lagi dan berkata sambil tersenyum lebar, "Tak mengapa, saya pun tak patut kotorkan tangan saya dengan sampah macam ni. Kalau kamu rasa lebih baik dia dibiarkan hidup, saya tak akan ambil nyawanya. Saya baru terima berita kamu dah kembali dan saya cepat-cepat datang untuk berjumpa kamu. Saya belum kenalkan diri lagi. Nama saya Gu Ying dan saya baru saja diterima masuk ke fakulti Pemulih Roh. Mulai hari ini saya akan jadi junior kamu. Harapnya kamu sebagai pelajar senior bolehlah membimbing saya di masa hadapan."

[Junior?] Bibir Jun Wu Xie mengukir senyuman sinis.

"Gu Li Sheng yang berikan nasihat ni dan saya harap Senior tak tolak permintaan saya." Gu Ying menyedari sikap Jun Wu Xie yang tidak mesra dengannya, tetapi dia tidak mempedulikannya.

[Mata yang berkilauan serta renungan yang dingin. Sama menarik seperti kali terakhir saya melihatnya di Rumah Lelong Chan Lin.]

[Tapi...]

[Sayangnya dia perlu kekal hidup lebih lama lagi. Saya belum boleh lagi korek keluar mata itu!]

"Kamu mahu belajar Teknik Pemulihan Roh?" Jun Wu Xie dapat menangkap maksud di sebalik kata-kata Gu Ying.

"Betul tu." balas Gu Ying sambil tersenyum bersahaja. 

"Lepaskan dia dulu," kata Jun Wu Xie sambil memandang Ah Jing yang berada di bawah kaki Gu Ying. 

Gu Ying sebaliknya membalas, "Saya tahu Senior tak suka tinggal di asrama dan lebih suka duduk di hutan buluh kecil ini. Kalau Senior benar-benar mahu, tinggal sajalah di sini. Demi membolehkan saya lebih rapat dengan Senior, mestilah saya juga perlu tinggal di sini. Si sampah ni nampaknya dulu pernah jadi orang suruhan di tempat ini. Saya nak biarkan saja dia terus berada di sini dan berkhidmat untuk saya dan Senior."

Jelas sekali sebelum kepulangan Jun Wu Xie ke situ, Gu Ying sudah membongkar segala-galanya yang perlu diketahui tentang Jun Wu Xie di Akademi Zephyr.

Malah dia juga tahu tentang kesalahan Ah Jing.

Jun Wu Xie merenung Gu Ying. Walaupun dia sudah belajar cara untuk meningkatkan kuasanya secara sementara sehingga mencapai tahap ungu, dia tahu yang dia masih bukan tandingan Gu Ying. Kalau dia bertindak terburu-buru di situ, Jun Wu Xie risau dia yang akan kalah nanti!

"Ikut suka hati kamulah," kata Jun Wu Xie dengan acuh tak acuh. Dia terus berpusing untuk pergi, tak sanggup lagi untuk terus memandang Gu Ying walau seketika.

Kemunculan Gu Ying membuatkan Jun Wu Xie sedar pemuda ini mungkin datang daripada salah satu daripada Dua Belas Istana yang bekerjasama dengan Ning Rui, sama seperti dua orang lelaki yang menyerangnya di Puncak Berawan sebelum ini.