Ayat-ayat yang tidak disusun berturutan ini hampir memenuhi satu dinding dan nampaknya tidak ditulis pada masa yang sama. Sebaliknya, ayat-ayat ini menceritakan keadaan pemilik rumah batu ini yang perlahan-lahan tenggelam dalam kekecewaan dan perasaan putus harapan.
Apa yang membingungkan Jun Wu Xie ialah pemilik rumah batu ini bukanlah seseorang yang berasal dari Alam Pertengahan. Berdasarkan ayat-ayat yang ditinggalkannya, tak sukar untuk mentafsirkan yang orang ini berasal dari Alam Bawahan dan dia merupakan seorang lelaki yang berkedudukan tinggi. Mungkin juga dia adalah pemerintah sesebuah negara ataupun ahli keluarga diraja.
Tetapi lelaki ini telah menarik perhatian orang-orang dari Dua Belas Istana dan ditawarkan jalan untuk mencapai roh ungu. Sebagai balasan, dia perlu menjadi boneka mereka dan disuruh pergi ke dasar Cenuram Penghujung Syurga.
Lelaki ini tidak datang ke sini sendirian dan membawa bersama sekurang-kurangnya beberapa ratus ribu orang pengikut. Tetapi setelah sampai di Cenuram Penghujung Syurga, pengikutnya mati seorang demi seorang. Hanya dia sahaja yang bertuah dan dapat kekal selamat. Namun begitu, dia telah tersesat di dalam kabus dan tidak berjaya mencari jalan keluar. Akhirnya dia mengumpulkan batu-batu di kawasan sekeliling dan membina rumah batu yang ringkas ini sebagai tempat perlindungan sementara.
Tapi situasi yang dianggap sementara itu berlanjutan sehingga bertahun-tahun lamanya.
Jun Wu Xie tidak dapat membayangkan kekecewaan yang dirasai oleh lelaki itu sebelum dia mati sehinggakan sanggup menyalakan api yang besar demi menghapuskan dirinya serta segala-gala yang ada di situ. Dia juga tidak tahu cara apa yang lelaki itu gunakan untuk membolehkannya menyalakan api di kawasan yang amat lembap ini.
Namun berdasarkan keadaan di luar yang gelap dan kelam, pasti lelaki itu telah berjaya. Kawasan itu hangus terbakar dengan teruk sehinggakan tak ada apa yang boleh tumbuh lagi di situ. Sejak kejadian tersebut, kawasan itu kekal menjadi tempat yang tandus dan gersang.
Jun Wu Xie tidak dapat menentukan berapa lama lelaki itu telah mati dan dia juga tidak menemui sebarang rangka manusia di kawasan berhampiran. Suhu di dalam kabus itu yang sentiasa rendah telah membersihkan permukaan rumah batu itu yang hangus terbakar. Jun Wu Xie dapat mengagak yang lelaki itu telah lama meninggal dunia.
Tetapi apa yang Jun Wu Xie fikirkan ialah beberapa perkataan yang lelaki itu ukir pada batu sejurus sebelum dia mati.
[Roh ungu hanyalah hasil pembakaran kuasa rohani seseorang.]
Ayat ini telah menarik perhatian Jun Wu Xie.
Qiao Chu dan yang lain ada mengatakan bahawa orang dari Alam Pertengahan dilahirkan dengan kebolehan untuk menggunakan kuasa rohani bagi mencapai tahap roh ungu. Memandangkan mereka memiliki kebolehan ini sejak lahir dan hakikat yang mereka telah meninggalkan Alam Pertengahan pada usia yang muda, mereka tidak begitu memahaminya. Yan Bu Gui juga tidak begitu jelas tentang bagaimana kebolehan semula jadi mereka ini berfungsi.
Menurut mesej yang lelaki itu tulis sebelum dia mati, kebolehan ini bukanlah milik eksklusif orang-orang Alam Pertengahan. Ini kerana, jelas sekali lelaki tersebut berasal dari Alam Bawahan. Hasil tunjuk ajar dan bimbingan orang-orang yang telah membuat perjanjian dengannya, lelaki itu telah belajar cara untuk mencapai tahap roh tahap ungu secara sementara! Kata-katanya membuktikan semua ini!
"Roh ungu hanya merupakan hasil pembakaran kuasa rohani seseorang…" Jun Wu Xie berulangkali memikirkan ayat yang sama dan cuba memahami maksud di sebaliknya.
Walaupun kuasa rohani Jun Wu Xie meningkat pada kadar yang pantas, jika dibandingkan dengan kuasa musuhnya, jurang kekuatan ini masih begitu besar. Mencapai tahap roh ungu hanya merupakan langkah pertama dalam pembalasan dendamnya. Sewaktu tidak mengetahui bahawa orang di Alam Bawahan juga mampu mempelajari teknik untuk meningkatkan kuasa rohani ke tahap ungu, dia sudah pasrah menerima hakikat yang keadaan ini mustahil baginya. Tapi kini selepas mengetahui yang kemungkinan itu wujud, tentulah Jun Wu Xie tidak akan membenarkan peluang ini terlepas dengan begitu mudah.
Membakar kuasa rohani. Apa maksud sebenar di sebaliknya?
Jun Wu Xie mengecilkan matanya sambil berfikir dalam-dalam. Memandangkan dia tidak mampu bergerak, lebih baiklah dia menggenggam petunjuk ini dengan kuat. Dia mahu cuba lihat jika dia mampu mencapai sebarang peningkatan!
Jun Wu Xie menenangkan fikirannya lalu mula menolak dan merangsang kuasa rohani di dalam badannya supaya beredar melalui salur darah serta arterinya. Sewaktu berusaha bertungkus-lumus untuk mempertingkatkan Teknik Pemulihan Roh sebelum ini, Jun Wu Xie telah menjalani banyak latihan untuk mengawal kuasa rohani di dalam badannya. Memandangkan eksperimennya kini memerlukan Jun Wu Xie menguji kuasa rohani di dalam badannya, boleh dikatakan bahawa tugasan ini mudah saja baginya.