Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 676 - Melarikan Diri dari Cenuram Penghujung Syurga (1)

Chapter 676 - Melarikan Diri dari Cenuram Penghujung Syurga (1)

"Di mana agaknya Jun Xie?" Satu bulatan cahaya bersinar dari dalam kabus yang gelap itu dan perlahan-lahan bergerak ke hadapan.

Qiao Chu sedang memegang sebatang kayu yang panjang. Dia mengalami kesukaran untuk berjalan di atas lumut yang lembap dan basah.

Kupu-kupu Neraka berkilauan sewaktu terbang keluar dari dalam kegelapan menuju cahaya yang menyelubungi sekumpulan rakan itu. Kupu-kupu tersebut berhenti di hujung jari Rong Ruo.

"Tak jumpa apa-apa," lapor Rong Ruo sambil berkerut. Sejak hari mereka diserang oleh raksasa itu, mereka semua tiba-tiba terpisah kerana satu puting beliung yang kuat telah mencampakkan mereka ke arah berbeza. Ketika Rong Ruo tersedar, dia terus melepaskan Kupu-kupu Neraka untuk pergi ke sebalik kabus dan mencari rakan-rakannya.

Kini setelah separuh bulan berlalu sejak kejadian itu, Rong Ruo telah mengekori Kupu-kupu Neraka dan akhirnya dapat bertemu semula dengan Qiao Chu serta rakan-rakannya yang lain. Malah Ye Sha dan Ye Mei juga berjaya ditemui hasil pencarian Kupu-kupu Neraka. Namun mereka masih belum dapat menemui jejak Jun Wu Xie. Dia seolah-olah telah lenyap sepenuhnya di dalam kabus. Tak kira berapa banyak Kupu-kupu Neraka yang Rong Ruo lepaskan,mereka masih tidak dapat menjejaki Jun Wu Xie.

Disebabkan mereka dikelilingi lubang benam, perjalanan mereka amat perlahan. Perasaan cemas yang mencengkam hati mereka juga membuatkan mereka semua berasa amat gelisah.

Sebelum mereka terpisah, mereka semua menyaksikan dengan jelas serangan raksasa itu ke atas Jun Wu Xie. Mujurlah Tuan Embek Embek mengambil tindakan pada saat kritikal itu. Namun tak ada siapa dalam kalangan mereka yang benar-benar pasti Jun Wu Xie terselamat daripada serangan itu.

Mereka semua berasa bimbang dan cuba tidak memikirkan hal yang buruk. Tapi walau sekecil mana sekalipun peluang yang ada, tidak ada seorang pun yang akan berputus asa untuk mencari Jun Wu Xie. Mereka tak percaya, enggan percaya bahawa gadis syaitan kecil yang degil itu akan kehilangan nyawanya di sini.

"Adik Xie kita tu kuat orangnya. Dia mampu jaga dirinya sendiri." Fan Zhuo juga tidak begitu pasti sama ada dia sedang meyakinkan rakan-rakannya atau menenangkan dirinya sendiri.

Hitam Kecil dan Tuan Embek Embek, dua pengawal peribadi Jun Wu Xie yang kuat dan hebat sering ada bersama-samanya. Dia dianggap orang yang paling dilindungi dalam kalangan mereka. Tapi sewaktu hari kejadian itu, Tuan Embek Embek telah dijilat api demi menyelamatkan Jun Wu Xie. Walaupun mereka tidak dapat menentukan tahap kecederaan Tuan Embek Embek, keadaan badannya yang hangus itu telah terpahat di minda mereka.

Di dalam hati, mereka sedar yang pada ketika itu Tuan Embek Embek tak akan berupaya untuk melindungi Jun Wu Xie.

Ahli kumpulan itu enggan berputus asa. Mereka tidak henti-henti cuba mengesan jejak Jun Wu Xie. Semua ahli kumpulan itu telah membuat keputusan bahawa sebelum mereka menemui Jun Wu Xie, mereka langsung tidak akan melangkah keluar dari Cenuram Penghujung Syurga.

Ye Mei dan Ye Sha lebih bimbang berbanding yang lain. Jika Jun Wu Xie kehilangan nyawanya di dasar Cenuram Penghujung Syurga ini, mereka tak berani memikirkan tahap kemarahan Tuanku!

"Keadaan ini tak boleh berterusan. Saya perlu bertindak dulu." Ye Mei akhirnya bersuara sambil mengetap giginya. Perangkap di sekeliling makam yang direka serta dibina oleh Rejim Kegelapan ini lebih rumit dan teruk daripada apa yang mereka fikirkan. Dia dan Ye Sha telah cuba keluar dari kabus ini tetapi hasilnya amat mengecewakan.

Pada ketika ini, mereka berdua tidak berada dalam keadaan yang baik. Mereka telah tercedera dan masih belum lagi pulih daripada kecederaan tersebut. Ini membuatkan mereka terlalu lemah untuk menangani situasi ini.

"Kamu nak pergi cari Tuanku?" Ye Sha merenung Ye Mei, meneka niatnya dengan tepat berdasarkan ekspresi wajahnya.

Ye Mei mengangguk.

"Hanya Tuanku yang mampu meneroka tempat ini tanpa halangan."

Ye Sha berkerut sambil mempertimbangkan keputusan ini. Akhirnya dia menyerahkan seekor ular hitam kecil ke tangan Ye Mei.

"Sebaik ular ini mati, itu bermaksud kami dah temui Cik Muda."

Ye Mei menerima ular hitam itu lalu mengangguk. Setelah mengucapkan selamat tinggal pada Qiao Chu dan yang lain, dia terus lenyap di sebalik kabus.

Walaupun Ye Sha dan Ye Mei mengalami kesukaran untuk terus bergerak dan meneroka dasar Cenuram Penghujung Syurga, meninggalkan kawasan ini juga bukan tugas yang mudah.

Disebabkan mereka dikelilingi bahaya yang tidak berkesudahan, mereka tidak ada pilihan selain melibatkan Jun Wu Yao. Kalau tidak kehilangan Jun Wu Xie ini merupakan kesalahan yang tidak boleh diampunkan. Tiada siapa dalam dunia ini yang mampu menanggung beban kesalahan ini.

Related Books

Popular novel hashtag