Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 647 - Pergi ke Cenuram Penghujung Syurga (2)

Chapter 647 - Pergi ke Cenuram Penghujung Syurga (2)

Malah Fan Zhuo juga tidak tahu tentang asal usul Roh Api miliknya. Dia telah mewarisi Roh Api itu daripada ibunya. Fan Zhuo dapat menggunakannya disebabkan pertalian darah yang wujud di antara mereka.

Selama ini, cara bagaimana seseorang Penempa Cincin itu mendapatkan Roh Api mereka masih kekal misteri. Ini kerana tidak seorang pun Penempa Cincin yang memberitahu rahsia ini pada orang lain.

Malah ibu Fan Zhuo juga tidak pernah menyebut tentang hal ini padanya.

Hal ini menyebabkan Jun Wu Xie tidak dapat merealisasikan impiannya dan menghalangnya daripada menjadi seorang Penempa Cincin.

Senja mula berlabuh. Kereta kuda itu berada pada jalan pergunungan. Mereka sudah pun melalui separuh perjalanan dan dijangka tiba di Cenuram Penghujung Syurga dalam masa lima hari lagi.

Kini Jun Wu Xie dan rakan-rakannya berada jauh dari kawasan bertamadun. Tak ada orang dalam lingkungan beratus batu dari mereka. Langsung tidak ada bandar yang kelihatan dari puncak yang tinggi ini dan mereka sudah lama tidak melihat orang lain di jalan yang mereka lalui.

Mu Qian Fan menghentikan kereta kuda di tepi jalan pergunungan itu. Jun Wu Xie dan yang lain keluar dari kereta kuda tersebut seorang demi seorang. Mereka menyalakan api di bawah seketul batu yang terjulur keluar serta mendirikan khemah. Masing-masing bersiap-sedia untuk berehat.

Walaupun selama ini mereka hanya duduk sahaja di dalam kereta kuda itu, perjalanan yang mencabar selama sepuluh hari itu telah meletihkan tulang-tulang mereka. Bentuk muka bumi yang tidak rata membuatkan mereka melambung-lambung sepanjang perjalanan. Mu Qian Fan semakin pulih daripada kecederaannya. Lebih separuh daripada pembalut luka yang menutupi badannya itu telah dibuka. Walaupun kulit yang tumbuh semula pada luka-luka itu mempunyai parut yang teruk, keadaannya kurang menggerunkan berbanding dahulu. Namun begitu, mukanya masih berbalut. Ada masanya dia perlu bercakap dan ini akan membuatkan kulitnya terkoyak. Sebab itulah luka pada mukanya memerlukan masa yang lebih lama untuk sembuh.

"Biar saya pergi cari kayu api." Mu Qian Fan menyedari malam hampir tiba, jadi dia terus berdiri dan berjalan menuju kawasan pokok-pokok.

"Mu Qian Fan itu memang ringan tulang betul. Sepanjang perjalanan ni dia buat semua kerja sendirian sampaikan saya rasa macam orang tak berguna pula," kata Qiao Chu sambil mengurut-urut lututnya yang lenguh. Sewaktu beberapa hari pertama dulu, dia mahu membantu Mu Qian Fan melakukan beberapa kerja tetapi pertolongannya ditolak dan Mu Qian Fan menyuruh Qiao Chu kembali menyertai rakan-rakannya.

Mu Qian Fan sering berebut-rebut untuk melakukan semua kerja dan tidak membenarkan mereka membantunya langsung.

"Saya nak pergi periksa kawasan sekeliling kalau-kalau dapat cari sumber air." Rong Ruo berdiri dan cincin roh di jarinya bercahaya. Kupu-kupu Neraka terbang keluar dari cahaya cincin itu lalu mengepak-ngepak dan menari-nari di sekeliling Rong Ruo.

"Saya ikut kamu." kata Fei Yan lalu berdiri.

Mereka berdua mengekori Kupu-Kupu Neraka dan berjalan ke arah di mana mereka mungkin dapat mencari sumber air.

Tuan Embek Embek berada berdekatan dengan kaki Jun Wu Xie, mengunyah-ngunyah rumput di situ sehingga botak. Tapi Tuan Embek Embek masih lagi belum puas dan menyondol-nyondol kaki Jun Wu Xie dengan kepalanya yang berbulu itu.

"Embek!"

[Tuan Embek Embek… masih lapar!]

Hitam Kecil menterjemahkan kata-kata Tuan Embek Embek untuk Jun Wu Xie. Kemudian Jun Wu Xie mengangkat tangannya dan menepuk-nepuk kepala Tuan Embek Embek.

Tuan Embek Embek tidak boleh dipersalahkan kerana menjadi pelahap. Sepanjang waktu siang, mereka semua berada di dalam kereta kuda yang terus-terusan bergerak. Ketika berada di dalam kereta kuda itu, sekumpulan manusia itu masih boleh mengunyah makanan kering, tetapi Tuan Embek Embek hanya makan sayuran hijau. Walaupun badannya nampak kecil pada ketika ini, badan sebenar Tuan Embek Embek teramat besar. Kawasan berumput sebesar beberapa meter itu tidak cukup untuk sekali makan. Kalau mereka benarkan Tuan Embek Embek makan dengan kenyang setiap kali tiba waktu makan, perjalanan mereka pasti akan mengambil masa yang lebih lama.

"Saya pergi tengok-tengok kawasan sekeliling." Jun Wu Xie berdiri. Kalau keadaan berterusan begini, tak lama lagi Tuan Embek Embek akan mula memprotes.

Qiao Chu memandang Jun Wu Xie sambil ketawa. Dengan acuh tak acuh dia mengingatkan Jun Wu Xie supaya berhati-hati sebelum dia kemudiannya cepat-cepat menyelongkar bekalan makanan untuk mencari daging kering. Dia mahu membakar daging kering itu di atas api dengan perlahan-lahan.

Dari segi kuasa, walaupun Jun Wu Xie tidak seperti mereka yang boleh meningkatkan kuasa ke tahap ungu, dia masih memiliki dua pelindung yang ganas iaitu Hitam Kecil dan Tuan Embek Embek. Boleh dikatakan Jun Wu Xie sebenarnya memiliki kekuatan paling dominan dalam kalangan mereka.

Jun Wu Xie berjalan menuju kawasan berpokok-pokok di satu sisi sambil membawa Hitam Kecil dalam pelukannya. Tuan Embek Embek pula mengekori Jun Wu Xie dengan gembira. Kakinya menghentak-hentak tanah dan ekornya yang berbulu itu bergoyang-goyang.

Related Books

Popular novel hashtag