Cahaya bulan bersinar melalui celah-celah kanopi dedaunan yang tebal, membiaskan cahaya pada rumput dan menjadikannya kelihatan seperti langit yang berbintang. Jun Wu Xie berdiri di bawah cahaya bulan itu dengan senyap, membiarkan Tuan Embek Embek berpusing-pusing di sekeliling kakinya. Tumbuhan-tumbuhan di kawasan itu habis dipijaknya.
Tiba-tiba, Jun Wu Xie dapat mengesan bau darah di udara. Dia berkerut setelah terhidu bau yang kurang menyenangkan itu.
Di bawah kegelapan malam, angin yang bertiup di sebalik pokok dirasakan agak dingin. Angin itu menyapu lembut wajah Jun Wu Xie, membawa bersamanya sedikit bau darah.
"Darah manusia," kata Hitam Kecil sambil menghidu-hidu.
Jun Wu Xie merenung arah di mana bau itu datang. Suasana di gunung itu lengang dan tidak ada Binatang Roh yang kelihatan. Malah binatang biasa juga tidak dapat dilihat. Apabila bau darah itu tiba-tiba muncul di sini, tentulah Jun Wu Xie berasa pelik.
"Patutkah saya pergi tengok?" Hitam Kecil menggeliat sambil memandang Jun Wu Xie.
Jun Wu Xie mengangguk.
Hitam Kecil terus meluru dan terus hilang dari situ.
Selepas Hitam Kecil beredar, Tuan Embek Embek yang masih mengelilingi kaki Jun Wu Xie hanya mendongak sekali dengan malas, memandang seketika ke arah di mana Hitam Kecil hilang tadi. Kemudian, Tuan Embek Embek menundukkan kepala sekali lagi dan menyambung makan rumput.
Keadaan di sekeliling amat sunyi. Hanya bunyi desiran daun yang ditiup angin dapat didengar.
Tiba-tiba jantung Jun Wu Xie tersentak! Dia berasa sangat tidak sedap hati. Itu adalah isyarat yang dipancarkan oleh Hitam Kecil!
Jun Wu Xie terus mengambil Tuan Embek Embek dan cepat-cepat berlari ke arah di mana Hitam Kecil telah menghilangkan diri tadi.
Di dalam hutan yang agak malap itu, satu bayang-bayang hitam yang besar sedang bergerak pantas di celah-celah pokok. Beberapa batang anak panah meluru melepasi bayang yang sedang berlari itu. Mata anak panah itu yang tajam, tertusuk jauh ke dalam batang-batang pokok!
Seekor binatang hitam yang besar, lincah seperti harimau kumbang, menggunakan bentuk muka bumi yang rumit itu sebagai kelebihan dan cuba melarikan diri daripada serangan mereka yang mengejarnya. Penyerangnya berada tidak jauh di belakang.
Mu Qian Fan yang berlumuran darah terbaring di belakang binatang hitam itu. Tangannya yang basah dengan darah merah mencengkam kuat kulit di belakang leher binatang hitam itu. Mu Qian Fan memuntahkan darah, membuatkan bulu binatang itu yang hitam legam bertukar menjadi merah pekat.
Belakang badan Mu Qian Fan penuh tompokan berwarna merah. Bajunya koyak rabak di bahagian belakang. Beberapa luka yang mengerikan dapat dilihat dengan jelas. Daging yang tercarik itu kelihatan amat menggerunkan.
Sewaktu binatang hitam itu berlari dan melompat, satu jejak darah muncul di atas rumput.
"Saya tak akan selamat… kamu patut menyelamatkan diri sendiri. Kalau kamu bawa saya mereka akan dapat mengejar kamu," kata Mu Qian Fan dengan lemah. Dia muntah darah sekali lagi.
"GRRR!" Binatang hitam itu menderam, seolah-olah membantah cadangan Mu Qian Fan.
Mu Qian Fan mengetap gigi dan melepaskan cengkamannya. Tetapi sebaik dia hampir jatuh dari belakang badan binatang hitam itu, ekor binatang itu melingkar ketat dan memegang Mu Qian Fan.
"Cik saya selamatkan kamu bukannya untuk biarkan kamu mati di tempat begini. Kalau kamu tak mahu terus hidup pun, kamu mesti lakukannya!" Binatang hitam yang sedang cemas itu bercakap dengan bahasa manusia. Mata Mu Qian Fan terbeliak kerana terkejut, tetapi dia terlalu lemah untuk berkata apa-apa.
Mu Qian Fan telah diserang tadi. Ketika dia menyangkakan yang dia hampir mati, tiba-tiba dia terlihat kemunculan kucing hitam kecil yang sering menemani Jun Wu Xie. Sebelum sempat Mu Qian Fan bertindak balas, kucing hitam kecil itu telah bertukar rupa, menjadi binatang hitam besar yang membawanya kini!
Binatang hitam itu telah menariknya keluar dari bencana dan mereka terus lari. Tetapi mereka tidak dapat melepaskan diri daripada dikejar.
Melihatkan penyerang mereka semakin dekat, Mu Qian Fan berasa sangat cemas. Tetapi dia tak tahu apa yang perlu dilakukan!
Binatang hitam itu membawa Mu Qian Fan di belakang badannya dan terus berlari. Tetapi Mu Qian Fan bukannya seperti Jun Wu Xie. Dia adalah seorang lelaki dewasa dan berbadan tegap. Berat badan Mu Qian Fan telah menjejaskan kepantasan binatang hitam itu!