Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 631 - Datang ke Bandar Chan Lin Sekali Lagi (1)

Chapter 631 - Datang ke Bandar Chan Lin Sekali Lagi (1)

Hari bersilih ganti dan tempoh waktu dua minggu berlalu dengan pantas. Selain pergi ke fakulti Pemulih Roh untuk menerangkan lebih lanjut pada Gu Li Sheng tentang penambahbaikan yang dibuat ke atas Teknik Pemulihan Roh, Jun Wu Xie banyak menghabiskan masa di dalam hutan buluh untuk menghasilkan eliksir. Walaupun dapur eliksir yang Ye Mei bawakan itu pada mulanya kelihatan kecil, setelah dibuka sepenuhnya barulah dapat dilihat ciri-ciri istimewa yang tersembunyi. Daripada luarannya, dapur itu kelihatan teramat kecil dan tidak sesuai digunakan untuk menghasilkan eliksir dalam jumlah yang banyak. Tetapi bahagian dalaman dapur itu sebenarnya mempunyai keluasan ruang yang sama seperti beg kosmos.

Dapur itu bukan hanya mampu menghasilkan puluhan eliksir dalam satu tempoh waktu, tetapi sebenarnya dapat menghasilkan beratus-ratus eliksir pada masa yang sama. Dapur eliksir ini juga tidak memerlukan api dan mampu panas sendiri sebaik eliksir diletakkan ke dalamnya.

Setelah ketiadaan Jun Wu Yao, Fan Qi telah menyambung semula penghantaran makanan dari dapurnya ke hutan buluh kecil itu. Dalam tempoh dua minggu itu juga, Jun Wu Xie tidak mengesan apa-apa yang mencurigakan di dalam makanan yang dibawa ke situ.

Hakikat yang penjahat itu tiba-tiba berhenti cuba meracun Fan Zhuo telah membangkitkan perasaan ingin tahu dalam diri Jun Wu Xie.

Walaupun mereka tidak mempunyai sebarang bukti kukuh, Jun Wu Xie dan Fan Zhuo tetap yakin yang dalang di sebalik kejadian Fan Zhuo diracun itu ialah Ning Rui dan bukannya orang lain.

"Mungkinkah kematian Ning Xin memberikan kejutan yang terlalu besar padanya?" Sambil duduk di meja, Fan Zhuo cuba memberikan sebab di sebalik situasi ini. Ning Rui tidak banyak menonjolkan diri sejak kebelakangan ini. Malah dia jarang keluar dari pejabatnya. Sebelum ini, Ning Rui sering beria-ia mahu makan bersama-sama Fan Qi. Tetapi selepas kematian Ning Xin, tabiat lama ini juga nampaknya tidak lagi diteruskan.

"Seseorang yang sanggup mengabaikan anaknya sendiri tak akan begitu lemah semangat seperti ini." Jun Wu Xie masih tetap berhati-hati. Kematian Ning Xin tempoh hari memang amat tragik dan menyeksakan. Tetapi sepanjang kejadian itu, Ning Rui telah menahan diri sepenuhnya dan tidak sekali pun dia merayu agar nyawa Ning Xin diselamatkan.

Pada ketika itu, amat jelas sekali yang Ning Rui sudah bersedia untuk mengabaikan Ning Xin.

Daripada membuat andaian yang Ning Rui itu terlalu terkejut dengan kematian Ning Xin sehinggakan tidak berani membuat serangan balas, Jun Wu Xie lebih rela menganggap Ning Ruo sengaja cuba menyembunyikan diri atau mengurangkan perhatian terhadapnya.

Tambahan pula, anaknya sendiri telah melakukan perbuatan-perbuatan yang keji. Setelah semua itu terbongkar di hadapan semua pelajar akademi, walaupun Ning Rui dapat menjelaskan yang dia langsung tidak terlibat dan tidak bersalah dalam hal ini, dia tetap tidak boleh menentukan cara orang lain memandangnya.

"Kita akan pergi ke Bandar Chan Lin dalam masa beberapa hari lagi," kata Jun Wu Xie secara tiba-tiba.

Fan Zhuo terdiam seketika sebelum bertanya, "Kamu nak pergi ke Cenuram Penghujung Syurga?"

Jun Wu Xie mengangguk sedikit.

"Baguslah. Barang saya yang dihantar ke relau itu sepatutnya sudah siap sekarang. Sebaik kita tiba di Bandar Chan Lin nanti, beri saya masa beberapa hari untuk menempa cincin roh baru untuk kamu sebelum kamu pergi ke Cenuram Penghujung Syurga. Lagipun tempat itu memang agak bahaya. Setiap penambahan kuasa akan memberikan kamu lebih banyak perlindungan," kata Fan Zhuo sambil tersenyum.

Hanya dengan mewarisi harta karun Maharaja Kegelapan yang sukar ditemui itulah mereka akan mendapat kuasa yang cukup untuk menentang Istana Dua Belas!

Beberapa hari kemudian, Jun Wu Xie mengumpulkan Qiao Chu dan yang lain sebelum bergerak bersama-sama menuju Bandar Chan Lin. Memandangkan waktu itu bukanlah hari cuti Akademi Zephyr, Bandar Chan Lin lebih senyap berbanding ketika kali terakhir mereka berada di situ. Jalan utamanya hanya ada beberapa buah gerai. Suasana riuh-rendah seperti sebelum ini langsung tidak wujud.

Jun Wu Xie dan rakan-rakannya memakai pakaian biasa kerana tidak mahu terlalu menarik perhatian orang ramai.

Selepas sampai ke tempat penginapan dan berehat-rehat, Rong Ruo pergi bersama-sama Fan Zhuo ke bengkel tukang besi untuk mengambil Perak Hitam.

Sementara itu, Jun Wu Xie dan yang lain bergerak menuju kediaman Mu Qian Fan.

Mu Qian Fan duduk agak jauh dari Bandar Chan Lin. Rumah-rumah di situ semuanya kelihatan biasa-biasa sahaja. Setelah mengikut alamat yang Mu Qian Fan berikan, kumpulan anak muda ini sampai di sebuah rumah yang buruk dan usang. Qiao Chu pergi mengetuk pintu.

Seketika kemudian, pintu yang hampir roboh itu pun dibuka.

Mu Qian Fan muncul dari belakang pintu tersebut. Seluruh badannya dilitupi pembalut luka. Matanya bersinar-sinar sebaik terpandang Jun Wu Xie.