Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 632 - Datang ke Bandar Chan Lin Sekali Lagi (2)

Chapter 632 - Datang ke Bandar Chan Lin Sekali Lagi (2)

"Tuan Muda Jun, kamu ada di sini." Suara Mu Qian Fan dipenuhi nada gembira.

Jun Wu Xie membalas dengan mengangguk sedikit.

Mu Qian Fan cepat-cepat berundur untuk membolehkan mereka masuk. Dia berkata dengan teruja, "Jemput masuk. Duduklah."

Jun Wu Xie dan rakan-rakannya masuk ke dalam rumah itu dan mendapati keadaan di dalamnya lebih buruk berbanding luarannya. Selain hanya terdapat sebuah katil kayu yang lapuk, meja serta kerusi yang usang, seluruh rumah itu boleh dikatakan kosong. Hanya ada empat dindingnya sahaja.

"Aduhai, kenapalah semua ini macam biasa dilihat?" Qiao Chu memandang seluruh bilik itu yang agak kosong. Dia terkenangkan kedaifan hidup mereka sebelum ini, sebelum mereka bertemu dengan Jun Wu Xie.

Selama bertahun-tahun itu, kehidupan mereka tidak ada banyak bezanya dengan Mu Qian Fan.

"Kamu dapat duit yang begitu banyak selepas jual batu hitam itu sebelum ini. Kenapa kamu masih…" Qiao Chu bertanya. Dia merenung bingung pada Mu Qian Fan.

Batu hitam itu telah dijual dengan harga beratus-ratus ribu tahil. Itu bukan jumlah yang kecil. Kalau dia ambil beberapa ratus tahil daripada jumlah itu pun, kehidupan Mu Qian Fan sudah boleh jadi lebih selesa.

Mu Qian Fan berasa segan sewaktu memandang anak-anak muda di hadapannya ini. Dia malu dengan kemiskinannya. Kemudian dia berkata, "Saya berikan semua duit saya pada keluarga rakan-rakan sekumpulan saya. Ramai di antara mereka merupakan pencari nafkah bagi keluarga masing-masing. Kebanyakannya mempunyai anak-anak kecil dan orang-orang tua yang bergantung hidup pada pendapatan mereka. Sekarang apabila mereka mati meninggalkan anak-anak yatim dan balu-balu, mana mungkin saya sanggup merampas duit itu? Sekurang-kurangnya saya masih hidup dan mampu menyara diri sendiri. Keluarga-keluarga itu lebih memerlukan duit berbanding saya."

Mu Qian Fan bukan sahaja telah menyerahkan semua wang yang diperolehi ketika lelongan tersebut, malah turut mengeluarkan semua wang simpanan yang dikumpulnya selama ini. Satu sen pun dia tidak ambil untuk dirinya sendiri.

Qiao Chu dan Fei Yan saling berpandangan. Mata mereka penuh perasaan simpati, tetapi tersembunyi juga perasaan hormat.

Mu Qian Fan sendiri sudah pun hidup dalam kemiskinan. Namun dia tidak membenarkan dirinya mengambil walau satu sen pun daripada jumlah wang itu. Dia berasa begitu malu dengan rakan-rakannya yang telah meninggal dunia sehinggakan dia lebih sanggup menderita daripada menyentuh wang yang telah diperolehnya sebagai ganti kepada nyawa rakan-rakannya itu.

Mungkin disebabkan mata penuh simpati Qiao Chu dan Fei Yan itu terlalu ketara, Mu Qian Fan bertambah malu dengan keadaannya.

"Maaflah, rumah saya ni kecil saja. Kamu nak duduk… di atas katil?" Mu Qian Fan cepat-cepat berjalan ke katil dan menarik selimut yang hampir hitam kerana lama tidak dibasuh. Dia cuba mengemaskan cadar yang renyuk itu dengan tangannya sebelum beralih ke tepi sambil tersengih malu-malu. Dia menjemput Qiao Chu dan yang lain duduk di katilnya.

Melihatkan keadaan Mu Qian Fan ini, Qiao Chu hampir menangis.

Pada pandangan Qiao Chu, kekayaan yang dimiliki seseorang itu tidak penting, begitu juga dengan kebolehannya. Hati yang ikhlas itu lebih bermakna.

Dalam diri Mu Qian Fan, Qiao Chu dapat melihat keteguhan sikap bertanggungjawab pada seorang lelaki yang matang. Walaupun Mu Qian Fan sendiri hidup dalam kedaifan, dia sedikit pun tidak menginginkan duit yang berada di dalam genggamannya. Tanpa mempedulikan kekuatan atau kebolehan Mu Qian Fan, sikapnya yang tidak mementingkan diri dalam hal berkaitan keluarga mendiang rakan-rakannya sudah pun membuatkan Qiao Chu dan yang lain begitu hormat padanya.

Jun Wu Xie memandang bahagian dalam rumah itu sebelum berkata dengan ringkas.

"Semua orang keluar." Kemudian dia berpaling dan berlalu pergi.

Mu Qian Fan kelihatan bertambah malu. Jauh di sudut hatinya, dia sedar yang dengan keadaan rumahnya ini, dia tidak sepatutnya menerima kunjungan tetamu. Walaupun budak-budak ini semuanya masih muda, pakaian mereka menunjukkan yang latar belakang mereka bukan calang-calang.

Qiao Chu dan yang lain keluar dari rumah itu dengan patuh. Mu Qian Fan bergegas mengekori mereka. Selepas melangkah keluar, Mu Qian Fan menutup pintu rumahnya dengan cermat.

Dia masih belum pulih dari kecederaannya dan tidak dapat mencari kerja untuk mendapatkan wang. Rumah kecil ini adalah perlindungan terakhirnya daripada angin dan hujan.

Walau bagaimanapun, belum pun jauh Mu Qian Fan berjalan pergi dari rumahnya, Jun Wu Xie tiba-tiba mengeluarkan sebatang kayu berbara dan menyalakannya. Kemudian dia mengambil api kecil yang bercahaya itu lalu mencampakkannya ke bumbung rumah Mu Qian Fan!

Related Books

Popular novel hashtag