Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 629 - Cuba Menggoda? (3)

Chapter 629 - Cuba Menggoda? (3)

Jun Wu Yao berhenti berjalan, matanya mengecil dan dia memandang sekilas pada gadis-gadis di hadapannya ini. Selepas tidak mengesan sebarang bahaya daripada mereka, dia tidak terus merenung mereka lagi dan terus bergegas pergi dari situ.

"Eeeeek! Dia pandang sayakah tadi!? Ahh! Tampannya..." Salah seorang daripada gadis yang bersembunyi di sebalik pokok buluh itu berteriak sambil memegang dadanya. Pipinya semakin kemerah-merahan.

"Apa? Pandang kamu!? Dia pandang sayalah!"

"Tepi! Jangan halang pandangan mata saya nak lihat belakang badannya yang kacak dan tegap tu!"

" Alahai... Dia dah pergikah? Jom ikut dia!"

Kumpulan gadis muda itu mengangkat kain mereka dan bergerak laju mengekori Jun Wu Yao. Mata mereka berbintang-bintang. Mereka sangat takut yang kalau mereka bergerak terlalu perlahan, mereka akan terlepas untuk memandang pemuda kacak itu sekali lagi.

Jun Wu Yao pada mulanya ingin menyeru kuasanya supaya dapat bergerak pantas selepas keluar dari rumpun buluh kecil tersebut. Tetapi sekarang dia diikuti rapat oleh sekumpulan pelajar Akademi Zephyr. Walau bagaimanapun, dia tetap tersenyum, seolah-olah tidak menyedari kehadiran mereka semasa dia berjalan menuju pintu keluar Akademi Zephyr. Ketika dia berjalan, bunyi bising daripada jeritan dan bisikan yang ditujukan padanya itu menjadi semakin kuat.

Hanya selepas dia melangkah keluar dari kawasan Akademi Zephyr barulah bunyi bising itu beransur-ansur hilang.

Selepas Jun Wu Yao meninggalkan kumpulan gadis itu jauh di belakang, dia tiba-tiba bertukar menjadi pancaran cahaya dan menghilang. Ini menyebabkan kumpulan gadis yang senyap-senyap mengekorinya itu tidak dapat mengesannya lagi. Mereka kemudiannya menghentak-hentakkan kaki dengan sangat marah.

Jun Wu Yao muncul semula tidak terlalu jauh dari Akademi Zephyr dan Ye Mei juga muncul di sisinya.

"Ada orang menyedari kehadiran saya?" Jun Wu Yao bertanya, teringat kembali kepada bunyi bisikan yang dia dengar di Akademi Zephyr tadi. Matanya mengecil sekali lagi.

Kalau pada hari-hari biasa, dia akan hancurkan serangga-serangga penyibuk itu tanpa perlu berfikir pun. Dia tidak melakukannya hari ini kerana dia tidak mahu membawa masalah kepada Jun Wu Xie .

Ye Mei berasa bingung. Dia teragak-agak seketika sebelum bertanya dengan berhati-hati "Siapa yang Tuan maksudkan?"

Jun Wu Yao menjeling Ye Mei sekilas. Ye Mei menelan air liur dan terus bertanya dengan tergesa-gesa, "Tuan merujuk kepada sekumpulan pelajar tadi?"

Jun Wu Yao mengangguk.

Ye Mei berdeham dengan janggal dan berkata, "Mereka… saya tak fikir mereka tahu identiti Tuan."

"Suruh Ye Sha intip mereka. Jika ada orang yang dapat meneka identiti saya, bunuh saja." Jun Wu Yao memberikan arahan dengan dingin.

"Baik..." Ye Mei menjawab dengan tegas. Sementara itu hatinya bersedih dengan nasib gadis-gadis muda yang malu-malu dan belum tahu apa-apa itu. Di dalam hatinya, Ye Mei turut menyalakan batang colok untuk mereka, sebagai tanda berkabung.

Hakikatnya, keadaan itu bermula sejak hari pertama Jun Wu Yao melangkah masuk ke Akademi Zephyr. Berita tentang adanya seorang "pembantu peribadi" yang sangat luar biasa tampan dan kacak di hutan buluh kecil itu telah merebak dengan cepat. Hal ini telah menarik perhatian ramai pelajar perempuan Akademi Zephyr.

Bukanlah Akademi Zephyr tidak mempunyai pelajar lelaki yang kacak, tetapi pelajar-pelajar perempuan ini tidak pernah melihat seseorang yang kelihatan "terlampau kacak seperti dewa". Disebabkan itu, sekumpulan pelajar perempuan yang sedang meningkat dewasa mula menghendap-hendap kawasan hutan buluh kecil itu. Mereka tidak dapat melihat kelibat Jun Wu Yao meninggalkan kediaman di dalam hutan buluh itu. Namun begitu, sewaktu Fan Jin ke sana, gadis-gadis itu dapat melihat sekilas pandang susuk tubuh Jun Wu Yao yang mengagumkan itu dari luar. Mereka memandangnya melalui pintu-pintu yang dibuka apabila Fan Jin masuk ke kawasan tersebut.

Kesimpulannya, jika ada seorang pun daripada gadis-gadis itu terpandang kelibat Jun Wu Yao walau sekali, mereka semua akan tetap berada di luar pintu utama kediaman itu. Tidak ada sebab lain mereka berbuat begitu, hanya semata-mata berharap dikurniakan tuah untuk sekali lagi dapat melihat susuk tubuh tinggi lampai yang mengagumkan itu pada bila-bila masa sahaja pintu terbuka. 

Namun begitu, impian dan angan-angan gadis-gadis muda itu langsung tidak bermakna di mata Jun Wu Yao.

Ye Mei tidak berani membayangkannya. Kalaulah gadis-gadis itu tahu hanya dengan cuba melihat kelibat Tuannya sahaja boleh membuatkan mereka kehilangan nyawa, adakah mereka akan tetap terus mengejar angan-angan mereka demi lelaki yang kacak itu. Ibarat kupu-kupu mengejar api?

[Tuan! Gadis-gadis naif itu cuma jatuh cinta pandang pertama dengan Tuan! Mereka tidak sepatutnya perlu membayar perasaan ini dengan nyawa mereka!]