Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 630 - Pemergian Tiba-tiba

Chapter 630 - Pemergian Tiba-tiba

Ketika itu, mata Jun Wu Yao mengecil, dan mulutnya diherotkan menjadi senyuman jahat. Di dalam hutan yang tenang dan damai ini, dia mengangkat kepalanya dan merenung jauh.

"Bersungguh-sungguh betul mereka ni."

Ye Mei kaku, tiba-tiba mengambil posisi pertahanan.

Jun Wu Yao menoleh ke belakang dan ketawa perlahan sebelum berkata, "Nampaknya saya tak dapat serahkan sendiri hadiah ini pada Jun Wu Xie Xie kali ini. Ye Mei."

"Saya menunggu perintah!"

"Carikan dapur eliksir untuk Jun Wu Xie. Beritahu dia... saya akan balik berjumpa dengannya dalam masa beberapa hari lagi."

"Baik, Tuan!" Ye Mei melutut sebelah kaki dan menerima arahan itu.

Jun Wu Yao tidak berkata apa-apa lagi. Kemudian dia tiba-tiba lenyap dari tempat dia berdiri tadi.

Ye Mei mengangkat kepalanya dan mengintip melalui celahan kanopi daun yang tebal di atasnya. Dia nampak beberapa pancaran cahaya melayang melintasi langit.

.....

Di dalam hutan buluh kecil itu, Jun Wu Xie berkerut sewaktu merenung Ye Mei yang sedang berlutut di hadapannya.

"Tuan Muda Wu Yao ada hal penting untuk diuruskan tak dapat datang berjumpa dengan Cik Muda buat sementara waktu. Tuan Muda menyuruh saya menyerahkan dapur ini kepada Cik Muda." Ye Mei mengeluarkan sebuah dapur kecil daripada bajunya. Dapur emas itu mempunyai ukiran naga berlingkar pada permukaannya, kelihatan sangat halus dan dibuat dengan baik.

Jun Wu Xie merenung dapur itu agak lama dan tidak berkata apa-apa. Keadaan senyap dan janggal di dalam bilik itu membuatkan Ye Mei tidak berani untuk bergerak walau satu inci.

"Sekarang saya dah tahu." Akhirnya Jun Wu Xie bersuara setelah beberapa lama mendiamkan diri.

Ye Mei menghembuskan nafas sedikit kerana berasa lega. "Kata Tuan Muda Wu Yao, nanti dia akan datang melawat Cik Muda lagi."

"Kamu pergilah," kata Jun Wu Xie dengan dingin.

Ye Mei berundur dari bilik itu dengan senyap.

Hanya Jun Wu Xie yang tinggal di dalam bilik berkenaan. Kucing hitam kecil itu melompat ke atas meja dan berjalan mengelilingi dapur yang halus buatannya itu. Ekornya yang hitam berbulu, beberapa kali menyapu-nyapu dapur emas tersebut.

"Dapur ini bukan diperbuat daripada emas. Saya tak tahu apa bahannya." Kucing hitam kecil itu berkata dengan jujur.

Jun Wu Xie tiba-tiba bangun dan menepis dapur itu jatuh dari meja.

Kedengaran bunyi hempasan yang kuat ketika dapur itu jatuh ke lantai.

Kucing hitam kecil itu kaku sambil merenung wajah Jun Wu Xie yang dingin dan kecewa .

Jun Wu Xie merenung dapur eliksir itu. Perasaan tidak puas hati dan kecewa mencengkam hatinya. Kalau bukan kerana dapur eliksir bodoh itu, jika dia tidak suruh Jun Wu Yao pergi mencari dapur eliksir, mungkinkah Jun Wu Yao tidak akan meninggalkannya?

Perasaan kecewa ini terasa sangat janggal baginya dan dia tidak memahaminya. Apa yang dia tahu, perasaan tak logik ini sangat mengganggu pemikirannya yang biasanya tenang dan rasional. 

Keadaan di dalam bilik itu menjadi senyap-sunyi. Bukan sahaja kucing hitam kecil itu yang dapat merasakannya, bahkan Tuan Embek Embek yang sedang baring dengan diam di atas katil Jun Wu Xie juga dapat merasakan perubahan aneh yang sedang menyelubungi Jun Wu Xie. Tuan Embek Embek terus baring tanpa bergerak di atas katil, matanya yang bersinar polos terpaku ke arah belakang badan Jun Wu Xie yang kelihatan dingin dan tegas itu.

Jun Wu Xie tiba-tiba berdiri dan mengutip dapur eliksir yang telah jatuh ke lantai. Tanpa berkata apa-apa, dia berpaling dan berjalan ke bilik sebelah. Bilik itu dipenuhi dengan semua jenis herba. Semuanya dibawa ke sini oleh atas arahan Fan Qi. Kesihatan Fan Zhuo telah bertambah baik sejak kebelakangan ini dan Fan Qi sangat mengagumi kemahiran Jun Wu Xie dalam bidang perubatan. Jadi walau apa pun yang Jun Wu Xie mahukan, Fan Qi akan menyuruh orang-orang bawahannya untuk mendapatkan barang-barang tersebut.

Bilik ini telah ditukar menjadi seperti sebuah farmasi sementara untuk kegunaan eksklusif Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie meletakkan dapur eliksir itu di atas meja tanpa berkata apa-apa. Kemudian dia mula memilih herba dari rak yang berisi penuh yang di satu sisi. Jun Wu Xie melakukan kerjanya sama seperti apa yang dilakukannya setiap hari kini. Sikapnya yang sangat tenang itu menjadikan semua yang baru saja berlaku tadi kelihatan seperti sebuah ilusi.

Tuan Embek Embek melompat dari tempat tidurnya. Kakinya mengetuk-ngetuk lantai ketika menuju ke pintu masuk farmasi. Tuan Embek Embek dan kucing hitam kecil itu sama-sama menjulurkan kepala dan mengintip Jun Wu Xie yang sedang menyibukkan diri di dalam bilik tersebut.

"Embek."

[Mengapa "Cik Pemberi Makan" saya ni marah?]

"Meow."

[Cik Puan kita ni sekarang mula berkembang menjadi manusia normal. Tapi beritahu saya. Sepatutnya saya menangis atau ketawa kegembiraan?]