Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 628 - Cuba Menggoda? (2)

Chapter 628 - Cuba Menggoda? (2)

Jun Wu Xie merenung Jun Wu Yao yang berlalu pergi lalu duduk kaku di atas kerusi sambil memeluk kucing hitam kecil itu di tangannya.

"Dalam dunia ni, saya rasa Cik seorang sahaja yang berani bercakap dengan Raja Syaitan itu begini," kata kucing hitam kecil itu sambil berbaring dalam pelukan Jun Wu Xie dan perlahan-lahan menjilat tapak kakinya.

[Buatkan Jun Wu Yao terpaksa memberikan hadiah sebagai ganti dan meminta maaf? Berani betul!?]

Jun Wu Xie mungkin tidak sedar, tetapi kucing hitam kecil itu dapat melihatnya dengan jelas. Tidak kira sama ada Qiao Chu, Hua Yao, Fei Yan, Rong Ruo atau Fan Zhuo, semuanya tak terkecuali berkelakuan macam tikus apabila melihat kucing. langsung tak berani untuk bernafas dengan kuat pun di hadapan Jun Wu Yao.

Jun Wu Yao telah tinggal di hutan buluh kecil itu selama hampir dua minggu. Fan Zhuo tidak berani untuk memberi Jun Wu Yao apa-apa tugas untuk dilakukan. Hanya Fan Jin, yang begitu dungu sehinggakan kucing hitam kecil itu tak sanggup memandangnya, yang berbuat begitu. Fan Zhuo tiba-tiba dengan rela hati mengambil penyapu dan menyapu halaman rumah setiap hari sendiri, bahkan langsung tidak memberikan Jun Wu Yao peluang untuk mengangkat jarinya untuk menguruskan tugasan harian di hutan buluh itu.

Berkenaan dapur eliksir yang telah dihancurkan itu pula, jika berlaku kepada orang lain, situasi itu akan dianggap sebagai "mengurniakan kemurahan hati".

Tiada siapa yang akan berani merungut. Malah akan ada yang bertepuk tangan dan bersorak di atas kemusnahan dapur tersebut.

Tetapi apabila hal itu terjadi pada Jun Wu Xie, dapur itu perlu digantikan dengan yang baru.

Berbeza betul layanan yang diberikan!

"Saya… melampau sangatkah tadi?" Jun Wu Xie bertanya sambil berkerut.

Kucing hitam kecil itu terkejut, tidak mampu memberikan sebarang jawapan.

Kening Jun Wu Xie berkerut ketat. Dia benar-benar tidak tahu bagaimana untuk menjaga hubungan sesama ahli keluarga.

"Saya tak harapkan sangat pun Abang gantikan dapur tu, tapi saya betul-betul tak punya dapur lain untuk digunakan." Jun Wu Xie tenggelam dalam pemikiran yang sangat mengecewakannya.

Dia tidak bermaksud untuk menyusahkan Jun Wu Yao, tapi... tanpa dapur itu, dia tidak akan dapat menghasilkan eliksir. Jika dia tidak dapat menghasilkan eliksir, dia tidak akan mempunyai wang. Jika dia tidak mempunyai wang... dia tidak akan dapat mengumpul barang-barang yang dia perlukan, sebagai persediaan untuk perjalanan mereka ke Cenuram Penghujung Syurga.

Jun Wu Xie langsung tidak meletakkan apa-apa harapan pada keupayaan Qiao Chu dan rakan-rakannya untuk mencari wang. 

Kucing hitam kecil itu membuka mulutnya. Ketika memandang tuannya itu, kucing tersebut tiba-tiba mula memarahi diri sendiri. Kucing itu mengangkat tapak tangan… dan menampar muka sendiri.

[Kenapalah saya bodoh sangat! Bodohnya!]

[Sewaktu Raja Syaitan tu berlalu pergi tadi, dia jelas kelihatan bersemangat. Wajahnya menunjukkan yang dia berpuas hati dengan dirinya sendiri. Tidak ada sedikit penyesalan atau kemarahan. Raja Syaitan itu amat gembira! Jadi, mengapa saya cakap begitu pada Cik tadi?]

Kucing hitam kecil itu terasa ingin menangis. Kucing itu hanya mahu tuannya sedar bahawa Jun Wu Yao sebenarnya tiada pertalian darah dengannya dan tidak boleh dianggap sebagai ahli keluarga yang sebenar. Situasi ini berbeza dengan Jun Xian dan Jun Qing. Jun Wu Xie perlu sedar bahawa kasih sayang yang Jun Wu Yao limpahkan ke atasnya adalah berbeza daripada apa yang diberikan oleh ahli keluarganya! Cik mesti sedar bahaya yang akan muncul!

Sepatutnya Jun Wu Xie perlu menjauhkan diri daripada Jun Wu Yao, tapi kucing hitam kecil itu tidak terfikir yang pemikiran tuannya itu akan berada di laluan tersendiri dan tersalah membaca situasi ini!

[Raja Syaitan ini pandai betul memanipulasi orang!] 

[Dengan sikap Cik yang dingin dan sukar didekati, bagaimana dia ditarik ke dalam hubungan persaudaraan yang tak dapat difahami ni!?]

Jun Wu Xie masih memikirkan masalah "hubungan"nya yang masih baru dan janggal, sementara Jun Wu Yao pula meninggalkan hutan buluh kecil itu dengan sangat bertenaga.

Sejak dia tiba di Akademi Zephyr, Jun Wu Yao kekal berada di dalam kediaman kecil di dalam hutan buluh kecil itu sepanjang masa demi memupuk dan membina "hubungannya" dengan Jun Wu Xie. Kini sewaktu dia baru melangkah keluar dari kediaman itu, tiba-tiba dia terdengar bunyi bising.

Dalam rumpunan buluh yang tenang dan aman itu tiba-tiba sahaja muncul sekumpulan gadis yang malu-malu, dengan pipi kemerahan. Mereka semua memakai pakaian seragam Akademi Zephyr dan setiap seorang daripada mereka bersembunyi di sebalik rumpun buluh yang tebal. Mata mereka yang malu-malu itu mengintip takut-takut pada Jun Wu Yao yang baru saja muncul di pintu masuk ke kediaman di dalam hutan buluh kecil tersebut.