Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 619 - Pembantu Peribadi (1)

Chapter 619 - Pembantu Peribadi (1)

"Abang rasa kamu mesti lapar selepas menyerap kacang emas tu."

Jun Wu Xie memandang Jun Wu Yao lalu berkata, "Saya boleh makan sendiri."

Dia menghulurkan tangan lalu mengambil kaki arnab panggang itu kemudian menggigitnya. Jun Wu Xie kemudian mengalihkan badannya dan keluar daripada pelukan Jun Wu Yao. Dia duduk sendiran di atas rumput.

Jun Wu Yao tidak menghalangnya dan hanya tersenyum sewaktu memandang Jun Wu Xie yang sedang makan.

Qiao Chu kelihatan terhuyung-hayang sewaktu dia kembali duduk berdekatan unggun api itu. Wajahnya kelihatan sedikit bingung.

Fei Yan menamparnya dengan kuat lalu bertanya, "Kenapa ni? Takut ke?"

Qiao Chu merenung Fei Yan dan menempelak, "Tentulah tak! Saya cuma fikir… saya rasa… abang Jun Xie tu bukanlah orang yang jahat" [Dia kelihatan sungguh tampan ketika tersenyum…]

Fei Yan terkejut dan bertanya, "Macam mana pula kamu boleh buat kesimpulan begitu?"

Qiao Chu ketawa tertahan-tahan sambil berkata, "Dia senyum pada saya! Hebatnya dia! Mereka mungkin tak seiras tapi mereka berdua tu memang orang-orang yang menawan."

Senyuman orang yang menawan memang indah.

Fei Yan merenung Qiao Chu tanpa mampu berkata apa-apa. [Maksud kamu, asalkan orang yang menawan senyum pada kamu, terus kamu anggap orang tu baik… Ya Tuhan! Kenapa dangkal sangat kamu ni?]

Fei Yan memang tidak pernah yakin dengan kepintaran Qiao Chu selama ini, jadi dia memutuskan untuk tidak mempedulikan si dungu itu kali ini. Sebaliknya, dia mengubah kedudukan untuk makan, minum dan bersuka ria dengan Rong Ruo dan Hua Yao.

Pada awal pagi keesokan harinya, Long Qi dan orang-orangnya bersiap-siap untuk pulang ke Kerajaan Qi. Yin Yan ditumbuk sehingga pengsan, kemudian diletakkan di atas seekor kuda untuk perjalanan ini, manakala Jun Wu Xie dan yang lain akan pulang ke Akademi Zephyr.

"Bersama-sama?" Jun Wu Xie memandang Jun Wu Yao dengan bingung setelah lelaki itu mengatakan yang dia akan pulang ke Akademi Zephyr bersama-sama dengannya.

Jun Wu Yao sering muncul dan hilang bila-bila masa sahaja yang dia suka. Jadi Jun Wu Xie berasa agak pelik apabila Jun Wu Yao mengatakan dia mahu ikut sekali ke akademi kali ini.

"Kita dah lama tak bertemu. Tak bolehkah kamu teman Abang lebih lama sikit?"Jun Wu Yao bertanya sambil ketawa.

Jun Wu Xie tidak mampu menjawab dan hanya dapat mengangguk dengan keliru.

Fei Yan memandang ke arah Jun Wu Xie. Dia menggelengkan kepala. Dalam diam Fei Yan meratapi nasib para pelajar di kampus utama Akademi Zephyr.

Qiao Chu dan rakan-rakannya perlu kembali ke kampus cawangan, jadi mereka telah bertolak terlebih dahulu.

Jun Wu Xie masuk ke dalam khemah dan mengenakan pakaian seragam Akademi Zephyr. Dia menukarkan diri kembali menjadi pemuda bertubuh kecil molek sebelum keluar dari khemah tersebut.

Sebaik dia melangkah keluar, dia terlihat susuk tubuh seseorang yang tinggi lampai sedang berdiri di bawah sinaran mentari pagi. Jun Wu Yao kelihatan terhibur ketika dia berpaling. Wajahnya yang amat tampan itu kelihatan lebih muda dan kurang matang.

Jun Wu Xie terkejut. Jun Wu Yano yang berdiri di hadapannya ini kelihatan lebih muda. Sekilas pandang, dia boleh dianggap remaja kacak berusia lapan belas atau sembilan belas tahun. Dia juga tidak memiliki aura menekan seperti kebiasaannya.

Cahaya matahari yang menyinari wajah remaja Jun Wu Yao itu membuatkan senyumannya lebih menawan.

"Kalau rupa Abang seperti ini, tentu tak akan terlalu menyusahkan kamu, bukan?" Jun Wu Yao menggosok-gosok wajahnya yang kelihatan lebih muda dan segar itu. Entah sudah berapa lama dia tidak memiliki wajah sebegini.

"….." Jun Wu Xie masih membisu.

Berbanding kemahiran Hua Yao untuk mengawal tulang-tulangnya, perubahan Jun Wu Yao lebih hebat dan menyeluruh. Dia bukan sahaja mengubah struktur tulangnya, malah keadaan kulit dan suaranya juga turut berubah. Kalau dia tidak pernah melihat rupa asal Jun Wu Yao, pasti Jun Wu Xie menyangkakan pemuda ini ialah orang yang berbeza.

Jun Wu Xie tiba-tiba terfikirkan sesuatu yang tidak masuk akal. Kalau mesin paling canggih dari kehidupannya yang terdahulu dibawa ke hadapan Jun Wu Yao kini, mesin itu pun tidak mungkin dapat menentukan usia sebenar lelaki itu.

Kawasan hutan tersebut tidak terlalu jauh daripada kampus utama Akademi Zephyr. Mereka berdua tidak mengambil masa yang lama untuk sampai ke akademi tersebut.

Jun Wu Xie baru sahaja melangkah masuk melalui pintu pagar kampus utama itu apabila beberapa orang pemuda bergegas mendapatkannya.