Gadis kesayangannya ini tidak berdiam diri selama ini.
Sewaktu Jun Wu Yao merenung mereka, Hua Yao dan yang lain dapat merasakan satu tekanan yang tidak dapat dilihat telah menyelubungi badan mereka. Aura yang menekan ini hampir menyesakkan nafas mereka dan terus membuatkan badan mereka basah kerana berpeluh!
Lelaki ini amat berbahaya!
Mata hitam pekat itu dipenuhi hasrat membunuh. Warna ungu pekat perlahan-lahan muncul dalam mata hitam tersebut.
'Pap'
Sepasang tangan yang berkulit cerah tiba-tiba menutup mata Jun Wu Yao.
"Mata." Suara Jun Wu Xie amat perlahan.
Jun Wu Yao menjadi kaku, kemudian tiba-tiba ketawa. Dia mengangkat tangannya dan mengalihkan tangan kecil yang menutup matanya itu. Cahaya berbahaya sudah lenyap daripada matanya. Dia berpaling menghadap Qiao Chu dan yang lain lalu berkata, "Saya berterima kasih kepada kamu semua kerana menjaga Jun Wu Xie selama ini."
Aura yang menekan tubuh mereka terus hilang tanpa kesan.
Qiao Chu dan yang lain tercungap-cungap. Seketika tadi mereka semua menyangkakan yang mereka akan dibunuh!
Dalam tempoh yang singkat itu mereka sedar yang nyawa mereka ibarat telur di hujung tanduk. Mereka sedar yang abang Jun Wu Xie ini bukanlah orang biasa!
Tetapi mereka masih bingung mengapa lelaki ini tiba-tiba mahu membunuh mereka!
Kekuatan aura yang menekan itu amat dikenali oleh Hua Yao dan Qiao Chu. Tekanan seketika yang dilepaskan oleh Jun Wu Yao itu lebih berkuasa berbanding apa yang mereka rasakan daripada dua orang lelaki dari Istana Syaitan Api yang bertembung dengan mereka di Puncak Berawan sebelum ini!
[Kekuatan ini berada di satu tahap yang sangat berbeza!]
"Bukan begitu. Jun Wu Xie yang menjaga kami selama ini." Hua Yao yang pertama sekali mendapatkan nafasnya semula.
Qiao Chu hanya tersenyum kekok di sisi. Jelas sekali dia masih terkejut.
Jun Wu Xie tersenyum dan mengangguk. Jun Wu Yao yang tidak menunjukkan minat untuk meneruskan perbualan dengan Hua Yao dan yang lain, membawa Jun Wu Xie pergi. Dia berjalan jauh sedikit sebelum duduk bersama-sama untuk berehat. Jun Wu Yao melakukan semua ini dengan mudah seolah-olah Jun Wu Xie amat ringan.
"Kamu risaukan Abang tadi?" tanya Jun Wu Yao sambil memegang tangan kecil Jun Wu Xie. Inilah tangan yang telah menutup matanya tadi sejurus sebelum matanya berubah warna.
"Risau Abang akan takutkan mereka," jawab Jun Wu Xie dengan bersahaja.
Bukan sengaja, cuma tindakan refleks.
Identiti Jun Wu Yao sememangnya satu misteri. Sejak Jun Wu Xie dilahirkan semula, dia tidak pernah mendengar tentang orang yang memiliki mata berwarna ungu. Apabila memikirkan masalah yang dihadapinya disebabkan memiliki roh berkontrak jenis tumbuhan yang jarang ditemui, dia bertindak menutup keanehan Jun Wu Yao tanpa berfikir panjang.
Bukannya dia tidak percaya pada Qiao Chu dan yang lain, dia cuma tidak mahu timbulnya apa-apa masalah yang tidak diingini.
Jun Wu Yao tersenyum sambil mengangkat tangan kecil Jun Wu Xie. Dia mencium lembut tangan tersebut.
Gadis kesayangannya ini sudah mula mahu melindunginya. Ini membuatkan dia berasa amat gembira.
"Ini untuk kamu." Jun Wu Yao menggenggam lalu membuka tapak tangan Jun Wu Xie. Sebelah lagi tangannya mengeluarkan sebiji kacang emas yang kecil dan meletakkannya ke dalam tangan Jun Wu Xie.
Kacang emas kecil itu dijatuhkan ke tapak tangan Jun Wu Xie dan dia merasakan ada kehangatan yang tersebar. Walaupun Jun Wu Xie hanya menyentuh kacang itu dengan lembut, kulitnya yang bersentuhan dengan kacang tersebut berasa hangat dan kehangatan itu menyelubungi seluruh tubuhnya. Dia berasa selesa dan rohnya juga semakin lega.
"Ini?" tanya Jun Wu Xie sambil memandang Jun Wu Yao.
Jun Wu Yao tersenyum lalu membalas, "Ini boleh menyembuhkan roh kamu. Walaupun kamu tidak akan dapat sembuh serta-merta, tetapi sedikit demi sedikit kamu akan berasa lebih baik."
Jun Wu Xie merenung Jun Wu Yao tanpa berkata apa-apa. Ye Sha ada menyebut yang Jun Wu Yao tidak berada di Alam Bawahan selama ini. Kehilangannya pasti ada kaitan dengan kacang emas itu.
[Abang mencari kacang ini demi saya?]
"Makan?" tanya Jun Wu Xie seketika kemudian.
Jun Wu Yao menggelengkan kepalanya.