Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 617 - Akhirnya Kamu Merindui Saya? (5)

Chapter 617 - Akhirnya Kamu Merindui Saya? (5)

Jun Wu Yao menggelengkan kepala. Dia mengambil sebelah lagi tangan Jun Wu Xie untuk menutup tapak tangan yang memegang kacang emas itu sebelum berbisik, "Sama seperti ketika kamu membaham roh berkontrak, serap kacang emas ini sedikit demi sedikit."

Jun Wu Xie menutup matanya dan mengikut apa yang Jun Wu Yao katakan. Dia menyerap kacang emas pada tapak tangannya dengan perlahan-lahan.

Jun Wu Xie menutup mindanya dan rohnya terus berada di dalam kegelapan. Keadaan di sekelilingnya amat gelap sehinggakan dia tidak dapat melihat jari-jarinya yang berada di hadapan mukanya. Namun satu cahaya keemasan tiba-tiba memancar sekilas, membentuk lengkok cahaya yang terang.

Kepantasan pancaran cahaya itu semakin meningkat, meninggalkan banyak jalur cahaya dalam kegelapan. Pada mulanya hanya ada satu jalur cahaya. Semakin lama masa berlalu, jumlah jalur cahaya itu semakin bertambah dan bersilang di antara satu sama lain. Akhirnya, satu jaring emas yang berkilauan terbentuk di dalam kegelapan itu.

Tiba-tiba jaring emas gergasi itu meletus menjadi percikan cahaya keemasan yang menghujani kegelapan tersebut sebelum beransur hilang.

Tidak lama kemudian, keadaan menjadi gelap gelita semula. Selepas seketika, satu cahaya keemasan yang malap perlahan-lahan muncul di tengah-tengah kegelapan itu.

Satu kacang emas yang kecil mula terbentuk dan terapung di udara. Cahaya keemasan yang bersinar malap itu terpancar ke segala arah.

Jun Wu Xie merasakan minda sedarnya semakin kelam sewaktu kegelapan itu mula menyelubunginya.

Dia tiba-tiba membuka mata dan wajah Jun Wu Yao yang tampan itu muncul di hadapan matanya.

Suasana sebelum ini masih cerah, tetapi kini hutan itu dipenuhi bunyi serangga. Langit yang biru yang cerah pula sudah digantikan dengan langit malam yang diterangi jutaan bintang yang berkelipan.

Dalam sekelip mata sahaja, separuh hari telah berlalu.

Jun Wu Xie menenangkan fikirannya seketika.

Dia merasakan seolah-olah baru sahaja menutup matanya. Tetapi apabila dia membuka matanya semula, langit sudah pun menjadi gelap.

"Macam mana dengan keadaan kamu?" tanya Jun Wu Yao sambil tersenyum lebar.

Jun Wu Xie tersedar semula dan memeriksa keadaan rohnya. Selepas kejadian di Puncak Berawan, sebahagian rohnya menjadi kurang sempurna dan dia tidak dapat memulihkan keadaan itu selama ini. Walaupun tidak begitu jelas di mata orang lain, hanya Jun Wu Xie sahaja yang tahu betapa tidak selesanya keadaan rohnya yang tidak sempurna itu.

Selepas menyerap kacang emas itu, roh Jun Wu Xie masih belum sempurna. Namun begitu, sekurang-kurangnya dia tidak begitu mudah letih seperti sebelum ini.

Dia dapat merasakan yang rohnya yang tercedera itu sedang dipulihkan dengan perlahan-lahan. Kalau dia mahukan kecederaan itu pulih sepenuhnya, dia tidak akan dapat mencapainya dalam masa yang singkat.

"Berkesan." Jun Wu Xie meletakkan tangannya ke dada. Dia dapat merasakan rohnya mencapai keharmonian semula di bawah kuasa pemulihan yang penuh misteri ini.

"Baguslah." Jun Wu Yao menguntum senyuman dan dia menarik kembali tangannya yang diletakkan ke bahu Jun Wu Xie tadi.

"Apa tu?" Jun Wu Xie tidak pernah melihat sesuatu seperti ini sebelum ini. Malah dalam kehidupannya sebelum ini sekalipun, sewaktu bidang sains sudah pun begitu maju, belum ada yang dapat membina semula serta memulihkan roh.

"Ini cuma satu biji benih yang menarik. Kamu tak perlu tahu asal-usulnya. Selagi kacang ini berkesan untuk kamu, itulah kegunaannya. Kalau tidak berkesan, kacang ini cuma sampah yang tidak berguna." Jun Wu Yao berkata dengan bersahaja, cuba menunjukkan yang kacang emas mistik ini tidak bermakna di matanya.

Benarkah?

Jun Wu Xie langsung tidak percaya. Kalau hal ini mudah sahaja, kenapa dia menghilangkan diri sebegitu lama?

Tetapi Jun Wu Yao tidak mahu menjelaskan dengan lebih lanjut dan Jun Wu Xie juga tidak mendesaknya.

"Terima kasih." kata Jun Wu Xie dengan perlahan.

"Abang dah katakan sebelum ini. Abang tak perlukan kamu berterima kasih." Jun Wu Yao menggenggam tangan kecil Jun Wu Xie. Walaupun dia berkata begitu, matanya bersinar dengan kegembiraan.