Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 615 - Akhirnya Kamu Merindui Saya? (3)

Chapter 615 - Akhirnya Kamu Merindui Saya? (3)

[Apa yang saya cakapkan ni? Kenapa begitu mudah saya mengatakannya?]

Ye Sha sendiri terkejut dengan kelakuan peliknya itu. Dia terus menekup mulutnya dengan tangan lalu bersembunyi di sebalik pokok untuk memikirkan dan menyesali perbuatannya tadi.

Long Qi berdeham. "Tuan Muda Wu Yao." Selepas Long Qi memerhatikan mereka berbual lama, dia tidak dapat menahan dirinya daripada merapati mereka.

Agak aneh juga. Tuan Muda Jun Wu Yao juga adalah ahli Keluarga Jun, tetapi Long Qi tidak tahu mengapa Tuan Muda ini begitu mudah dilupakan. Kalau Long Qi tidak melihat sendiri Jun Wu Yao dengan matanya, dia seolah-olah tidak akan teringat tentang lelaki itu. Tetapi sebaik Jun Wu Yao berdiri di hadapannya, tidak ada apa-apa yang tidak kena.

Jika difikirkan, Duke Lin dan Tuan Yang Mulia juga tidak menyebut apa-apa tentang Tuan Muda Wu Yao.

Angin Jun Wu Yao agak baik. Dia tidak marah walaupun setelah Long Qi tiba-tiba datang mencelah. Susuk tubuhnya yang tinggi itu dengan mudahnya mengangkat Jun Wu Xie, memeluknya dalam dakapan.

"Hmm?" Jun Wu Yao mengangkat sebelah keningnya.

"Adakah Tuan Muda Wu Yao akan pulang bersama-sama kami ke Istana Lin?" tanya Long Qi dengan serius.

"Tak." Jun Wu Yao mencemuh. Buah hatinya tak akan berada di situ, kenapa pula dia nak kembali ke Istana Lin?

Long Qi berundur ke tepi dengan penuh hormat dan tidak berkata apa-apa lagi. Dia mempunyai banyak pengalaman bertempur, tetapi entah mengapa apabila berhadapan dengan Jun Wu Yao, hati Long Qi akan berasa takut dan hormat. Perasaan ini amat berbeza dengan apa yang dirasainya dengan ahli Keluarga Jun yang lain.

Jun Wu Xie membenarkan dirinya didukung oleh Jun Wu Yao dan langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mahu melepaskan diri. Walaupun dia tidak dapat bertemu dengan Pak Cik dan Datuknya, elok juga dapat bertemu dengan Jun Wu Yao di sini.

Setelah Long Qi mengambil langkah pertama, Qiao Chu dan rakan-rakannya akhirnya mendapat cukup keberanian untuk datang lebih dekat.

"Jun… Jun Wu Xie… ini siapa?" Qiao Chu bertanya dengan suara yang terketar-ketar. Dia tidak tahu apa sebabnya, tapi lelaki di hadapannya ini amat menggerunkan. Muka lelaki itu dihiasi senyuman, tetapi Qiao Chu merasakan dia sedang diperhatikan oleh bintang buas yang kuat dan menakutkan. Bila-bila masa sahaja dia boleh dicarik-carik.

"Jun Wu Yao, abang saya." Jun Wu Xie memberikan jawapan ringkas.

"Abang… abang kamu!?" Fikiran Qiao Chu berputar-putar. Kalau mereka adik-beradik, tidak hairanlah Jun Wu Xie sanggup membiarkan Jun Wu Yao begitu rapat dengannya.

Tapi...

Walaupun mereka berdua memiliki rupa paras yang sempurna dan amat cantik, wajah mereka langsung tidak sama!

[Jun Xie, kamu pasti ini abang kandung kamu?]

Qiao Chu tidak berani mengucapkan kata-kata ini.

"Nama saya Hua Yao."

"Fei Yan."

"Qiao Chu."

"Rong Ruo."

Selepas mengetahui identiti sebenar Jun Wu Yao, Qiao Chu dan rakan-rakannya tidak lagi begitu curiga.

Hanya Rong Ruo sahaja yang masih menunjukkan ekspresi wajah yang rumit.

Yan Bu Gui pernah memberitahunya sebelum ini yang mereka tidak boleh timbulkan kemarahan Jun Wu Yao, namun dia tidak sanggup memberitahu Rong Ruo tentang identiti sebenar Jun Wu Yao. Walaupun Rong Ruo hanya pernah bertemu dengan Jun Wu Yao hanya sekali sebelum ini, dia tidak ragu-ragu yang lelaki ini memiliki kuasa yang menakutkan dan sukar dipercayai.

Walaupun Jun Wu Yao tidak menunjukkan kuasanya di hadapan mereka, aura menekan yang terpancar dari lelaki itu melebihi sesiapa sahaja yang pernah Rong Ruo temui. Tanpa sedar, dia tahu yang Jun Wu Yao memiliki lebih banyak kuasa berbanding Yan Bu Gui sendiri.

Tapi kenapa lelaki yang memiliki kekuatan luar biasa ini muncul di Alam Bawahan? Macam mana dia boleh menjadi abang Jun Xie?

Soalan demi soalan tidak putus-putus bermain di fikiran Rong Ruo, tetapi dia tidak menyuarakannya. Malah dia tidak berkongsi keraguannya dengan Qiao Chu dan yang lain.

Memandangkan Yan Bu Gui telah memberikan arahan yang jelas ini kepadanya, dia tidak akan melanggarnya.

Mata Jun Wu Yao memandang Qiao Chu dan yang lain sambil menelengkan kepalanya sedikit. Wajahnya berseri-seri ketika dia memandang Jun Wu Xie. Senyuman di wajahnya lebih mengasyikkan berbanding mana-mana pemandangan yang indah.

"Nampaknya sepanjang tempoh saya tak ada di sini, Jun Wu Xie kesayangan saya ini tetap menikmati kehidupan."

Hanya ada seorang perempuan dalam kalangan empat sekawan itu.