Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 612 - Kamu Terlalu “Cun” dan Menawan (4)

Chapter 612 - Kamu Terlalu “Cun” dan Menawan (4)

Rong Ruo ketawa terbahak-bahak.

Wajah Jun Wu Xie yang masih dipegang oleh tangan Rong Ruo itu kelihatan berkerut sedikit dan bingung.

Dia masih tidak faham apa yang sedang berlaku.

Orang yang bijak dan dungu itu dibezakan dengan pengetahuan mereka. Selalunya Jun Wu Xie merupakan genius yang tiada tandingan. Namun daripada segi beberapa aspek, dia boleh dianggap dungu.

"Kalaulah orang-orang tak guna di Akademi Zephyr itu melihat Jun Wu Xie membenarkan mukanya dicubit-cubit dan diusap-usap oleh Rong Ruo seperti ini, apa agaknya reaksi mereka?" Fei Yan tersenyum nakal sambil memandang wajah bingung Jun Wu Xie. Kalau bukan kerana mereka berbeza jantina, dia juga pasti sudah mencubit wajah Jun Wu Xie.

Budak kecil ini memang terlalu comel!

"Mereka semua akan hilang akal," kata Rong Ruo sambil tersenyum.

Hakikatnya, Jun Wu Xie inilah yang telah menyeksa dan membunuh Ning Xin di hadapan seluruh akademi itu dengan kejam. Gadis yang sama juga telah membenarkan Rong Ruo mencubit-cubit mukanya dengan begitu bersahaja. Perbezaan yang terlalu ketara ini pasti sukar diterima oleh para pelajar di akademi itu.

Rong Ruo mengusap-usap pipi lembut Jun Wu Xie dengan jari-jarinya. Dia berat hati untuk melepaskan wajah Jun Wu Xie dan berasa agak beremosi. Kalau dia lelaki, reaksinya mungkin lebih teruk daripada Qiao dungu.

Askar-askar Tentera Rui Lin sedang berkawal di sekeliling perkhemahan ini. Dari jauh mereka dapat melihat Cik Muda mereka begitu "mesra" dengan kumpulan anak-anak muda ini dan mata mereka hampir terjojol keluar.

Ada beberapa orang daripada mereka yang lebih kasar terus mengeluarkan pedang masing-masing. Mereka mahu memotong tangan Rong Ruo. Namun mereka berundur dengan takut setelah melihat renungan menggerunkan yang Long Qi berikan pada mereka.

Askar-askar yang ditenung itu berundur ke satu sudut. Mereka mencangkung sambil melukis bulatan di atas tanah dengan jari mereka lalu bersungut. "Cik Muda disentuh oleh budak tak guna tu. Sampai hati Tuan Jeneral tak buat apa-apa… Kita nak biarkan saja Cik Muda diganggu sebegitu?"

Mereka berasa patah hati. Dewi mereka telah dicemari oleh seseorang dan mereka tidak dibenarkan untuk mencencang si pesalah. Macam mana Syurga boleh membenarkan hal ini terjadi!?

Long Qi tidak mempedulikan sekumpulan lelaki yang hati mereka sedang berkecai menjadi serpihan itu. Dia hanya kekal pada tempatnya dan memandang Jun Wu Xie, Rong Ruo dan yang lain dengan serius. Hanya mata Long Qi menunjukkan kegembiraannya.

Kalau Duke Lin dan Tuan Yang Mulia dapat melihat situasi ini, mungkin fikiran mereka lebih tenang.

Hanya selepas Rong Ruo dan yang lain selesai menghargai wajah Jun Wu Xie barulah dia dapat melepaskan diri. Bukannya dia tidak sukakan sentuhan Rong Ruo. Dia cuma tidak tahu reaksi apa yang perlu dibuat.

Jun Wu Xie menggosok-gosok pipinya yang sedikit merah setelah dicubit-cubit oleh Rong Ruo. Sewaktu Rong Ruo dan Fei Yan masih lagi ketawa, Jun Wu Xie menuju ke seketul besar untuk duduk.

Long Qi datang mendapatkannya pada ketika itu. Wajahnya tegas dan tidak bergurau.

"Cik Muda."

"Hmm?" Jun Wu Xie masih lagi memegang pipinya sewaktu dia mendongak. Warna merah pada kulitnya sudah pudar sedikit dan kini kelihatan seperti merah jambu. Matanya yang jelas bersinar itu kelihatan kurang dingin. Pada ketika itu, Jun Wu Xie kelihatan seperti gadis muda yang naif, comel dan malu-malu. 

Kata-kata yang Long Qi mahu ucapkan, tersekat di kerongkongnya. Lama dia terkaku di situ sebelum cepat-cepat menarik nafas dalam-dalam. Dia cuba menenangkan jantungnya yang tiba-tiba berdebar-debar.

Akhirnya dia mula faham kenapa anak-anak muda tersebut memberikan reaksi sebegitu.

Wajah Cik Muda mereka ini sememangnya mampu memberikan pukulan yang kuat!

Long Qi berdeham. "Saya mahu bertanya pada Cik Muda. Apa yang patut kita lakukan dengan pelajar yang kita bawa dari Akademi Zephyr itu?" Long Qi menenangkan diri dan menjalankan tugasnya.

"Bawa dia pulang. Serahkan pada Pak Cik," kata Jun Wu Xie dengan acuh tak acuh.

Yin Yan mungkin agak dungu, tetapi pengetahuannya dalam Teknik Pemulihan Roh boleh tahan juga. Jun Wu Xie sudah pun mendapatkan pengesahan Gu Li Sheng berkenaan hal ini.

Walaupun para pelajar fakulti Pemulih Roh itu tidak dianggap cemerlang, dalam kalangan mereka, Yin Yan memiliki bakat paling tinggi dalam teknik ini.

Teknik Pemulihan Roh amat berguna untuk Tentera Rui Lin. Namun memandangkan Jun Wu Xie masih belum dapat kembali ke Kerajaan Qi, dia membuat keputusan untuk mempergunakan Yin Yan dengan baik.

Jun Wu Xie tahu siapa yang perlu dibunuh dan siapa yang perlu dibiarkan hidup.

  1. Gelaran hormat untuk pak cik dan datuk Jun Wu Xie. Tuan Yang Mulia adalah pak cik Jun Wu Xie dan Duke Lin ialah datuknya.