Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 613 - Akhirnya Kamu Merindui Saya? (1)

Chapter 613 - Akhirnya Kamu Merindui Saya? (1)

Orang-orang seperti Bai Yun Xian dan Yin Yan sangat pengecut dan mudah tunduk. Jun Wu Xie hanya perlu memberikan sedikit tekanan dan mereka akan patuh padanya. Selagi mereka diawasi dengan baik, mereka tidak akan menimbulkan masalah. Tetapi orang-orang seperti Qin Yu Yan dan Ning Xin, tidak boleh dibiarkan hidup. Walaupun mereka boleh ditindas buat seketika, hati mereka yang kejam itu akhirnya akan membuatkan mereka merancang cara-cara untuk melepaskan diri daripada belenggu.

"Teknik Pemulihan Roh itu amat berguna. Pak Cik saya tahu apa yang perlu dilakukan dan bagaimana mahu menggunakannya." Sambil bercakap, Jun Wu Xie mengeluarkan dua preskripsi dan menyerahkannya pada Long Qi.

"Satu adalah racun dan satu lagi ubat. Berikan pada Mu Chen untuk mengawal Bai Yun Xian dan Yin Yan. Mu Chen boleh menghasilkannya."

Sewaktu meninggalkan Kerajaan Qi, Jun Wu Xie hanya menyediakan bekalan penawar selama setengah tahun untuk Bai Yun Xian. Tempoh itu hampir berakhir dan jika Bai Yun Xian tidak diberikan penawar, dia akan mati. Orang lain mungkin tidak mampu menghasilkan eliksir dan racun yang Jun Wu Xie cipta, tetapi Mu Chen berkebolehan untuk melakukannya.

Long Qi menerima preskripsi tersebut dan menyimpannya dengan baik. Jun Wu Xie sangat berhati-hati dan tidak pernah tersilap percaturan. Long Qi tahu yang dia hanya perlu melaksanakan arahan yang diberikan.

"Saya ada pesanan daripada Duke Lin dan Tuan Yang Mulia untuk Cik Muda," kata Long Qi selepas diam seketika.

Mata Jun Wu Xie bersinar-sinar.

"Duke Lin dan Tuan Yang Mulia kata Cik Muda perlu meletakkan keselamatan diri sebagai keutamaan dalam apa juga tindakan. Mereka akan menunggu kepulangan Cik Muda ke Istana Lin." Suara Long Qi kedengaran agak lembut.

Jun Wu Xie menundukkan kepala, cuba menyembunyikan kerinduan pada matanya.

"Baiklah. Beritahu Datuk dan Pak Cik supaya jangan risau."

Long Qi mengangguk dan berundur ke satu sudut.

Di dalam hutan itu, angin yang bertiup dingin menyapu pipi Jun Wu Xie dan membawa bersama perasaan rindu di dalam hatinya.

Suasana sekeliling menjadi senyap sunyi. Kepala Jun Wu Xie ditundukkan sambil dia mengenang kembali segala yang telah berlaku di Istana Lin sebelum ini.

Pak Cik, Datuk… dan Jun Wu Yao…

"Apa yang kamu fikirkan tu?" Satu suara yang disulami perasaan terhibur tiba-tiba kedengaran dari belakang Jun Wu Xie. Satu suara yang amat dikenalinya.

Jun Wu Xie mengangkat kepalanya dan berasa sangat terkejut. Seketika kemudian, dia mendapati dirinya berada dalam dakapan yang hangat dan selesa. Dia terhidu sesuatu yang dikenalinya dan haruman itu membuatkan dia sedikit menggeletar.

"Kamu sedang fikirkan saya?" Satu ketawa nakal kedengaran di tepi telinga Jun Wu Xie dan nafas yang hangat itu mengusik bahagian sensitif di lehernya.

Di dalam kawasan perkhemahan itu, keadaan teramat sunyi. Setiap pasang mata tertumpu pada susuk tubuh tinggi lampai yang telah memeluk Jun Wu Xie.

Rong Ruo berdiri dengan terkejut. Dia merenung lelaki misteri yang sebelum ini telah membuatkan dia berasa tidak berdaya akibat ditekan oleh auranya.

Di tengah-tengah hutan tebal itu, seorang lelaki yang amat tampan sempurna sedang memeluk seorang gadis yang cantik sempurna. Mereka berdua hanya berdiri pegun di situ. Cahaya matahari bersinar dari celah-celah dedaunan pokok yang tebal, melimpahkan sinar ke atas kedua-duanya seperti bintang bergemerlapan yang jatuh ke Bumi.

"Abang..." Jun Wu Xie membuka mulutnya sedikit, memanggil lelaki yang telah muncul di dalam mimpinya sebelum ini.

Ketawa yang kuat dan ceria terdengar dari belakang Jun Wu Xie. Lelaki itu memusingkan badan Jun Wu Xie yang kecil molek itu lalu menekapkan dahinya ke dahi Jun Wu Xie. Matanya mengecil seiring gelak ketawanya.

"Kamu boleh kenal suara Abang. Gembiranya Abang rasa."

Senyuman nakal yang tampan serta mampu memadamkan sinaran Langit dan Bumi itu terpahat dengan dalam di mata Jun Wu Xie. Matanya terbeliak sedikit, terkejut melihatkan wajah yang sempurna itu.

"Kenapa pandang Abang begini? Jangan kata kamu terlalu rindukan Abang?" Jun Wu Yao berkata dengan nakal, mengusik buah hatinya yang sedang kaku.