Sebaik Jun Wu Xie turun dari kudanya, dia terus masuk ke dalam sebuah khemah yang telah didirikan untuk bersalin pakaian. Sewaktu dia keluar dari khemah tersebut, Qiao Chu, Hua Yao, Fei Yan dan Rong Ruo sudah pun menantinya dengan sabar di luar.
"Meow?" Kucing hitam itu terbaring di dalam pelukan Jun Wu Xie sambil menghayunkan ekornya dengan santai. Kucing tersebut merenung malas pada Qiao Chu dan rakan-rakannya yang sedang memandang aneh pada Jun Wu Xie.
Jun Wu Xie menelengkan kepalanya dengan bingung sambil memandang keempat-empat rakannya itu. Kelakuan mereka nampak normal, tetapi cara mereka memandangnya amat berbeza daripada sebelum ini.
"Jun Xie?" Qiao Chu teragak-agak memandang Jun Wu Xie sambil bercakap dengan berhati-hati.
"Hmm?" Jun Wu Xie mengangkat sebelah keningnya.
Qiao Chu tiba-tiba merasakan satu kehangatan membuak naik di dalam hidungnya. Dia terus menutup hidungnya dengan tangan kemudian mendongak memandang langit dan menggelabah lari ke satu sisi.
Jun Wu Xie amat bingung. Matanya menunjukkan perasaan tidak pasti.
"Kenapa dengan dia tu?"
Fei Yan tadinya berasa agak resah. Tetapi setelah melihat perangai Qiao Chu, Fei Yan ketawa terbahak-bahak.
"Pffft… Qiao Dungu tu cuma bersikap bodoh macam biasa. Jangan ambil pedulilah."
Rong Ruo menggelengkan kepala dengan tidak berdaya sebelum memandang Jun Xie. "Saya tak sangka kamu ada kejutan besar untuk kami."
"Kejutan?" Jun Wu Xie berkerut sedikit. "Kamu semua tiba terlalu lewat."
"Terlalu lewat?" Rong Ruo kebingungan.
"Ning Xin sudah pun mati," kata Jun Wu Xie dengan serius.
Dia berniat mahu memberikan persembahan yang baik sebagai hadiah untuk Qiao Chu dan yang lain. Malangnya, mereka tidak sempat tiba.
"Tidak... bukan Ning Xin..." Rong Ruo mahu ketawa sewaktu memandang Jun Wu Xie. Gadis kecil molek ini biasanya begitu bijak dan tajam akal, tetapi dalam aspek tertentu, dia sebenarnya agak naif.
"Bukan dia?" Jun Wu Xie tidak faham. Dia menyangkakan kejutan yang Rong Ruo sebutkan itu adalah hukumannya terhadap Ning Xin. Rong Ruo tidak tahu sama ada ingin ketawa atau menangis. Dia hanya menudingkan jari pada wajah Jun Wu Xie.
Jun Wu Xie mengangkat tangan untuk menyentuh mukanya tapi tidak menemui apa-apa yang tidak kena..
Melihatkan gadis syaitan luar biasa mereka ini menunjukkan kedunguan yang jarang dapat dilihat, Rong Ruo tiba-tiba ketawa.
"Cik Muda sayang! Kamu dah salah faham maksud saya!" Rong Ruo masih ketawa ketika dia menyentuh wajah Jun Wu Xie dengan tangannya. Mereka berdua sama-sama perempuan, jadi Rong Ruo tidak merasakan yang dia perlu menahan dirinya.
"Dengan wajah yang mampu meruntuhkan kota dan menghancurkan negara ini, kenapa kamu buatkan diri kamu kelihatan begitu hodoh?" Rong Ruo berkata sambil ketawa. Sebenarnya Jun Wu Xie tidaklah hodoh selepas mengubah penampilannya dan masih lagi boleh dianggap cantik. Cuma selepas melihat rupa paras sebenarnya di sebalik penyamaran itu, wajah Jun Wu Xie yang diubah itu langsung tidak boleh dibandingkan dengan wajah sebenarnya.
Jun Wu Xie terkejut. Walaupun dia amat bijak, dia langsung tidak terfikir apa yang Rong Ruo cakapkan tadi adalah berkaitan dengan rupa parasnya.
Meruntuhkan kota dan menghancurkan negara...
Jun Wu Xie hanya pernah mendengar ayat ini digunakan oleh orang lain. Dalam kehidupannya yang dahulu dan sekarang, dia tidak pernah terfikir untuk mengaitkan ayat itu dengan dirinya.
Jun Wu Xie tidak mempertimbangkan sama ada seseorang itu cantik atau hodoh ketika menilai orang lain.
Sebagai seorang doktor, tidak kira siapa sahaja yang dipandangnya, dia melihat mereka dengan mata yang menilai penampilan dalaman. Dia langsung tidak ambil peduli dengan rupa luaran mereka.
Dia sudah berkali-kali memandang wajahnya sendiri dan dia tidak memikirkan yang wajahnya itu berbeza dengan orang lain.
"Tengok tu. Kamu tiba-tiba mendedahkan wajah seperti ini pada kami sehinggakan Qiao Dungu tu menjadi takut!" kata Rong Ruo sambil ketawa. Dia merasakan Jun Wu Xie, yang kelihatan seperti anak kecil yang naif dan menunjukkan ekspresi wajah yang bingung itu, amat comel.
Berbanding dengan personaliti Jun Wu Xie yang biasanya dingin dan berfikiran logik, Rong Ruo merasakan perbezaan yang amat ketara ini begitu menawan hati.
"Saya tak takutlah!" Qiao Chu berteriak sambil mencangkung dan memegang hidungnya.
Jeritan yang kuat itu membuatkan pendarahan hidung yang cuba ditahannya dengan sedaya upaya itu membuak-buak kembali dan mengalir masuk ke dalam tekaknya. Rasa darah yang tiba-tiba memenuhi mulutnya itu membuatkan dia hampir terjeluak dan memuntahkan darah itu keluar!