Kalaulah Jun Wu Xie tahu yang Qiao Chu hampir berfikir yang bukan-bukan tadi, Qiao Chu tidak akan hidup lama!!!
"Kamu ni tak bolehkah jadi manusia normal?" kata Hua Yao sambil memandang Qiao Chu yang terlebih gelisah itu.
Qiao Chu menarik nafas dalam-dalam beberapa kali untuk menenangkan diri. Tetapi sebaik dia berpusing, dia mendapati Jun Wu Xie sedang merenung tepat ke arah mereka.
Qiao Chu merasakan lututnya menjadi lemah longlai.
Mustahil dia dapat mempertahankan diri daripada renungan gadis yang jelita dan sempurna ini!
Qiao Chu dan yang lain masih tidak sedar dengan suasana aneh di Akademi Zephyr. Mereka terlalu terkejut dengan perubahan Jun Wu Xie yang berlaku secara mendadak dan amat mengagumkan ini!
Nangong Xu akhirnya dapat pulih sedikit selepas mengalami kejutan berturut-turut itu dan menyedari kehadiran Qiao Chu serta rakan-rakannya yang lain. Sebaik teringat yang mereka juga berada di dalam Hutan Roh Pertempuran pada hari kejadian, dia bergegas mendapatkan mereka lalu berkata, "Kamu semua, mari."
Qiao Chu menggosok-gosok hidungnya dan mereka semua mengikut Nangong Xu tanpa berkata apa-apa.
Nangong Xu membawa mereka ke hadapan Jun Wu Xie. Setelah bersusah-payah menenangkan diri, dia berkata, "Cik Jun, para pelajar ini juga ada di tempat kejadian tempoh hari. Kalau ada apa-apa yang perlu ditanya, silakan."
Mereka berempat berdiri tegak, kaku seperti batang kayu di hadapan Jun Wu Xie.
Berada begitu dekat dengan Jun Wu Xie membuatkan Qiao Chu berasa agak pening-pening.
Jun Wu Xie mengecilkan matanya dan memberikan sekilas renungan dingin pada Qiao Chu dan yang lain.
Qiao Chu hampir pengsan.
"Long Qi," kata Jun Wu Xie tiba-tiba.
"Saya, Cik Muda."
"Bawa mereka berempat. Saya mahu soal siasat mereka perlahan-lahan."
Sewaktu Nangong Xu membuat keputusan untuk membawa Qiao Chu dan yang lain ke situ, dia memikirkan tindakan ini mungkin akan menenangkan sedikit suasana yang sedang tegang akibat hukuman Ning Xin yang amat menggentarkan. Dia tidak menyangka yang Jun Wu Xie masih bertegas mahu memanjangkan hal ini dan menangkap empat pelajar ini untuk disoal siasat.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Nangong Xu terasa seperti mahu menampar dirinya kuat-kuat. Isu ini sudah pun boleh diselesaikan tadi. Siapa tahu masalah apa lagi yang Jun Wu Xie akan timbulkan disebabkan oleh tindakan Nangong Xu yang berlebih-lebihan itu?
Long Qi mengangguk tetapi kemudiannya berpusing kembali selepas terlihat Yin Yan yang masih melutut di kaki Fan Qi. Dia bertanya pada Jun Wu Xie, "Cik Muda, kita nak buat apa dengan dia ni?"
Apabila kehadirannya disedari, Yin Yan mula menggigil. Setelah menyaksikan bagaimana Tentera Rui Lin menghukum Ning Xin, keberaniannya terus lenyap. Sebaik Long Qi menyebut tentangnya, Yin Yan terus pengsan. Mulutnya berbuih-buih akibat ketakutan. Badannya pula tersentak-sentak sambil dia menggeliang-geliut di atas tanah.
Jun Wu Xie menjeling sekilas pada Yin Yan dan hanya berkata, "Bawa dia sekali."
Long Qi menarik kolar baju Yin Yan dengan mudah, lalu mengangkatnya tanpa teragak-agak. Seolah-olah dia memegang anak kucing.
Tanpa berkata apa-apa, Jun Wu Xie berpaling dan berjalan keluar. Long Qi mengheret Yin Yan yang sudah pengsan itu dan mengekori Jun Wu Xie. Qiao Chu dan yang lain juga bergerak mengikuti mereka.
Tidak lama kemudian, hanya orang-orang Akademi Zephyr yang tinggal di situ.
Jun Wu Xie melangkah keluar dari Akademi Zephyr bersama yang lain. Mereka terus menunggang kuda dan bergegas pergi dari situ. Askar-askar Tentera Rui Lin yang menghalang pintu pagar tadi terus berpusing dan menderap pergi dengan kuda mereka untuk mengikuti Jun Wu Xie.
Awan gelap yang menjelma di Akademi Zephyr mula berarak. Hati para pelajar Akademi Zephyr juga perlahan-lahan menjadi lebih tenang.
"Semua boleh bersurai." Fan Qi mengeluh berat. Segala yang berlaku pada hari ini amat meletihkan.
Para pelajar yang berkumpul di pintu pagar Akademi Zephyr itu mula bersurai. Ramai yang masih bingung. Nampaknya kebanyakan daripada mereka akan dihantui mimpi ngeri malam nanti.
Berbanding dengan nasib Ning Xin dan Yin Yan, para pelajar yang dibuang dari akademi dahulu mungkin paling bernasib baik.
Tentera Rui Lin tidak pergi jauh selepas meninggalkan Akademi Zephyr. Sebaliknya, pasukan tentera itu berhenti di sebuah hutan kecil untuk mendirikan kem.