Fan Qi sememangnya sedar yang sejak mula lagi Jun Wu Xie inginkan kematian Ning Xin. Tetapi Jun Wu Xie tidak memberikan Ning Xin kematian yang cepat dan mudah. Dia telah menghancurkan sikap angkuh serta meninggi diri Ning Xin, sedikit demi sedikit. Sewaktu Ning Xin berada di ambang kematian, Jun Wu Xie telah membenarkan Ning Xin menyimpan sedikit sinar harapan yang dia akan terselamat. Ketika harapan itu hampir menjadi kenyataan, Jun Wu Xie memadamkannya dan menamatkan nyawa Ning Xin.
Fan Qi tak faham bagaimana seorang gadis muda seperti ini boleh bersikap begitu ganas dan kejam.
Tapi apa yang dia tahu, selepas hari ini, tak ada seorang pun pelajar Akademi Zephyr yang akan berani untuk menentang Tentera Rui Lin lagi.
Bukan kerana Tentera Rui Lin memiliki reputasi sebagai pasukan penyerang yang paling ganas, tetapi kerana mereka di akademi itu kini sedar yang Keluarga Jun memiliki Cik Muda yang amat ganas dan tidak memiliki belas kasihan!
Tidak ada satu bunyi pun dapat didengari daripada kerumunan besar para pelajar di hadapan pintu pagar Akademi Zephyr itu. Mereka semua begitu terkesan dengan situasi mengejutkan yang mereka saksikan tadi. Semuanya menjadi kaku akibat ketakutan.
Kamu boleh timbulkan kemarahan Syurga dan Bumi… tapi jangan pernah terfikir untuk menimbulkan kemarahan Tentera Rui Lin!
Pada hari itu, semua pelajar Akademi Zephyr dalam diam mencapai kata sepakat ini.
Semua yang berlaku hari ini menjadi memori yang tak akan terpadam, selama-lamanya terpahat di dalam fikiran para pelajar ini. Walaupun di masa hadapan nanti ramai di antara mereka akan mencapai kemasyhuran dan kejayaan, mereka masih lagi dihantui ketakutan yang tidak dapat dijelaskan setiap kali mendengar nama Tentera Rui Lin dan Istana Lin.
Dalam keadaan sunyi sepi itu, beberapa orang yang kelihatan ceria tiba-tiba berjalan masuk melalui pintu pagar utama Akademi Zephyr.
"Apa yang dah jadi ni?" Qiao Chu telah mengesan bau darah yang kuat dari jauh lagi. Sebaik sampai di pintu pagar Akademi Zephyr, mereka bertembung dengan satu pasukan tentera yang memakai perisai perak dan menunggang kuda perang yang gagah. Pasukan tentera ini menghalang laluan masuk ke akademi.
Tentera Rui Lin itu serentak berpaling untuk memandang Qiao Chu dan rakan-rakannya. Renungan mata mereka yang tajam itu memiliki aura yang menekan. Qiao Chu dan yang lain baru sahaja mahu meminta askar-askar ini memberi laluan pada mereka apabila salah seorang daripada askar-askar tersebut tiba-tiba melompat turun dari kudanya.
"Tuan muda sekalian, lama kita tak berjumpa." Askar itu tersengih sambil menyapa mereka.
Qiao Chu terkebil-kebil memandang askar yang kelihatan tegas dan berani itu. Dia cuba memikir-mikir di mana agaknya dia bertemu dengan seseorang seperti ini!
"Tentera Rui Lin! Ah ha! Kita ada bertemu di Hutan Roh Pertempuran!" kata Qiao Chu sambil ketawa besar.
Mata guru yang ditugaskan untuk mengiringi Qiao Chu serta rakan-rakannya ke situ terbeliak kerana terkejut melihatkan Qiao Chu begitu ramah dengan askar dari Tentera Rui Lin yang terkenal dengan keganasan mereka. Matanya hampir terjojol keluar sewaktu Qiao Chu ketawa terbahak-bahak di hadapan askar tersebut.
Askar itu tersenyum mesra. Sewaktu terpandang guru yang sedang terkejut itu, senyuman mesranya itu terus lenyap. Setelah menerima renungan menggerunkan daripada askar tersebut, guru itu terus ketakutan dan berundur ke satu sisi. Dia tidak berani berkata apa-apa.
Hanya ketika pandangan mata askar tersebut beralih dan terlihat Hua Yao, Rong Ruo dan Fei Yan, barulah senyuman tadi kembali pada wajahnya.
"Jeneral Long dan Cik Muda ada di dalam. Cepatlah masuk."
Qiao Chu dan yang lain mengangguk sambil tersenyum. Pasukan tentera yang menghalang laluan masuk ke Akademi Zephyr, terus bergerak untuk membenarkan mereka masuk. Sebaik mereka masuk ke dalam akademi tersebut, askar-askar itu cepat-cepat bergerak dan kembali menutup laluan masuk tersebut sekali lagi.
Guru yang ditinggalkan sendirian di luar itu tidak ada pilihan selain kekal berdiri di situ. Dia tidak berani untuk bergerak ke hadapan, walau selangkah.
Qiao Chu dan rakan-rakannya bergegas masuk ke Akademi Zephyr. Namun mereka kemudian mendapati ada satu kerumunan besar para pelajar telah berkumpul di sekeliling pintu pagar tersebut. Apa yang peliknya ialah, para pelajar ini langsung tidak berbunyi. Mereka semuanya berdiri kaku dengan wajah yang pucat.
"Apa kena dengan mereka ni? Semuanya macam ternampak hantu!" bisik Qiao Chu pada yang lain.
Sebelum ini, mereka telah menerima pesanan daripada salah seorang guru mereka. Pesanan itu menyuruh mereka datang ke kampus utama secepat mungkin. Sebaik melangkah masuk, mereka menyedari ada sesuatu yang tidak kena.
Walaupun setelah melihat kehadiran Qiao Chu dan yang lain, para pelajar di situ masih tidak berkata apa-apa. Mereka hanya menjeling sekilas sebelum berpaling kembali ke arah yang sedang mereka perhatikan. Malah beberapa orang pelajar yang tidak tahan melihat keganasan tersebut telah berlari keluar dari kerumunan itu dan terus muntah-muntah di sepanjang dinding akademi.