Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 571 - Pemuda Pembunuh (3)

Chapter 571 - Pemuda Pembunuh (3)

"Lemah betul mereka semua tu! Terlalu lemah!" Pemuda itu berkata sambil menggelengkan kepala dan memijakkan sebelah kaki pada penghadang rendah di bilik peribadinya. Dia memandang mayat-mayat yang bergelimpangan di tangga pentas. Semua kepala mayat itu pecah dan kelihatan begitu mengerikan. Jurulelong itu yang selama ini berdiri tegak di atas pentas, tiba-tiba kehilangan kekuatan pada kakinya dan jatuh terduduk di atas lantai. Seluruh tubuhnya menggigil sambil dia merenung pemuda yang luar biasa kejam dan ganas di tingkat atas itu.

Pemuda itu amat tampan tapi sikapnya tak jauh bezanya dengan syaitan!

Dia melihat kerumunan pengunjung itu bertempiaran lari dan rumah lelong itu menjadi sunyi. Pemuda tampan itu tersenyum sinis dengan cemuhan. Tiba-tiba matanya tertumpu pada bilik peribadi yang setentang dengan biliknya dan dia terpandang Jun Wu Xie.

Darah mencemari wajah menawan pemuda itu. Apabila dia bertentang mata dengan Jun Wu Xie, dia menjadi kaku seketika.

Dia tidak melihat sebarang ketakutan atau perasaan panik pada mata Jun Wu Xie. Hanya ada ketenangan dan kedinginan yang bersahaja.

Bibir pemuda menawan itu tersenyum sedikit. Kemudian dia menggerakkan bibirnya untuk mengatakan sesuatu dalam diam.

'Tenung saya lagi dan saya akan bunuh kamu.'

Jun Wu Xie mengangkat sebelah keningnya.

Pemuda menawan itu merasakan reaksi ini agak menarik dan dia membongkokkan badannya ke hadapan, seolah-olah mahu melompat menuju mereka.

Qiao Chu dan yang lain terus bergerak untuk berdiri di hadapan Jun Wu Xie. Aura membunuh yang dilepaskan oleh pemuda itu membuatkan rakan-rakan Jun Wu Xie mula berwaspada.

Perasaan minat pada mata pemuda itu semakin membara. Dia baru sahaja mahu menerkam mereka apabila tiga lelaki lain yang selama ini duduk diam di bilik peribadi itu tanpa berkata apa-apa, tiba-tiba berdiri. Salah seorang lelaki tersebut menghulurkan tangannya dan menahan bahu pemuda menawan itu yang bergetar dengan perasaan teruja.

"Gu Ying, sudah," kata lelaki itu dengan tenang.

Senyuman pada wajah pemuda menawan itu bertukar menjadi perasaan tidak sabar dan diam terdiam seketika sebelum berundur. Tetapi matanya tidak berhenti memandang Jun Wu Xie. Bibirnya sekali lagi mengucapkan sesuatu dalam diam.

'Mata kamu cantik. Saya teringin nak korek dan keluarkan.'

Qiao Chu dan rakan-rakannya yang berdiri di antara mereka berdua, dapat membaca bibir pemuda menawan itu. Mata mereka menunjukkan perasaan marah yang memuncak.

Namun begitu, pemuda itu langsung tidak berminat dengan Qiao Chu dan yang lain. Dia berpaling pada jurulelong yang amat ketakutan dan masih lagi terduduk di atas pentas itu lalu berkata, "Hei! Hantar barang itu ke sini. Sekarang."

Selepas selesai berkata-kata, dia melambaikan tangannya dan mencampakkan sejumlah nota bank. Nota-nota bank itu bertaburan jatuh dari tingkat dua dan melayang ke atas lantai. Darah merah segar yang bertakung di atas lantai itu mencemari nota-nota bank tersebut.

Jurulelong yang ketakutan itu tidak berani teragak-agak seketika lagi bergegas mengarahkan orang-orang suruhan untuk menghantar Eliksir Hibernasi kepada pemuda tersebut.

Selepas menerima Eliksir Hibernasi itu, pemuda itu berjalan dengan perlahan bersama-sama tiga lelaki itu dan mereka keluar meninggalkan rumah lelong tersebut. Sebelum melangkah keluar, dia berpaling dan memberikan pandangan kejam pada Jun Wu Xie sekali lagi. Bibirnya mengukir senyuman jahat.

"Tak guna! Siapa budak tu!?" tanya Qiao Chu dengan marah setelah pemuda itu berlalu.

Kalau Jun Wu Xie tidak diam-diam mengisyaratkan mereka semua agar tidak bertindak terburu-buru, pasti mereka semua sudah meluru pergi dan memusnahkan pemuda jahanam yang suka menjengkelkan dan suka memandang rendah pada orang lain itu.

"Dia dari Alam Pertengahan," kata Fan Zhuo sambil berkerut.

"Apa!?" Qiao Chu berteriak dengan tidak percaya. Matanya terbeliak.

Mata Fan Zhuo mengecil dan dia berfikir secara mendalam.

"Kamu semua tak perasan tadi? Sewaktu pemuda itu mahu menerkam kita, dia memancarkan sedikit kesan kuasa rohani tahap ungu. Seingat saya, tak ada orang di Alam Bawahan ini yang dapat mencapai roh tahap ungu di usia remaja."

Peringatan Fan Zhuo itu tiba-tiba membuatkan mereka semua tersedar tentang butiran kecil yang mereka terlepas pandang tadi.

"Orang-orang dari Alam Pertengahan…. Mengapa mereka muncul di sini?" Kening Hua Yao berkerut ketat.

"Semua orang dari Alam Pertengahan berada di peringkat roh tahap ungu?" tanya Jun Wu Xie secara tiba-tiba.

Dia telah menyedari sesuatu yang aneh tentang pemuda itu tadi dan apa yang dirasakannya itu sama dengan apa yang dapat dirasakannya pada Qiao Chu dan yang lain.