Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 572 - Pemuda Pembunuh (4)

Chapter 572 - Pemuda Pembunuh (4)

Tetapi Jun Wu Xie dapat merasakan yang pemuda itu lebih kuat berbanding Qiao Chu dan rakan-rakannya yang lain. Malah tiga orang lelaki di belakang pemuda itu juga tidak kurang hebatnya.

Kemunculan tiba-tiba empat watak yang amat kuat ini telah memaksanya untuk lebih berwaspada dan berhati-hati dalam menguruskan mereka.

Kenapa orang-orang dari Alam Pertengahan ini muncul di Bandar Chan Lin yang kecil ini tanpa sebarang sebab?

"Kamu tak boleh katakan yang mereka itu memiliki roh tahap ungu," kata Hua Yao sambil mengerutkan mukanya. "Sebenarnya, orang dari Alam Pertengahan memiliki kaedah unik yang membenarkan mereka meningkatkan kuasa sehingga mencapai tahap ungu. Tetapi kaedah ini tidak membenarkan kami mengekalkan keadaan ini dalam jangka masa yang panjang. Semakin kuasa rohani kami meningkat dan berkembang, tempoh kami dapat mengekalkan keadaan ini juga dapat dipanjangkan. Lama kelamaan, kami akan mencapai roh tahap ungu yang sebenar."

Sebab mengapa Alam Pertengahan lebih kuat berbanding Alam Bawahan adalah kerana sebaik roh berkontrak mereka bangkit, mereka sudah pun dapat menggunakan kuasa di tahap roh ungu.

Hakikat yang empat lelaki dari Alam Pertengahan muncul secara tiba-tiba dan penuh misteri ini telah menyebabkan Hua Yao dan rakan-rakannya lebih berhati-hati. Di Puncak Berawan sebelum ini, mereka bertembung dengan hanya dua orang lelaki dari Alam Pertengahan. Pertembungan itu hampir meragut nyawa mereka kalau bukan disebabkan pengorbanan Ye Sha yang tidak mementingkan diri. 

Kali ini, ada empat orang lelaki dari Alam Pertengahan. Walaupun mereka tidak dapat memastikan jika lelaki-lelaki ini berasal dari mana-mana Istana Dua Belas, mereka tahu yang mereka tidak boleh tersilap langkah.

He Chang Le tidak pernah menyangka lelongan yang mencecah puncak keghairahan yang tidak pernah dilihat, akan berakhir sebegini.

Lelongan itu tidak dapat diteruskan dan dihentikan di tengah-tengah. Wajah He Chang Le kelihatan pucat sewaktu dia bergegas menyuruh orang suruhannya membersihkan rumah lelong itu dan mengalihkan mayat-mayat yang ada.

Ketika Jun Wu Xie dan rakan-rakannya mahu beredar, He Chang Le mengiringi mereka. Dia memaksa dirinya kelihatan tenang, tetapi tidak sukar untuk melihat kekecewaan di dalam hatinya yang gagal disembunyikan.

Selepas kejadian berdarah ini, dia tidak dapat menentukan sama ada lelongan di Rumah Lelong Chan Lin ini berjaya atau gagal.

Tetapi selepas lelongan ini, pemuda itu dan tiga lelaki bersamanya tiba-tiba lenyap dan tidak dilihat lagi di situ.

Malam itu, Hua Yao menyamarkan diri sekali lagi dan pergi ke Rumah Lelong Chan Lin. Dia hanya menerima jumlah wang untuk eliksir yang berjaya dilelong. Disebabkan gangguan yang dicetuskan oleh pemuda itu, lelongan itu tiba-tiba dihentikan. Walaupun semua eliksir berjaya dilelong, batu roh mereka masih ada dan mereka bersetuju meninggalkan batu roh tersebut untuk lelongan seterusnya.

Ketika Hua Yao berjumpa dengan He Chang Le di rumah lelong itu, wajah He Chang Le masih lagi pucat. Tetapi dia tidak lupa untuk membincangkan tentang melanjutkan kerjasama mereka. He Chang Le tidak mengambil upah lelongan eliksir itu dan menyerahkan jumlah penuh yang diterima kepada Hua Yao. Dia cuma meminta sokongan berterusan Hua Yao dari segi penghasilan eliksir supaya mereka dapat membentuk perkongsian jangka panjang. Dia juga berjanji untuk mendapatkan harga yang berpatutan bagi semua eliksir Hua Yao.

Hua Yao membalas yang dia perlu kembali dan berbincang mengenai hal ini. Dia akan datang semula membawa jawapannya. He Chang Le tidak terus mendesak. Kekecohan yang berlaku pada lelongan hari ini membawa masalah besar padanya. Pada mulanya dia berniat untuk meyakinkan Hua Yao supaya terus membekalkan eliksir ke Rumah Lelong Chan Lin untuk meningkatkan reputasi dan kemahsyuran rumah lelong mereka. Sebaliknya kini dia tiba-tiba mendapati dirinya lebih bimbang tentang menyelamatkan reputasi mereka….

Pembunuhan yang begitu mengerikan telah berlaku sewaktu acara lelongan berlangsung. Lebih daripada sepuluh orang lelaki telah dibunuh. Kejadian ini merupakan tamparan hebat pada Rumah Lelong Chan Lin dan dia tidak pasti jika mereka dapat mengharunginya.

Kalau mereka tidak cepat-cepat mengambil langkah untuk memulihkan situasi ini, rumah lelongan itu mungkin tidak dapat terus bertahan.

He Chang Le terpaksa meletakkan harapan pada lelaki yang telah membawa kerumunan yang ramai ke rumah lelong itu disebabkan eliksirnya.

Hua Yao menyampaikan permintaan He Chang Le untuk bekerjasama dengan mereka kepada Jun Wu Xie. Tanpa teragak-agak, Jun Wu Xie terus bersetuju.

Secara kebetulan, pemikiran He Chang Le sama dengannya.

Jun Wu Xie memerlukan duit dan He Chang Le perlu membaiki dan mendapatkan kembali reputasi Rumah Lelong Chan Lin. Mereka hanya bekerjasama untuk memenuhi kehendak masing-masing.