Seketika kemudian, para pengunjung menjadi huru-hara dan lelongan itu mencapai kemuncak yang baru!
Dua ratus ribu adalah bidaan permulaan dan harga bidaan meningkat naik dengan begitu pantas!
Kepantasan peningkatan harga itu berlaku pada kadar yang tidak pernah dilihat sebelum ini!
Hanya ketika harga pil Eliksir Hibernasi yang pertama itu melebihi lima ratus ribu tahil barulah kadar peningkatan harga itu mula menjadi perlahan.
Lima ratus ribu tahil untuk sebiji eliksir. Harga ini sudah pun mencecah harga yang dikhaskan untuk eliksir bertaraf paling premium. Sebelum ini, hanya eliksir daripada Kumpulan Qing Yun sahaja yang pernah berada dalam lingkungan harga itu.
Kalau jumlah ini semakin meningkat, harganya akan berada di luar kemampuan kebanyakan orang di sini.
Jurulelong itu menyedari yang bidaan sudah mula terhenti dan dia tahu yang harga itu sudah mencapai kemuncaknya. Dia melaungkan bidaan terakhir sebanyak tiga kali berturut-turut. Baru sahaja dia mahu mengetuk tukul bidaannya untuk menyelesaikan bidaan, satu suara yang jelas tiba0tiba kedengaran!
"Satu juta tahil!"
Suara itu datangnya dari salah sebuah bilik peribadi di tingkat dua. Serentak ketika suara itu kedengaran, kepala para pengunjung mendongak untuk melihat dari mana datangnya suara tersebut!
Empat orang pemuda yang tampan sedang duduk di dalam bilik peribadi itu. Mereka semua kelihatan segak memakai pakaian yang mahal. Pemuda yang bercakap tadi ialah yang paling muda dalam kalangan mereka dan berusia kira-kira lima belas atau enam belas tahun. Dia seorang pemuda yang kacak dan menawan. Namun perilakunya yang bergaya seperti golongan diraja itu membuatkan orang lain berasa takut untuk mencemari kawasan di mana dia berpijak.
Pemuda yang menawan itu memberi pandangan penuh cemuhan pada kerumunan pengunjung di tingkat bawah itu. Penghinaan pada renungannya itu membuatkan mereka yang berada di tingkat bawah itu menggigil. Perasaan ingin melarikan diri semakin mekar di hati mereka.
Jurulelong di atas pentas itu tidak terkata apa-apa kerana berasa amat terkejut.
Selama hampir sedekad dia menjadi jurulelong di Rumah Lelong Chan Lin, dia tidak pernah menjual satu barang dengan harga yang sukar dipercayai ini!
Satu juta tahil untuk sebiji eliksir!?
Tangan yang memegang tukul jurulelong itu kelihatan menggigil.
"Ada bidaan lain?" Pemuda yang menawan itu bertanya sambil renungan bersahajanya ditumpukan pada kerumunan orang ramai di bawah. Bibirnya menguntum senyuman malas dan angkuh.
Seluruh rumah lelong itu menjadi senyap sunyi. Seketika kemudian, jurulelong itu tiba-tiba terus melaungkan bidaan tersebut sebanyak tiga kali apabila terlihat renungan kurang sabar pemuda menawan itu. Apabila dia sudah yakin yang tidak akan ada bidaan lain lagi, dia mengangkat tangannya dan memutuskan harga bagi pil Eliksir Hibernasi yang pertama.
Selepas tukul itu diketuk, suasana di dalam rumah lelong itu menjadi agak pelik.
Orang ramai dalam kalangan kerumunan itu yang gagal mendapatkan Eliksir Hibernasi pertama tersebut mengetap gigi dalam diam dan terus mendongak. Mereka merenung bilik peribadi di tingkat dua itu dengan perasaan tidak puas hati dengan situasi yang baru berlaku.
[Budak muda tu bodoh sangatkah? Membelanjakan begitu banyak wang hanya untuk sebiji pil eliksir?]
[Nampaknya memang betul orang yang dungu biasanya banyak duit. Tak mengapalah. Ada lagi empat biji eliksir lagi. Tak perlulah terburu-buru.]
Namun begitu, sejurus kemudian mereka semua mendapati keinginan hati mereka kini berada di luar jangkauan.
Jurulelong itu baru sahaja mengumumkan bidaan permulaan bagi eliksir kedua apabila pemuda yang sama cepat-cepat membuat bidaan satu juta tahil sekali lagi!
Bagi empat biji eliksir seterusnya, dia terus membuat bidaan satu juta tahil bagi setiap satu dan membuatkan orang ramai berasa seolah-olah nafas mereka hampir tersekat.
Kesemua lima biji Eliksir Hibernasi itu jatuh ke tangan pemuda tersebut!
Qiao Chu dalam diam mengagumi pemuda yang membelanjakan wang sesuka hati itu lalu berkata pada rakan-rakannya, "Saya sangkakan Jun Xie ini sudah cukup gila berbelanja sebelum ini. Saya tak sangka saya akan bertemu seseorang yang lebih gila daripada dia! Lima juta tahil! Di rumahnya itu duit mengalir seperti air sungaikah?"
Jun Wu Xie menjeling Qiao Chu dan berkata dengan ringkas, "Saya tak gilalah."
Perasaan gerun akibat jelingan itu menyedarkan Qiao Chu. Dia cepat-cepat menuangkan secawan air dan menghulurkannya pada Jun Wu Xie lalu berkata, "Saya bukannya maksudkan kamu. Saya merujuk pada pemuda di sana tu."
Jun Wu Xie menerima cawan berisi air itu dan menghirup sedikit.
Qiao Chu akhirnya mengeluh lega.
Sementara itu di tingkat bawah rumah lelong itu, suasana bertambah aneh.
Wakil-wakil daripada pelbagai kuasa besar yang hadir itu begitu ingin mendapatkan salah satu daripada lima biji Eliksir Hibernasi yang ada. Mereka tidak menyangka ada seseorang yang membelanjakan jumlah wang yang begitu banyak untuk menghalang mereka mendapatkan eliksir tersebut.
Pada ketika itu, kemarahan mereka semakin jelas dapat dirasakan!