Beberapa kumpulan pengunjung rumah lelong itu naik ke tingkat dua dengan agresif kemudian menendang pintu bilik peribadi pemuda menawan itu sehingga terbuka. Mereka berkata dengan nada marah, "Budak tak guna! Angkuh betul kamu ni! Bolehkah kamu habiskan lima biji Eliksir Hibernasi tu!?"
Pemuda itu memandang sekilas pada kumpulan yang telah meluru masuk ini dengan bersahaja lalu tersenyum sinis. Tiga orang lelaki lain yang ada bersama-sama pemuda menawan itu duduk diam sahaja sambil menghirup air teh mereka. Sedikit pun mereka tidak peduli untuk memandang orang-orang yang telah merempuh masuk ke bilik mereka ini.
"Saya mampu beli dan sangat gembira dapat membida untuk dapatkan pil-pil itu. Apa yang kamu semua boleh buat? Kalau kamu betul-betul mahukan semua pil itu, gunakan saja duit kamu dan buat bidaan lebih tinggi. Saya berjanji selagi ada dalam kalangan kamu yang membida lebih daripada satu juta tahil, walau lebih satu tahil sekalipun, saya tak akan naikkan bidaan saya," kata pemuda itu sambil berpeluk tubuh dan mencabar kumpulan penceroboh ini.
"Kamu fikir kamu ni hebat sangat hanya kerana kamu ada duit?" Kumpulan lelaki ini hampir terdiam dan merasakan kemarahan semakin membara di dalam hati mereka. Penumbuk mereka digenggam kuat dengan perasaan berang. Satu juta tahil. Mana mungkin mereka mempunyai wang sebanyak itu? Kebanyakan wakil pelbagai kuasa besar itu hanya memiliki beberapa ratus ribu tahil setiap seorang. Dari mana mereka boleh dapatkan wang untuk melawan bidaan pemuda ini?
"Boleh tahan juga, ya. Sekurang-kurangnya jika dibandingkan dengan orang yang tak mampu bayar kemudian marah-marah dan membuat ugutan, saya ni lebih baik sikit," kata pemuda itu sambil tersenyum sinis. Nada suaranya kedengaran amat angkuh.
Sepantas kilat mata lelaki-lelaki bertubuh sasa di dalam kumpulan itu menjadi merah apabila mendengar kejian dan hinaan pemuda tersebut!
Semua kejadian ini dapat dilihat dengan jelas daripada satu lagi bilik peribadi di mana Jun Wu Xie dan rakan-rakannya berada.
Melihatkan pemuda itu telah menimbulkan kemarahan kumpulan lelaki tersebut, Qiao Chu bertanya dengan sedikit teruja, "Jun Xie, mereka cuba membuli pelanggan terbaik kamu. Patutkah saya pergi tolong dia?" Qiao Chu bertanya sambil menggosok-gosok tangannya. Dia mahu beraksi sedikit.
Jun Wu Xie mengangkat matanya dan berpaling untuk memandang dingin pada empat orang yang berada di dalam satu lagi bilik peribadi tersebut sebelum berkata, "Itu pelanggan Rumah Lelong Chan Lin."
Mereka tak ada kena-mengena dengan dia.
"Saya nasihatkan kamu jangan masuk campur dalam urusan orang lain." Fei Yan menegur lembut sambil meletakkan tangan di atas bahu Qiao Chu. Dia menunjuk ke arah bilik peribadi tersebut dengan dagunya.
Qiao Chu berpusing untuk melihat dan terpandang satu susuk tubuh melayang jatuh melepasi penghadang bilik peribadi itu lalu jatuh terhempas di atas pentas jurulelong. Kepala lelaki itu pecah dan darahnya mengalir turun di tangga pentas itu seperti sungai!
Mata Qiao Chu terbeliak kerana terkejut dan dia sekali lagi memandang bilik peribadi tersebut. Dia tidak sedar bila ketikanya pemuda itu memulakan langkah. Setiap lelaki dalam kumpulan yang merempuh masuk ke dalam bilik itu telah dicampak melepasi penghadang tersebut seorang demi seorang!
Bilik-bilik peribadi itu hanya berada di tingkat dua dan secara logiknya, tidak ada siapa yang akan mati jika jatuh dari ketinggian itu. Tetapi semuanya seolah-olah sengaja dilakukan oleh pemuda itu yang mematahkan kaki serta tangan semua lelaki itu sebelum mencampakkan mereka melepasi penghadang. Satu kebetulan yang mengerikan apabila semua lelaki itu jatuh dengan belakang kepala mereka terhentak di tangga itu dulu dan menyebabkan mereka mati serta-merta!
Dalam sekelip mata, nyawa mereka diambil dengan begitu bersahaja dan tanpa belas kasihan!
Sewaktu semua ini berlaku, senyuman di wajah pemuda itu langsung tidak pernah pudar. Malah senyumannya semakin melebar tanpa menunjukkan kekesalan atau simpati. Seolah-olah semua ini hanya mainan bagi pemuda tersebut.
Apa yang dibunuhnya hanyalah serangga.
Qiao Chu tiba-tiba tersedar. Tindakan pemuda itu sememangnya di tahap kejam yang luar biasa!
Sepantas kilat semua lelaki yang meluru masuk ke bilik peribadi itu sudah dicampak ke bawah dan terus mati.
Kejadian berdarah yang mengerikan ini terus membuatkan kerumunan pengunjung di tingkat bawah itu berasa gerun. Mereka semua menjerit tanpa henti dan cuba melarikan diri daripada ruang yang sudah diselubungi bau darah itu. Mereka yang duduk di barisan hadapan pula mendapati diri mereka diselubungi percikan berdarah akibat kepala lelaki-lelaki itu yang terhempas dan pecah di atas pentas. Kaki mereka berasa longlai. Semuanya tidak dapat berhenti menjerit sewaktu merangkak dan bergegas mahu keluar dari dewan lelongan itu.
Suasana rumah lelong yang seketika tadi berada di kemuncak keghairahan tiba-tiba diganggu oleh pembunuhan yang tidak masuk akal. Kerumunan pengunjung itu tidak henti-henti cuba melarikan diri dan tidak lama kemudian, rumah lelong tersebut menjadi kosong. Dalam masa yang sangat singkat, semangat menggila tadi digantikan dengan kedinginan yang sunyi. Bunyi gema ketawa pemuda itu sangat membingitkan.