Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 568 - Lelongan untuk Orang Kaya (7)

Chapter 568 - Lelongan untuk Orang Kaya (7)

"Betulkah Eliksir Penyingkir menyeluruh itu boleh menyingkirkan segala jenis racun? Bukankah kita boleh sembuhkan Mu Qian Fan kalau kita berikan sebiji padanya?" tanya Qiao Chu secara tiba-tiba.

Jun Wu Xie menggelengkan kepala. "Eliksir yang saya berikan tempoh hari ialah Eliksir Penyingkir Menyeluruh. Eliksir ini berkesan untuk racun biasa tetapi racun pada badan Mu Qian Fan berasal dari Alam Pertengahan dan eliksir ini tidak mampu menyembuhkannya."

Qiao Chu terus faham dan mengangguk sebelum bertanya sekali lagi, "Berapa lama pula masa yang kamu perlukan untuk hasilkan eliksir ini?"

Jun Wu Xie baru sahaja mahu menjawab apabila Qiao Chu tiba-tiba mengangkat tangannya lalu berkata, "Tidak...tunggu! Jangan beritahu saya. Lebih baik saya tak tahu. Saya rasa hati saya tak dapat menanggungnya."

Harga Eliksir Penyingkir Menyeluruh itu lebih tinggi berbanding harga Eliksir Peningkat Roh. Bagi seseorang yang sudah terbiasa tidak mempunyai satu sen sekalipun, Qiao Chu agak gerun memikirkan apa yang Jun Wu Xie akan katakan. Contohnya mengatakan dia mampu menghasilkan berpuluh-puluh eliksir itu dalam masa sehari.

Jun Wu Xie memutuskan untuk tidak berkata apa-apa.

Kalaulah Qiao Chu tahu eliksir luar biasa yang Jun Wu Xie jual di hadapan pintu pagar Akademi Zephyr sebelum ini, dia telah hasilkan seratus ribu biji dalam masa sebulan….

Qiao Chu mungkin mati terkejut di situ juga.

Eliksir Jun Wu Xie dibawa keluar satu demi satu dan harga bagi setiap jenis menjadi semakin tinggi. Selagi pengunjung di situ mempunyai wang untuk dibelanjakan, mereka semua mengambil bahagian dalam perang bidaan yang sengit ini. Suasana hangat di dalam rumah lelong itu mencapai kemuncak baru pada setiap saat yang berlalu. Kata-kata jurulelong itu pula ibarat air sungai yang berarus deras, seringkali mengujakan perasaan dan menarik kerumunan pengunjung ini untuk meningkatkan bidaan mereka. Para pengunjung seolah-olah sudah dirasuk dan membelanjakan wang tanpa berfikir dengan muka yang penuh perasaan teruja.

Di belakang pentas itu, otot-otot di muka He Chang Le hampir kejang akibat asyik tersenyum. Dia juga sudah hampir tidak mampu berdiri tegak lagi. Tetapi dia tidak dapat membuatkan dirinya berlalu pergi. Dia melaung meminta orang suruhannya membawakan kerusi supaya dia boleh terus memerhati dalam keadaan yang lebih selesa.

Bidaan itu terus berjalan lancar. Tidak lama kemudian eliksir jenis ketiga dan keempat juga habis terjual.

Sejurus selepas itu, eliksir jenis terakhir perlahan-lahan dibawa naik ke atas pentas sambil diperhatikan dengan teliti oleh para pengunjung.

Jurulelong di atas pentas itu sudah habis lencun berpeluh dan bajunya juga sudah basah. Wajahnya kemerah-merahan kerana teruja dan dia langsung tidak berasa penat atau lesu. Apabila eliksir jenis kelima dibawa ke atas pentas, dia mengumpul semangatnya kembali untuk memberikan eliksir itu pengenalan terbaik.

"Barang seterusnya ialah jenis eliksir terakhir yang kami ada hari ini. Kesan yang diberikan eliksir ini…. Saya berani jamin, kesannya melangkaui apa yang kami pernah jual sebelum ini! Eliksir ini dinamakan….Eliksir Hibernasi! Tak kira betapa teruknya kecederaan seseorang itu, selagi masih bernafas, makanlah eliksir ini. Orang itu akan berada dalam keadaan hibernasi selama tiga hari! Tempoh tiga hari yang diberikan oleh eliksir ini amatlah berharga dan dianggap tempoh masa yang amat kritikal bagi mereka yang cedera parah!"

Dewan besar itu menjadi sunyi sepi.

Setiap pasang mata tidak berkelip-kelip merenung penyelamat nyawa terunggul di atas dulang kecil itu. Eliksir Hibernasi!

Keadaan hibernasi pastinya akan memberikan seseorang itu lebih banyak masa untuk mencari rawatan atau menunggu diselamatkan. Walaupun mereka tidak akan sembuh dengan memakan eliksir ini, eliksir ini akan membolehkan mereka terus hidup dan memberi mereka peluang untuk terus bertahan ketika di ambang maut.

Dunia ini dipenuhi kemalangan dan keadaan yang tidak diduga. Pertarungan berlaku tanpa berkesudahan dan sesiapa juga akan mendapati diri mereka berhadapan dengan maut.

Eliksir Hibernasi ini akan memberikan mereka tempoh tiga hari untuk bertarung demi terus hidup!

Mereka yang menderita penyakit kronik jangka panjang serta mereka yang mengalami kecederaan parah lebih memerlukan Eliksir Hibernasi berbanding orang biasa!

"Sejujurnya, saya juga mahu membuat bidaan untuk Eliksir Hibernasi ini. Eliksir ini akan menjadi peluang terakhir untuk saya melindungi satu-satunya nyawa yang saya ada. Bidaan permulaan bagi setiap biji Eliksir Hibernasi ini ialah dua ratus ribu tahil. Saya hanya akan membuat satu pengecualian kali ini. Saya akan membuat bidaan pertama sebanyak dua ratus ribu tahil dan kalau kamu semua boleh berikan penghormatan ini pada saya, izinkan saya mendapatkan sebiji eliksir ini untuk diri saya sendiri." Buat pertama kalinya, jurulelong itu melakukan sesuatu yang tidak pernah dibuatnya sebelum ini. Ekspresi wajahnya kelihatan amat gembira.

Kalaulah kata-kata itu tidak diucapkannya tadi. Sebaik mendengar kata-kata ini, kerumunan pengunjung itu kembali menjadi gegak-gempita!

Biasanya, orang-orang dari rumah lelong ini tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam bidaan bagi barangan yang dilelong. Sebagai jurulelong utama, pasti dia sudah lali dengan pelbagai barangan berharga dan jarang ditemui. Kini jurulelong itu pula turut tergoda dan membuat bidaan untuk eliksir ini. Mana mungkin mereka hanya akan berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa?

Seketika kemudian, para pengunjung menjadi huru-hara dan lelongan itu mencapai kemuncak yang baru!