Mata Fan Zhuo merenung ekspresi wajah Qiao Chu dan yang lain. Tiba-tiba raut wajahnya bertukar lagi. Dia kembali menguntumkan senyuman lembut dan mesra seperti biasa.
"Saya minta maaf kalau saya menakutkan kamu semua." Fan Zhuo memandang semua orang.
Raut wajah Qiao Chu agak kaku kerana dia tidak tahu reaksi apa yang patut diberikan.
Hua Yao berkerut memandang Fan Zhuo. Dia tidak mahu menyebutnya, tetapi reaksi Fan Zhuo itu berbeza dengan apa yang dia jangkakan. Kalau Fan Zhuo hanya pernah mendengar tentang Alam Pertengahan, mengapa dia memberikan reaksi sebegitu? Kalau tidak salah Hua Yao, mata Fan Zhuo tadi dipenuhi hasrat membunuh dan kebencian.
Dia bencikan Istana Dua Belas?
Kenapa?
Akhirnya Hua Yao berkata, "Kamu dari Alam Pertengahan."
Fan Zhuo tidak menyembunyikan hakikat ini dan menganggukkan kepala. Dia memandang Hua Yao dan yang lain lalu berkata sambil tersenyum, "Kamu semua juga sama, bukan? Abang Hua, Qiao Dungu, Fei Yan, Rong Ruo….dan Jun Xie? Tidak tidak tidak, bukan Jun Xie kerana dia langsung tidak memberikan reaksi terhadap kata-kata saya."
Fan Zhuo menggosok-gosok dagunya sambil tersenyum.
"Tepat tekaan kamu itu," kata Hua Yao sambil mengangguk.
"Kamu ada dendam dengan Istana Dua Belas?" tanya Hua Yao dengan bingung. Kenapa aura kejahatan yang amat kuat tadi kini tiba-tiba hilang sepenuhnya tanpa kesan? Kebencian di dalam sepasang mata itu tadi tidak kurang berbanding apa yang mereka rasakan. Tetapi kenapa kebencian itu boleh lenyap dengan begitu pantas?
"Istana Dua Belas dan saya tak boleh wujud bersama." Senyuman Fan Zhuo semakin lebar, tetapi tidak ada kegembiraan pada matanya.
"Kenapa?" Hua Yao terus mendesak.
"Atas sebab yang sama kamu semua berada di sini. Betul tak?" kata Fan Zhuo sambil ketawa.
Hua Yao terkejut.
Fan Zhuo meneruskan "Saya sangkakan kamu semua datang dari Istana Dua Belas. Tetapi apabila saya jelas menunjukkan kebencian yang kuat tadi, kamu semua tidak membalasnya dan sebaliknya kelihatan terkejut. Kamu juga tidak berniat mahu membunuh saya. Sebaik kamu semua tahu saya amat bencikan Istana Dua Belas, kamu tidak bertindak menentang saya. Ini memberitahu saya yang kamu bukan datang dari Istana Dua Belas. Lagipun, saya tidak percaya Istana Dua Belas mempunyai orang yang jujur dan ikhlas seperti kamu."
Niat membunuh tadi hanyalah satu ujian. Hasilnya membuatkan Fan Zhuo mengeluh lega.
Mujurlah mereka ini bukan musuh.
"Kamu kata tadi kamu sama seperti kami. Apa maksudnya?" Satu tekaan terlintas di minda Hua Yao dan membuatkan dia berasa gelisah. Namun tekaan itu juga membuatkan dia ternanti-nanti.
Fan Zhuo ketawa sedikit lalu berkata, "Suatu ketika dahulu, dalam usaha mencari makam Maharaja Kegelapan, Istana Dua Belas telah menghantar ramai pakar yang berkemahiran tinggi. Dalam kalangan mereka ini, hanya ada beberapa orang yang akhirnya berjaya menemui makam tersebut. Mereka semua datang daripada pelbagai istana. Demi menekan dan saling membataskan di antara satu sama lain, mereka telah melukis sebahagian peta itu di bahagian belakang badan masing-masing lalu kembali untuk melaporkan misi mereka. Namun mereka tidak menyangka apa yang menanti kepulangan mereka ialah pengkhianatan dari kuasa-kuasa tempat mereka berkhidmat. Mereka semua dibunuh, malah keluarga mereka juga tidak terlepas…."
Mata Fan Zhuo yang kelihatan gembira itu terselit sedikit kedinginan. Dia memandang Hua Yao, Qiao Chu, Fei Yan dan Rong Ruo sekali lagi, seorang demi seorang. "Sewaktu pembunuhan beramai-ramai itu sedang dilakukan, seorang lelaki secara senyap-senyap menyusup masuk dan menyelamatkan anak-anak kecil dari keluarga-keluarga yang terlibat. Salah seorang daripada anak-anak itu ialah ahli Puak Pengubah Tulang. Kalau tak silap saya, kamu semua adalah anak-anak yang diselamatkan pada ketika itu, bukan?
Penjelasan Fan Zhuo amat mengejutkan Hua Yao dan yang lain. Mereka semua memandang Hua Yao dengan pelik. Mata mereka dipenuhi perasaan terkejut dan ragu-ragu.
"Jadi...kamu ni siapa?" Dia tahu tentang sejarah Alam Pertengahan dan dia juga sedar Istana Dua Belas sedang mencari makam Maharaja Kegelapan. Siapakah identiti sebenar Fan Zhuo!?
Fan Zhuo tersenyum pahit.
"Saya cuma anak yatim yang ditinggalkan di Cenuram Penghujung Syurga."