Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 560 - Cenuram Penghujung Syurga (7)

Chapter 560 - Cenuram Penghujung Syurga (7)

Istana Dua Belas telah menghantar ramai orang pada ketika itu dan tidak kurang orang yang bijak dalam kalangan mereka. Walaupun mereka setia dengan kuasa di mana mereka berkhidmat, mereka masih boleh bertindak rasional. Contohnya seperti ibu bapa Fan Zhuo. Mereka tiba di makam Maharaja Kegelapan sedikit lewat daripada ahli keluarga Hua Yao dan yang lain, namun tetap dipaksa bersetuju dengan perjanjian yang telah dibuat oleh mereka yang sampai dahulu. Mereka semua mencacah peta itu ke bahagian belakang badan mereka sebelum semuanya pulang ke Alam Pertengahan.

Tetapi bapa kandung Fan Zhuo merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dia tidak membawa isteri dan anaknya, Fan Zhuo, kembali bersama-sama dengannya. Sebaliknya, dia menempatkan mereka secara sementara di Cenuram Penghujung Syurga.

Malangnya, apa yang menantinya setelah pulang ke Alam Pertengahan hanyalah mimpi ngeri.

Dia tidak berpeluang kembali bertemu dengan anak dan isterinya lagi. Seluruh keturunannya dibunuh bersama-sama dengannya manakala ibu Fan Zhuo pula dibunuh di depan mata Fan Zhuo sendiri. Sementara itu, Fan Zhuo pula mengalami kecederaan parah akibat serangan orang-orang dari Istana Dua Belas dan ditinggalkan di dalam hutan untuk menjadi makanan binatang buas.

Mujurlah Fan Qi sempat sampai ke situ dan menyelamatkan Fan Zhuo yang cedera parah.

Fan Qi telah terhutang budi dengan ibu bapa Fan Zhuo dan mahu membalas jasa mereka. Dia membuat keputusan untuk membesarkan Fan Zhuo. Namun begitu, kecederaan parah pada badan Fan Zhuo semakin bertambah teruk. Demi melindungi Fan Zhuo, Fan Qi mengatakan anak kandungnya, Fan Jin, ialah anak angkatnya dan mendakwa Fan Zhuo adalah anak kandungnya. Ini membolehkan Fan Zhuo menerima penjagaan sebaiknya.

Tindakan ini juga adalah untuk mengelak sesiapa sahaja daripada menggunakan status anak angkat itu untuk menganiaya Fan Zhuo.

Namun begitu, kecederaan Fan Zhuo yang dialami sejak kecil itu kekal dengannya dan dia membesar dengan kehidupan yang dipenuhi seksaan dan kesakitan. Sebelum bertemu dengan Jun Wu Xie, dia menyangkakan tidak mungkin dia dapat hidup lebih lama lagi. Tidak kiralah betapa hatinya membenci Istana Dua Belas sekalipun, dia tidak memiliki kekuatan untuk mengubah takdirnya.

Kalau dia tidak boleh menyelamatkan nyawanya sendiri, tak mungkin dia mampu menentang Istana Dua Belas.

Hanya selepas kemunculan Jun Wu Xie, barulah dia sedar yang hidupnya bakal berubah sepenuhnya!

Fan Zhuo memberitahu rakan-rakannya itu segala-galanya tentang dirinya. Pendedahannya tentang masa lampaunya itu amat mengejutkan Qiao Chu dan yang lain.

Betul kata Fan Zhuo. Mereka bernasib baik masih dapat hidup dan semuanya disebabkan oleh seorang lelaki iaitu Yan Bu Gui. Dia telah menyembunyikan mereka semua di Akademi Phoenix dan berjaya mengelak hukuman dari Istana Dua Belas. Namun begitu, nasib Fan Zhuo lebih malang berbanding mereka.

Dia bukan sahaja telah menyaksikan pembunuhan ibunya sendiri di hadapan matanya, malah telah mengalami kecederaan parah akibat diserang. Mereka telah mencederakan dia sehingga ke terasnya dan membuatkan dia menjalani kehidupan serba kekurangan.

Qiao Chu dan rakan-rakannya yang lain sedar bahawa kebencian mereka terhadap musuh mereka itu amat mendalam. Jadi mereka faham kenapa Fan Zhuo menguji kesetiaan mereka seperti itu tadi.

"Tapi kini keadaan telah banyak berubah dan terlalu berbeza. Saya perasan yang kamu semua berniat mahu mencari makam Maharaja Kegelapan. Kenapa?" Fan Zhuo amat tenang. Bibirnya tersenyum sedikit. Seolah-olah apa yang diceritakannya tadi berlaku pada orang lain, bukan dirinya.

Tetapi Qiao Chu dan yang lain masih tidak lupa yang beberapa ketika sebelum ini, kebencian yang menggerunkan serta tidak terbendung telah membara di mata Fan Zhuo.

"Kami perlu menjadi lebih kuat dan makam Maharaja Kegelapan itu mengandungi barangan ajaib yang paling kuat pernah wujud di Alam Pertengahan. Sebaik kami menemui makam Maharaja Kegelapan, pasti kami akan mendapatkan kekuatan yang cukup untuk membalas dendam ke atas Istana Dua Belas." Qiao Chu menerangkan setelah menarik nafas panjang. Dia tidak berniat untuk menyembunyikan apa-apa.

Fan Zhuo ketawa terbahak-bahak.

"Bagus juga rancangan ni. Tapi makam Maharaja Kegelapan tidak akan dapat ditemui dengan mudah."

"Susah macam mana sekalipun, kami perlu cuba. Ini sahaja caranya untuk kami mendapatkan kekuatan yang cukup untuk menentang Istana Dua Belas," kata Hua Yao dengan tekad.

Related Books

Popular novel hashtag