Mu Qian Fan merenung Jun Wu Xie dengan perasaan terkejut. Setelah teragak-agak seketika, dia mengangguk.
"Kami semua memang penduduk Bandar Chan Lin, jadi tentulah saya akan terus berada di sini. Kalau kamu perlu cari saya nanti, pergi saja ke rumah terakhir di Jalan Selatan. Tapi…." Mu Qian Fan memandang badannya yang berbalut itu lalu ketawa pahit, "Kalau kamu nak tahu apa-apa lagi daripada saya, kamu perlu cepat. Badan saya tak akan bertahan lama lagi."
"Kecederaan kamu serius?" Setelah memahami maksud di sebalik kata-kata Mu Qian Fan itu, Hua Yao bertanya sambil mengerutkan keningnya.
Mu Qian Fan mengangguk. "Saya masih dapat terus hidup ini pun sudah boleh dianggap satu keajaiban." Dalam kalangan ahli kumpulannya, dua orang mati disebabkan racun ini. Hakikat yang Mu Qian Fan masih bertahan sehingga sekarang turut menjadi kejutan pada dirinya.
"Boleh saya lihat?" kata Jun Wu Xie dengan tiba-tiba.
Mu Qian Fan teragak-agak. Dia memandang Jun Wu Xie dengan amat bimbang, "Luka saya sangat mengerikan. Kamu betul-betul nak lihat?"
Dia risau luka-lukanya itu akan menakutkan anak muda ini.
Jun Wu Xie mengangguk.
Mu Qian Fan mengeluh dan perlahan-lahan membuka balutan pada tangan kirinya.
Sewaktu membuka balutan tersebut, dagingnya terlekat pada pembalut luka itu. Lukanya yang berdarah dan mengerikan itu didedahkan pada mereka.
Sekali pandang sahaja sudah cukup untuk membuatkan semua orang di dalam bilik itu terkejut.
Seluruh tangan Mu Qian Fan kelihatan seperti telah terpercik minyak panas. Tidak ada satu bahagian pun yang masih elok. Dagingnya seperti melecur dan dipenuhi nanah, kelihatan seperti daging yang busuk. Hujung jari kelengkengnya sudah pun tertanggal dan tulang jarinya jelas dapat dilihat.
Bau darah dan daging busuk tersebar ke seluruh bilik itu.
Qiao Chu dan yang lain tiba-tiba menjadi pucat.
Mu Qian Fan sedar mereka tidak selesa dan dia mahu cepat-cepat membalut kembali lukanya. Tiba-tiba satu tangan yang cerah dan kecil memegang hujung pembalut luka yang telah jatuh ke atas meja.
Mata Jun Wu Xie mengecil sewaktu dia merenung luka-luka dan kudis bernanah pada tangan Mu Qian Fan. Keadaan tangan ini menunjukkan kesan yang sama seperti salah satu racun yang pernah dibuatnya dahulu. Namun dari segi kepantasan pembusukan ini, tempohnya lebih singkat dan nampaknya tidak ada daging baru yang akan pulih semula seperti kesan racunnya.
Seolah-olah tidak sedar betapa tangan yang membusuk itu kelihatan menjijikkan, Jun Wu Xie berdiri dan memeriksa tangan tersebut dengan lebih dekat lagi.
Mu Qian Fan terkejut dengan tindakan Jun Wu Xie. Kenapa budak semuda ini tidak langsung tidak menunjukkan sebarang tanda dia takut? Budak ini bukan sahaja tidak menjauhkan diri kerana gerun, malah semakin datang dekat dengan Mu Qian Fan untuk memeriksa keadaannya dengan lebih teliti. Entah kenapa budak ini bersikap begitu sedangkan Mu Qian Fan juga jijik dengan keadaan tubuhnya.
Sebaliknya budak ini langsung tidak terkejut dan kelihatan tenang.
Mu Qian Fan baru sahaja mahu berkata sesuatu apabila Qiao Chu yang duduk setentang dengannya tiba-tiba memberikan isyarat menyuruhnya diam. Malah Qiao Chu turut tersenyum mesra selepas itu.
Mu Qian Fan tidak tahu apa yang Jun Wu Xie mahukan daripadanya. Tetapi sebagai seseorang yang sudah hampir mati, dia tidak terlalu memikirkan hal ini. Kalau Jun Wu Xie tidak takut dan mahu melihat luka-lukanya dengan lebih dekat, dia juga tidak keberatan untuk menunjukkannya.
Selepas seketika, Jun Wu Xie duduk kembali. Matanya kelihatan dingin sewaktu dia memandang Mu Qian Fan lalu berkata, "Saya nak potong daging kamu sedikit."
Sewaktu terdengar kata-kata Jun Wu Xie, bukan sahaja Mu Qian Fan, malah Qiao Chu dan Fei Yan kelihatan amat terkejut.
Potong daging?
Daging apa?
Dia benar-benar mahu potong daging dari tangan Mu Qian Fan!?
Mata Mu Qian Fan terbeliak. Dia benar-benar tidak pasti dengan apa yang dia baru dengar.
"Kamu…..kamu mahu daging saya?" Walaupun dia telah pasrah menerima ajalnya, kata-kata Jun Wu Xie itu tetap membuatkan Mu Qian Fan trauma.