Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 553 - Batu Hitam Misteri (9)

Chapter 553 - Batu Hitam Misteri (9)

Namun begitu, Jun Wu Xie langsung tidak sedar yang permintaannya itu kedengaran begitu pelik dan mengerikan. Dia hanya mengangguk dengan tenang.

"Sikit saja pun dah cukup."

Mu Qian Fan menjadi kaku. Dia tidak faham bagaimana budak muda bertubuh kecil molek ini begitu berani. Budak ini langsung tidak takut dengan luka mengerikan pada tangannya dan kini mahu memotong dagingnya pula….

Dia tak rasa jijik?

"Saya boleh bayar kamu." Jun Wu Xie menambah.

Mu Qian Fan melambaikan tangannya dengan cepat. "Tak perlu, tak perlu. Saya pun tak akan hidup lama. Kalau kamu….betul-betul mahu…." Mu Qian Fan mengetap giginya dan mengeluarkan sebilah pisau belati. Dia akan mati juga nanti dan luka-lukanya itu begitu menyakitkan sehingga dia menghadapi masalah untuk makan dan tidur. Jadi memotong sedikit dagingnya tidaklah begitu menyakitkan. Memandangkan Jun Wu Xie telah membeli batu hitam itu daripadanya, dia telah pun berasa terhutang budi. Dia tidak rasa dia patut meminta bayaran lagi daripada Jun Wu Xie.

Sambil bercakap, Mu Qian Fan terus mahu memotong sedikit daging pada tangannnya. Tiba-tiba Jun Wu Xie mengangkat tangan dan menghentikannya.

"Biar saya buat," kata Jun Wu Xie.

Mu Qian Fan tergamam dan dengan kakunya memusingkan pisau belati itu lalu menyerahkannya kepada Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie memegang pisau itu dengan cekap memandangkan dia sudah berpengalaman memegang skalpel dalam kehidupannya sebelum ini.

Mu Qian Fan memilih untuk berdiam diri setelah melihat cara Jun Wi Xie memegang pisau belati itu yang kelihatan pelik. 

Jun Wu Xie memeriksa luka di tangan Mu Qian Fan dengan teliti buat seketika. Sebaik Mu Qian Fan memikirkan pemuda itu tidak akan berani melakukannya, tiba-tiba Jun Wu Xie dengan pantas dan cekap menghiris bahagian tepi tapak tangan Mu Qian Fan lalu memotong sebahagian kecil daging bersaiz kira-kira sebesar ibu jari.

Pisau belati itu digunakan dengan begitu cekap sehingga Mu Qian Fan tidak berasa sakit sehinggalah lama sedikit selepas dagingnya dipotong.

Jun Wu Xie langsung tidak berkelip sewaktu dia menghiris daging tangan Mu Qian Fan. Dia memegang pisau belati itu secara mendatar dengan hirisan daging itu terletak elok di atas bilahnya. Kemudian Jun Wu Xie mengeluarkan satu botol kosong daripada dalam jubahnya dan memasukkan cebisan daging itu ke dalam botol tersebut.

"....." Mu Qian Fan tak mampu berkata apa-apa untuk menggambarkan anak muda di hadapannya ini.

Budak muda ini menghiris sedikit dagingnya yang telah membusuk. Tetapi benarkah dia hanya mahu menyimpan daging itu di dalam botol!?

Dia mahu menyimpannya sebagai cenderamata?

Selepas menyimpan botol berisi daging busuk itu dengan berhati-hati, Jun Wu Xie mengeluarkan satu lagi botol dari dalam jubahnya. Botol bersaiz tapak tangan itu diletakkan di hadapan Mu Qian Fan.

"Tiga kali sehari, satu pil sekali makan. Telan dengan air suam." Jun Wu Xie memberikan arahan ringkas.

Mu Qian Fan tidak faham apa yang sedang berlaku pada ketika itu dan hanya merenung kosong pada Jun Wu Xie. Dia kemudiannya memandang botol ubat di hadapannya.

Disebabkan telah terbiasa dengan Jun Wu Xie yang tidak banyak bercakap itu, Qiao Chu berdehem dan menerangkannya kepada Mu Qian Fan, "Ubat ini akan membantu menyembuhkan luka-luka kamu. Buat saja apa yang disuruh dan keadaan kamu akan bertambah baik."

Mu Qian Fan tiba-tiba tersedar dan cepat-cepat menggelengkan kepala, "Tak perlu. Lagipun, membazir saja ubat ini dengan keadaan saya. Kamu beli batu hitam itu pun sudah cukup bagus dan saya amat berterima kasih."

Dia cuba menolak dan mahu memulangkan ubat itu kepada Jun Wu Xie.

Namun begitu, Jun Wu Xie hanya memandang sekilas pada botol ubat itu. Dia kemudiannya mengangkat loceng gangsa di dalam bilik itu dan menggoyangkannya dengan perlahan. Orang suruhan di luar bilik itu cepat-cepat berjalan masuk.

"Air suam," kata Jun Wu Xie.

Orang suruhan itu segera menyedari apa yang Jun Wu Xie minta, lalu cepat-cepat keluar dari bilik itu. Dia kembali dengan satu jag air suam sebelum melangkah keluar dari pintu bilik itu sekali lagi.

"Qiao Dungu."

"Saya!"

"Buka mulut dia."

"....."

Wajah Mu Qian Fan menjadi pucat kerana terkejut. Qiao Chu teragak-agak seketika sebelum menerkam Mu Qian Fan dan terus membuka mulut lelaki itu secara paksa. Fei Yan berdiri di sisinya dan cepat-cepat mengeluarkan sebiji eliksir dari botol itu dan mencampakkannya ke mulut Mu Qian Fan. Rong Ruo pula menuang air suam itu terus ke dalam mulut Mu Qian Fan!